MAJLIS BELIA MALAYSIA

Usah terlalu percaya media sosial

SHAH ALAM – Belia pada hari ini perlu melengkapkan diri dengan kesedaran dan ilmu yang cukup dalam melayari internet bagi menggelak terpedaya maklumat kurang tepat yang diterima dalam media sosial.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Muammar Ghadafi Jamal Jamaluddin berkata, kerosakan akhlak dan pengaruh melampau dihadapi belia akibat pengaruh internet semakin kritikal.

“Belia dan internet satu perkara sinonim. Tidak mungkin boleh halang belia melayari internet. saya kira semua belia mempunyai akses kepada internet melalui telefon pintar mereka.

“Untuk kawal, paling penting adalah balik kepada asas kesedaran dalam diri pengguna itu sendiri,” katanya kepada Sinar Harian selepas mengadakan lawatan ke Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, semalam.

Menurutnya, MBM juga akan berperanan memberikan penerangan selain menerapkan ilmu dan asas agama yang cukup bagi membantu belia menghadapi dunia alam maya tanpa sempadan ini.

“Kita juga akan mengajak anak muda untuk kembali kepada asas keagamaan selain menyedarkan masyarakat tentang peranan yang perlu mereka mainkan dalam hal ini,” katanya.

Di pihak kerajaan pula, katanya, penguatkuasaan adalah perkara paling utama dilakukan bagi mengatasi dan menghalang keburukan media sosial.

Katanya, contoh paling mudah ialah video di laman sosial mengugut mahu membunuh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar oleh tiga lelaki bertopeng yang menggelar diri sebagai Anak Muda Anti Demokrasi.

“Penguatkuasaan antara polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia perlu diperkukuhkan bagi mengatasi perkara ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pelbagai aktiviti akan dijalankan oleh MBM tahun ini bagi merapatkan hubungan dengan belia di negara ini.

“Tahun ini kita sasarkan untuk memberi latihan kepimpinan dan seterusnya melahirkan lebih 300 pemimpin muda di peringkat kebangsaan.

“Di bawah kesukarelaan Sahabat MBM pula, kita akan tarik lebih ramai belia untuk turut sama menyumbang kepada masyarakat melalui aktiviti sukarelawan ini,” katanya.

Katanya, MBM juga akan memfokuskan kepada pendidikan yang dipecahkan kepada dua iaitu pendidikan arus perdana dan kemahiran kepada pelajar sekolah lepasan SPM.

“Pendidikan kemahiran ini akan diteruskan di bawah program 1 Belia 1 Kemahiran yang sudah dimulakan sejak 2010. Kita akan fokus kepada kemahiran antaranya pemotoran, elektronik dan kita akan tambah kemahiran dandanan bagi wanita,” katanya.

 

http://www.sinarharian.com.my/nasional/usah-terlalu-percaya-media-sosial-1.365349

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »