Kepimpinan, Kerjasama, Pemikiran Kritis Menyerlahkan Potensi Kepimpinan Seseorang – MIB300

Batu Gajah 20 Mac – Kursus Kepimpinan Skuad MiB 300 anjuran Majlis Belia Malaysia telah berlangsung dengan jayanya pada 17 – 19 Mac 2017 bertempat di Institut GPMS, Batu Gajah. Penglibatan peserta adalah dari kalangan umur 16 hingga 26 tahun, seramai 90 orang dari Universiti Islam Sultan Azlan Shah (UISAS), UniKL, GPMS cawangan Batu gajah, GPMS cawangan Kampar dan sekolah menengah sekitar daerah Batu Gajah.
Nilai- nilai seperti kepimpinan, kerjasama, pemikiran kritis melalui barisan fasilitator yang terlatih menerusi modul-modul yang mampu menyerlahkan potensi kepimpinan seseorang. Skuad MiB 300 adalah inisiatif MBM sebagai langkah proaktif dalam proses melaksanakan salah satu nilai teras dalam MBM in Business ke arah mencapai hasrat menjadikan MBM terus relevan di kalangan belia masakini.
Majlis perasmian penutup bagi program Kursus Kepimpinan MiB 300 ini telah disempurnakan oleh Encik Nizam Ismail, Pengarah Bahagian Kepimpinan, Jabatan Belia dan Sukan Negara. Turut bersama-sama memeriahkan lagi majlis, Sdr. Hasnul Fairuz Hushin Amri, Penolong Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia merangkap Pengerusi Jawatankuasa Latihan dan Kepimpinan.
     



Laungan Negaraku Bergema Di Dataran Putrajaya

Putrajaya 18 Mac – Ribuan rakyat Malaysia hadir ke Dataran Putrajaya seawal 6.30 pagi bagi menyertai pelbagai aktiviti yang dirangka bagi menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat.

Program Ekspresi Negaraku adalah platform pertama untuk memacu inisiatif ‘Negaraku’ yang bertunjangkan semangat cintakan Malaysia.

“Ia acara yang meriah dan sesuai untuk seisi keluarga, penuh dengan pelbagai aktiviti menarik dan inte­raktif, diinspirasikan oleh kejayaan dan kemajuan yang kita telah kecapi sebagai sebuah negara.

Membuka tirai dengan Larian Bendera Negaraku yang melibatkan kira-kira 5,000 peserta dengan pelbagai kaum dan bangsa yang menyertai. Rata-rata yang menyertai larian tersebut berasa bangga kerana dapat berkumpul ramai-ramai tanpa mengira kaum dan agama demi semangatkan cintakan negaraku.
Majlis pelancaran Ekspresi Negaraku oleh Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak. Turut dihadiri barisan menteri-menteri kabinet, Presiden MBM, Setiausaha Agung MBM dan barisan Exco-Exco MBM.

Dalam ucapan YAB Perdana Menteri, beliau berkata pengibaran Jalur Gemilang tidak seharusnya terhad kepada hanya semasa sambutan Hari Merdeka.

“Ia perlu sepanjang tahun, 365 hari. Kita mesti menunjukkan kasih kita kepada Malaysia pada setiap masa,” katanya.

Beliau berkata sebagai rakyat, ia adalah menjadi tanggungjawab semua rakyat Malaysia untuk menjadi setia dan mempertahankan tanah mereka.

“Jika kita yang 31 juta Malaysia tidak melakukannya, siapa lagi?” katanya.

MBM tidak melepaskan dengan menghantar kontinjen seramai 1500 orang bagi memeriahkan lagi program ini.

Program ini diserikan lagi dengan pelbagai aktiviti menarik di booth-booth pameran dan di sebelah malam pula adalah acara kemuncak iaitu Konsert Ekspresi Negaraku dengan menampilkan artis-artis ternama se­perti Amy Search, Ella, Bunkface dan ramai lagi…..

 

     

 

 

 

 




Siaran Media : MBM Anjur Karnival Kerjaya Dan Pendidikan Belia Negara 2017

SIARAN MEDIA

MBM ANJUR KARNIVAL KERJAYA DAN PENDIDIKAN BELIA NEGARA

25 HINGGA 26 MAC 2017

DI DATARAN ALAMANDA PARIT BUNTAR, PERAK

 

Menyedari kepentingan kerjaya dan pendidikan dalam kalangan belia Malaysia, Majlis Belia Malaysia (MBM) mengambil inisiatif menganjurkan Karnival Kerjaya dan Pendidikan Belia Negara pada 25 hingga 26 Mac 2017 (Sabtu dan Ahad) bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang di Dataran Alamanda Parit Buntar, Perak.

Karnival ini dianjurkan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Majlis Daerah Kerian dan Pusat Kerjaya Amanjaya (PEKA).

Lebih 30 syarikat dan institusi pendidikan lanjutan daripada agensi kerajaan dan swasta telah mengesahkan penyertaan dalam karnival yang menawarkan lebih 3,000 peluang pekerjaan.

MBM berhasrat menganjurkan karnival seperti ini secara meluas sebagai sebahagian sumbangan MBM kepada golongan belia yang ingin mencari pekerjaan sesuai dengan kelayakan mereka. Selain itu, ia merupakan medium terbaik untuk belia lepasan sekolah melanjutkan pengajian mereka.

Lebih dari itu, karnival ini juga merupakan platform bagi golongan belia mendapatkan informasi mengenai inisiatif kerajaan membantu mereka dalam pelbagai bidang, termasuk keusahawanan dan peluang perniagaan. Golongan belia boleh mendapatkan maklumat, panduan dan khidmat nasihat mengenai pelbagai program keusahawanan, latihan dan kemahiran di karnival berkenaan.

Bagi golongan belia yang berhasrat melanjutkan pengajian bermula dari peringkat sijil hingga ijazah, sebanyak 30 institut pengajian tinggi, kolej kemahiran, institut latihan perindustrian menyertai karnival ini, antaranya, Universiti Malaysia Pahang Advanced, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Kolej Yayasan Pahang, Kolej Poly-Tech MARA Ipoh, Institut Latihan Perindustrian Ipoh dan banyak lagi.
Selain itu, pelbagai pengisian disediakan kepada para pengunjung seperti forum mengenai peluang-peluang pekerjaan dan pelaburan, sesi perkongsian kemahiran kerjaya, sesi motivasi diri dan persediaan menghadapi temuduga dan program kerohanian Bual Bicara ‘Santai Habis!.

Pihak penganjur juga akan mengadakan sesi TN50 Talk yang menampilkan Speaker YB Datuk Shahrul Zaman Yahya, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri Perak serta Dato’ Abu Bakar Mat Ali, Pegawai Khas YAB Menteri Besar Perak.

Majlis perasmian penutup karnival akan disempurnakan oleh YB Datuk Shahrul Zaman Yahya pada 26 Mac 2017 (Ahad) jam 1.30 petang. MBM mensasarkan seramai 10,000 orang mengunjungi karnival yang dianjurkan buat julung kali ini.

Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman web rasmi MBM, http://www.belia.org.my

 

Sekian, terima kasih.

 

MUA’AMAR GHADAFI JAMAL DATUK WIRA JAMALUDIN

Presiden

Majlis Belia Malaysia

merangkap;

Pengerusi

Karnival Kerjaya dan Pendidikan Belia Negara 2017

 

Tarikh    : 16 Mac 2017

Tel          : (019) 5599077

Emel       : mbm@belia.org.my

 




MBM Dalam Mengenalpasti Penggerak Inovasi Sosial

Perancangan Majlis Belia Malaysia (MBM) untuk membangunkan sebuah Pusat Inovasi Sosial Belia (PISB) semakin dapat direalisasikan dengan mengambil langkah mengenalpasti belia yang berpotensi sebagai individu-individu penggerak PISB pada program TOT Inovasi Sosial yang diadakan di Kompleks Rakan Muda Kampar, Perak pada 10 – 12 Mac 2017 yang lalu.

Program yang dihadiri oleh 19 orang peserta yang mempunyai minat yang mendalam di dalam bidang inovasi sosial ini telah berjaya mengasah bakat mereka melalui pelbagai pengisian yang diberikan oleh ahli panel yang berkaliber seperti Dr. Mazalan Kamis, CEO Institut Darul Ridzuan (IDR), Sdri. Florence Ki, Pengurus Kanan Yayasan Inovasi Malaysia dan Sdr. Robest Yong, Inovator Malaysia.

Beberapa anak muda setempat yang menggelarkan diri mereka sebagai “Tim Along” juga sempat berkongsi rahsia kejayaan mereka dalam bidang perniagaan yang mereka ceburi bagi memberi inspirasi kepada peserta untuk terus bersemangat dalam melakukan inovasi sekaligus berjaya mendatangkan pulangan hasil yang lumayan.

Dalam program ini, peserta diberikan satu tugasan yang mencabar kemahiran, kreativiti, keberanian dan kesungguhan mereka. Sejumlah wang RM5 diberikan kepada setiap kumpulan dan mereka perlu mencari jalan untuk menggandakan wang tersebut mengikut kreativiti masing-masing. Pelbagai inisiatif dapat dilihat antaranya berniaga di pasar malam, menawarkan servis menolak trolly di tempat letak kereta pasaraya, servis penghantaran dobi dan lain-lain. Melalui aktiviti sebegini, para peserta mengakui bahawa mereka mula sedar akan kelebihan yang mereka ada sekaligus mampu menonjolkannya kepada masyarakat.

Kumpulan inovasi Foresight: Young Inovators’ yang diketuai pengasasnya, Sdr. Naim Jaafar bertindak sebagai pelatih kepada peserta dalam hampir keseluruhan program. Turut hadir dalam menjayakan program ini adalah barisan Exco MBM antaranya Sdr. Hasnul Fairuz Hushin Amri, Sdr. Hasnul Haniff Harun, Sdr. Thai Ming Yeow dan ahli dalam Jawatankuasa Tetap Pendidikan dan Penyelidikan MBM, Sdr. Clive Allen.

Naib Presiden MBM, Sdr. Jufitri Joha hadir bagi merasmikan program selama tiga hari ini. Hadir sama dalam meraikan majlis perasmian ini adalah Setiausaha Kehormat Majlis Belia Negeri Perak, Sdr. Ahmad Shah Mohamad Salleh.