MAJLIS BELIA MALAYSIA

MBM lancar misi We Care Filipino untuk kutip sumbangan

KENYATAAN MEDIA

SDR. MOHAMED MALIKI MOHAMED RAPIEE

PRESIDEN MAJLIS BELIA MALAYSIA

PELANCARAN TABUNG KEMANUSIAAN MAJLIS BELIA MALAYSIA

BAGI MISI BANTUAN BENCANA TAUFAN HAIYAN, FILIPINA

”WE CARE FILIPINO”

wecarefilipino_pc

“Spread love everywhere you go… let no one ever come to you without leaving better and happier” – Mother Teresa

Dalam hangat pelukan mentari, diri terbalut mendung keresahan. Resah bila bumi tak sudi lagi dipijak. Resah jika laut tak mampu lagi memikul airnya. Resah jika gunung tak sanggup lagi berdiri tegak. Air mata ini belum lagi kering. Puing-puing derita masih tercicir disepanjang jalan. Terdengar lagi jeritan saudaraku di sana. Terdengar lagi jeritan teman-temanku di sana. Terdengar lagi jeritan para sahabat-sahabatku di sana. Bencana, bencana dan bencana.

Dunia dikejutkan dengan satu tragedi ngeri dan dahsyat yang disifatkan antara yang terburuk dalam sejarah iaitu Taufan Haiyan atau lebih dikenali di Filipina sebagai Taufan Yolanda yang melanda beberapa kepulauan di Filipina seperti Pulau Leyte dan Samar serta beberapa wilayah di Iloilo, Capiz, Cebu, Palawan, Masbate, Aklan, Surigao del Sur dan Bandar Raya Zamboanga. Ribuan nyawa terkorban dan puluhan ribu hilang tempat tinggal, tempat kejadian musnah ibarat padang jarak, padang terkukur.

Majlis Belia Malaysia (MBM) terpanggil untuk turut bersama masyarakat antarabangsa bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa atas semangat komuniti ASEAN dan kemanusiaan. Sebagai sebuah negara jiran dalam anggota ASEAN, Filipina tidak harus dibiarkan menderita bersendirian, kesedihan ini harus dikongsi bersama.

Sebagai rakyat Malaysia yang terkenal dengan sikap dan sifat pemurah, MBM bersama 40 buah badan gabungannya hari ini melancarkan TABUNG KEMANUSIAAN MAJLIS BELIA MALAYSIA BAGI MISI BANTUAN BENCANA TAUFAN HAIYAN, FILIPINA ”WE CARE FILIPINO”.

MBM dengan ini menyeru semua pihak khususnya badan-badan gabungannya, pertubuhan-pertubuhan belia tunggal, institusi pengajian tinggi awam dan swasta, syarikat-syarikat korporat, NGO-NGO, parti-parti politik serta para dermawan untuk turut bekerjasama dengan MBM dalam misi bantuan kemanusiaan ini.

Sumbangan berbentuk kewangan boleh disalurkan seperti di bawah:

NAMA AKAUN : TABUNG KEMANUSIAAN MAJLIS BELIA MALAYSIA

NO. AKAUN : 564025403782

BANK : MAYBANK

Sumbangan berbentuk barangan mendesak dan terpilih seperti di bawah juga diperlukan segera :

1) Air Botol Minuman

2) Selimut

3) Pek Makanan

4) Keperluan asas perubatan

Barangan di atas boleh dihantar terus ke pejabat MBM seperti alamat di bawah :

Majlis Belia Malaysia

Wisma MBM, No. 1 Jalan Tasik Permaisuri 2

Bandar Tun Razak, 56000 Kuala Lumpur

Tel : (03) 91732761/63

Penghantaran bantuan ini dijangka dilakukan selewat-lewatnya penghujung bulan ini atau awal Disember 2013. MBM sedang mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa di Filipina termasuk bekerjasama dengan rakan jaringan belia peringkat ASEAN iaitu Majlis Kerjasama Belia ASEAN (CAYC) dan NGO-NGO berdaftar di negara berkenaan bagi mempermudahkan proses dan perjalanan misi ini nanti.

Sekali lagi, MBM menyeru kepada semua pihak untuk turut tampil menghulurkan bantuan atas nama Semangat ASEAN dan Kemanusiaan.

Terima kasih.

MOHAMED MALIKI MOHAMED RAPIEE

Presiden

Majlis Belia Malaysia

Tarikh : 15 November 2013

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »