Najib gesa belia teroka bidang keusahawanan sosial

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu lebih ramai belia meneroka keusahawanan sosial bagi membantu mewujudkan impak positif berkekalan kepada masyarakat.

Beliau berkata ketika Malaysia beralih kepada negara berpendapatan tinggi, keusahawanan sosial akan menjadi bidang penting dalam mewujudkan ekonomi yang berasaskan pengetahuan dan inovasi.

Ia juga kunci untuk memacu transformasi sosial dan mewujudkan masyarakat yang lebih seimbang dan saksama.

“Model Baharu Ekonomi menyediakan rangka kerja dan persekitaran untuk mengupayakan perusahaan swasta, selain mengurangkan jurang pendapatan.

“Namun, model ekonomi semata-mata tidak mencukupi. Kita pelukan model sosial yang mampu mewujudkan perubahan sosial,” kata Najib dalam ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Pertama Pemimpin Muda 2015, di sini hari ini.

Keusahawanan sosial ialah model keusahawanan yang tidak hanya mementingkan keuntungan, malah menekankan kepada pewujudan masyarakat yang berimpak positif dan saksama. Walaupun masih baharu, namun ia semakin mendapat perhatian dalam kalangan belia.

Najib berkata mereka yang mengamalkan keusahawanan sosial turut memperoleh manfaat dari segi kemahiran perniagaan, teknikal dan fungsi, selain menanam nilai mulia untuk meningkatkan taraf hidup orang lain.

“Saya percaya berdasarkan peluang yang ada, golongan muda yang mahu merubah dunia akan menggunakan model perniagaan sosial bagi mewujudkan impak positif dan berkekalan dalam isu membabitkan sosial dan persekitaran.

“Kita perlukan lebih ramai golongan muda Malaysia yang cemerlang, yang mempunyai inisiatif, daya tahan dan idealisme yang boleh menjadi model ikutan, selain menggalakkan lebih ramai usahawan sosial untuk tampil ke hadapan,” katanya. – Bernama