MAJLIS BELIA MALAYSIA

Ambil iktibar kekacauan di luar negara

KUALA LUMPUR 2 Jan. – Perhimpunan haram atau demonstrasi jalanan bukan jalan terbaik untuk menyatakan rasa tidak puas hati kepada kerajaan.

Presiden Gerakan Reformasi Rakyat Malaysia (Reformis), Ramlan Abu Bakar berkata, melihat contoh di beberapa buah negara seperti Thailand dan Mesir, perbuatan itu akhirnya tidak membawa sebarang kebaikan sebaliknya memburukkan lagi keadaan.

“Percayalah, saya sendiri dahulu merupakan penggerak demonstrasi jalanan. Kini saya sudah sedar bahawa perbuatan itu hanya sia-sia dan merugikan negara.

“Sebenarnya banyak saluran yang boleh kita guna untuk menyampaikan apa yang kita rasa kepada kerajaan. Malah saya yakin kerajaan kini lebih bersikap terbuka untuk menerima sebarang cadangan atau kritikan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Beliau mengulas insiden perhimpunan haram yang mengandungi elemen-elemen provokasi dan ganas sewaktu sambutan tahun baharu baru-baru ini termasuk menyebabkan beberapa anggota polis tercedera.

Ramlan berkata, daripada berdemonstrasi, lebih baik masa, wang ringgit dan tenaga itu digunakan untuk membantu mangsa-mangsa banjir dan mereka yang memerlukan.

“Kebanyakan peserta perhimpunan haram ini daripada golongan belia, mereka berdarah muda jadi cepat naik marah. Saya sendiri pernah lalui situasi ini dan saya faham sangat keadaan mereka. Cuma saya hendak nasihatkan, janganlah diikutkan emosi, gunakanlah akal.

“Jangan mudah terpengaruh dengan dakyah pembangkang. Kita asyik lihat keburukan kerajaan sahaja, bagaimana pula dengan kebaikan yang kerajaan telah berikan? Seteruk mana pun negara kita ini, tak pernah lagi saya dengar orang mati kelaparan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, perhimpunan haram bukan kaedah untuk memastikan sesuatu matlamat tercapai.

Menurut beliau, terdapat jalan lain yang lebih santun dan selamat untuk menyatakan rasa tidak puas hati kepada kerajaan.

“Sebagai contoh apa yang dilakukan MBM sendiri dalam Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara pada 16 Disember lalu, kami telah meluluskan usul supaya kerajaan mengkaji semula kenaikan harga pelbagai tarif dan barangan.

“Usul itu kemudian diserahkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin dan beliau telah membawanya ke mesyuarat Kabinet. Hasilnya, Kabinet bersetuju menubuhkan Makmal Mengenai Kos Sara Hidup,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan peserta perhimpunan haram tempoh hari yang kebanyakannya terdiri daripada golongan belia supaya bermuhasabah diri dan membuat pertimbangan lebih bijak pada masa akan datang.

“Ada pertanyaan yang saya hendak tujukan kepada pihak penganjur, adakah mereka berasa bangga dan berpuas hati dengan perhimpunan itu? Adakah matlamat dan misi mereka tercapai? Adakah rakyat akan menganggap mereka sebagai wira?,” soalnya.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »