Belia perlu tingkatkan diri bagi pertahankan kemerdekaan

Salam sahabat semua, salam kemerdekaan dan semoga Allah merahmati kita semua.

Besar jasa nenek moyang kita memperjuang kemerdekaan negara kita sehingga terbentuknya Malaysia yang kita sama-sama cintakan ini.

Begitu banyak pengorbanan yang dibuat atas kepentingan bersama sehingga setiap dari kita rakyat Malaysia sekarang ini dapat mengecapi nikmat yang ada pada sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

Dalam melihat ke hadapan, anak muda juga perlu menginsafi peranan dan fahami sejarah yang membentuk apa yang kita ada sekarang ini.

Bukan kecil tugas meneruskan perjuangan kemerdekaan kita, tetapi mengisi kemerdekaan itu jauh lebih besar tanggungjawabnya.

Setiap dari kita ada peranan untuk mengisi kemerdekaan ini dengan nilai-nilai yang menjadikan kita ini Khaira Ummah dan menjadikan negara kita terus dihormati.

Hari ini anak muda perlu tingkatkan keupayaan diri utk mewarisi negara ini dengan sebaiknya.
Tingkatkan Iman,
Tambahkan Ilmu,
Naikkan Semangat,
Ikhlas dalam kelakuan,
Bersatu Hati, pemikiran dan tindakan terutama dalam menghadapi segala dugaan dan ancaman yang mendatang yang dikhuatiri boleh mempengaruhi anak muda belia. Ancaman boleh datang dalam bentuk PEMIKIRAN, BUDAYA dan sebagainya yang akhirnya boleh menyebabkan negara diJAJAH jikalau tersilap membuat perhitungan.

Allah swt berfirman dalam Surah Al-Baqara, ayat 204:
وَمِنَ النَّاسِ مَن يُعْجِبُكَ قَوْلُهُ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيُشْهِدُ اللَّهَ عَلَىٰ مَا فِي قَلْبِهِ وَهُوَ أَلَدُّ الْخِصَامِ

Dan di antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya), dan ia (bersumpah dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya, padahal ia adalah orang yang amat keras permusuhannya (kepadamu).

Marilah kita sama-sama berikrar untuk terus mempertahankan kemerdekaan demi agama, bangsa dan tanahair.

Wallahualam

Selamat Hari Kebangsaan ke-58
Salam Kemerdekaan

Mua’amar Ghadafi Jamal
Masjid Nabawi, Madinah
30 Ogos 2015




Ucapan Dasar Presiden MBM di MPAT MBM ke-64

 

https://www.youtube.com/watch?v=lxdyDl1AfCk

 

UCAPAN DASAR PRESIDEN


SDR. MUA’AMAR GHADAFI JAMAL DATUK WIRA JAMALUDDIN

PRESIDEN MAJLIS BELIA MALAYSIA

MESYUARAT PERHIMPUNAN AGUNG TAHUNAN

MAJLIS BELIA MALAYSIA KALI KE-64

PADA

7 OGOS 2015 (JUMAAT)

BERTEMPAT

HOTEL SERI PACIFIC,

KUALA LUMPUR

Assalamulaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Perpaduan,

  1. Segala puji dan syukur kehadarat Allah SWT atas kesempatan untuk kita bertemu lagi di Majlis Perhimpunan Agung Tahunan (MPAT) MBM kali ke-64.
  1. Terlebih dahulu mewakili saf kepimpinan MBM sesi 2014-2016, saya mengalu-alukan kehadiran saudara saudari ke MPAT, Majlis Belia Malaysia (MBM). Wahana penting ini bukan sahaja menghimpunkan pemimpin pergerakan belia Malaysia di bawah satu bumbung, tetapi lebih dari itu ia memberikan ruang kepada kepimpinan belia untuk bersama-sama menentukan hala tuju perjuangan kita untuk tahun-tahun mendatang.
  1. MPAT merupakan forum terbaik untuk melakukan proses introspeksi secara jujur dan telus bagi menilai keberkesanan kita dalam menjalankan misi menjulang martabat generasi muda Malaysia. Malah ia menjadi medan latihan kepada kepimpinan dan pendedahan awal kepada generasi pelapis kepimpinan.

ERA TRANSISI DAN CABARAN

  1. Kita sedang berada dalam jangka masa yang kritikal yang mana, pelan-pelan tindakan peringkat antarabangsa akan dilancarkan bagi mencapai agenda pembangunan pasca 2015. Ini kerana tahun 2015 ini merupakan tahun terakhir bagi banyak pencapaian rancangan-rancangan pembangunan sejagat, di peringkat dunia, dan serantau;seperti Millenium Development Goals, Komuniti ASEAN mahupun The Commonwealth Plan of Action for Youth Empowerment. MBM turut terlibat bagi urusan konsultasi pembangunan pelan-pelan tindakan ini bagi memastikan suara tempatan, bagi keperluan tempatan belia dan generasi muda akan datang diberi perhatian.
  1. Peranan Malaysia dalam mempengerusi ASEAN pada tahun 2015 sangat penting bagi menjayakan Komuniti ASEAN melalui tiga tonggak utama (Komuniti Politik Keselamatan, Komuniti Ekonomi dan Komuniti Sosio Budaya). Sebagai rantau yang pesat membangun ASEAN kini berada di landasan yang tepat ke arah membina cita-cita ASEAN. MBM turut menyumbang melalui Committee for ASEAN Youth Cooperation (CAYC) dan Kementerian Belia Dan Sukan Malaysia (KBS) khususnya berusaha melakar ASEAN Youth Work Plan 2016-2020.
  1. Di peringkat negara pula kita memasuki era baru pembangunan belia melalui Dasar Belia Malaysia yang telah dilancarkan oleh YAB Dato Sri Mohd Najib Tun Razak Perdana Menteri Malaysia sempena Hari Belia Negara pada 15 Mei 2015 yang lalu. Kesemua ini memberikan isyarat bahawa sesi ini penting dalam melakukan persiapan ke arah proses transisi dan zaman peralihan di dalam pembangunan belia negara.

SENARIO SEMASA

  1. Kesempatan ini MBM sekali lagi ingin menyatakan rasa simpati kepada seluruh keluarga trajedi pesawat MH370. Kita berkongsi rasa yang bercampur antara kehibaan mendengar berita buruk dan kesungguhan kerajaan Malaysia meneruskan usaha pencarian yang menjangkau lebih setahun.
  1. Moga ketabahan tersebut terus dapat dijelmakan di saat negara berhadapan dengan kehangatan politik dan kepimpinan politik negara.
  1. Namun pergerakan belia tidak harus terlalu dibuai di dalam kemelut itu kerana kita punya agenda penting mempersiapkan generasi pelapis kepimpinan yang kompeten dan bersedia. Hal ini penting kerana kita ingin membina masa depan dengan membentuk individu penerus kelangsungan.
  1. Ucapan dasar saya pada MPAT ke 64 ini menekankan kepada Rukun Pemimpin Belia dari pandangan saya. Kerukunan ini adalah penting bagi menegaskan keperluan dan pengesahan sebagai pemimpin belia. Saya menggariskan enam nilai penting dalam prinsip kerukunan ini, iaitu pertama Beriman, Berilmu, Bersemangat, Ikhlas, Bersatu, dan Relevan. Kerukunan inilah yang akan mengesahkan nilai-nilai kepimpinan yang perlu ada bagi mewarisi pergerakan belia.
  • BERIMAN
  1. Asas kekuatan sesuatu bangsa adalah nilai dalaman dan jati diri mereka. Sesuatu bangsa akan kuat bila berpegang kepada asas yang kukuh kerana tiada jaminan sesuatu bangsa akan kekal selamanya. Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra juga digelar Bapa Kemerdekaan pernah berpesan, “Dalam perjalanan sejarah manusia, tidak ada satu bangsa pun yang boleh menyelamatkan dirinya jika bangsa itu berdiam diri memeluk tubuh selamanya”.
  1. Menurut penulisan Imam Hasan al-Banna, perkara utama sebagai seorang anak muda adalah keimanan. Asas kekukuhan yang meyakini kepada Tuhan seluruh alam dengan segala kekuasaannya memberi demensi kekuatan kepada setiap insan. Saya percaya sekiranya seseorang pemimpin belia itu beriman, ia merupakan benteng yang ampuh dalam istiqamah dalam kehidupan.
  1. Pernyataan kepercayaan kepada Tuhan sebagimana terkandung dalam Rukan Negara merupakan teras kepada rakyat Malaysia. Cabaran kita dalam dekad mendatang ini adalah menyediakan para belia yang mempunyai asas keagamaan yang tinggi.
  • BERILMU
  1. Keperluan membudayakan ilmu dalam kalangan generasi muda adalah amat vital kerana ia membentuk keyakinan diri generasi ini. Generasi berilmu mampu menjana transformasi diri, keluarga mahupun komuniti. Proses pencarian ilmu itu sendiri dapat membentuk diri menjadi lebih berpendirian, dan tidak sekadar menjadi pak turut dan tukang sorak. Saidina Ali Abu Thalib pernah mengingatkan kepada kita “sekiranya kamu inginkan akhirat, hendaklah dengan ilmu, jika kamu inginkan dunia, hendaklah juga dengan ilmu, dan jika kamu inginkan kedua-duanya, hendaklah juga dengan ilmu.’
  1. Pencarian ilmu kini memerlukan kemahiran di samping ketekunan dan disiplin. Seiring kemajuan zaman, kemahiran celik digital atau digital literacy, walau pun kedengaran saintifik, adalah amat perlu untuk mencapai maklumat. Namun ia tidak terhenti di situ seharusnya dilanjutkan kepada kemahiran mengintegrasi, menganalisa dan menilai informasi yang diperoleh. Pertubuhan belia ini perlu ada program yang bercorak keilmuan dan sistem berguru, yang mana kehadiran, keperluan bersemuka dan keberadaan seseorang itu adalah penting.
  1. Rekayasa ini dapat membentuk kefahaman mengenai isu-isu sebenar yang dihadapi oleh golongan belia, seterusnya mampu memberi ruang penyelesaian kepada realiti semasa ini. Kita sudah mempunyai akses kepada proses perbincangan di peringkat organisasi, pihak berkuasa tempatan, kementerian melalui konsultasi dan sesi perbincangan rasmi. Justeru, ianya hanya memerlukan kesediaan pemimpin belia untuk melengkapkan diri dengan ilmu dan pengetahuan seperti pengetahuan mengenai undang-undang, urusan diplomasi dan perundingan, agar dapat menyuarakan kehendak belia melalui saluran yang betul dengan cara yang tepat.
  1. Antara inisiatif MBM dalam membudayakan ilmu adalah melalui pelaksanaan sesi meja bulat seperti Youth Ideas yang setakat ini telah membincangkan mengenai kesihatan mental, dan golongan belia miskin bandar selain itu program seperti Bengkel Pemikiran Literal turut telah diadakan.
  • Semangat Dan Nyalarasa
  1. Sesuai dengan ciri fizikal dan psikologikal orang muda yang kaya dengan cita-cita dan semangat yang berkobar. Dalam masa yang sama, kita perlu memahami kecenderungan semasa anak muda dalam menyeimbangkan inspirasi dan aksi. Pergerakan bersifat massa ini sebenarnya memerlukan semangat dan nyalarasa atau passion sebagai modal. Semangat yang bersifat sukarela ini perlu disantuni dengan iringan sokongan oleh rakan seperjuangan.
  1. Saya juga pasti rakan-rakan perwakilan juga mengerti keperluan dalam melibatkan diri dengan pergerakan belia ini. Pergerakan belia bukanlah satu ruang untuk membuat keuntungan atau memenuhi agenda peribadi, ianya merupakan satu medan untuk sama-sama memastikan suara belia dan nasib generasi belia akan datang lebih terbela.
  1. Kesemua ini hadir daripada kekuatan dalaman yang terbina daripada asas pemahaman yang kukuh terhadap makna dan tujuan kehidupan yang didasari oleh keilmuan dan keyakinan kepada agama. Semangat sebegini tidak akan tewas dengan habuan duniawi kerana mereka kental dengan idelisme dan nyalarasa perjuangan cita-cita.
  • Ikhlas
  1. Justeru, dalam penglibatan dalam pergerakan belia juga memerlukan keikhlasan dan hati yang bersih. Kita melaksanakan amanah dan tanggungjawab sebaik mungkin dan biarlah orang lain yang membuat penilaian. Kita tidak meminta untuk diberikan ganjaran tetapi yang kita mahukan adalah kepuasan dalam melaksanakan dan galakan untuk meneruskan.
  1. Tidak ada masalah untuk bernostalgia kepada kegemilangan lalu, namun harus diimbangi agar tidak berlebihan sehingga terbuai dengannya dan tidak menyedari bahawa zaman sudah berubah.
  • Bersatu Dan Saling Mengikhtiraf
  1. Peribahasa lama ada menyebut ‘tali tiga lembar itu, tidak suang-suang putus’ yang bermakna sekira kita bersatu, kita tidak akan mudah putus. Begitulah gambaran keperluan penyatuan dalam kerencaman. Walaupun sukar mencari kesempurnaan dalam diri seorang pemimpin namun kepimpinan kolektif menjadikan organisasi saling sokong menyokong antara satu lain.
  1. Tidak ada siapa yang dapat menafikan sumbangan gerakan belia dalam memberikan kesedaran dalam bidang-bidang yang mereka fokuskan. Bahkan ia datang dari kepelbagaian organisasi yang rencam. Kita perlukan adalah sikap memahami lebih daripada mempersoal yang bagi mewujudkan saling kerjasama.
  1. Hadirin hadirat sekalian, satu organisasi yang terbina dalam sesebuah kelompok masyarakat mungkin boleh jadi daripada kumpulan penduduk setempat, kumpulan rakan-rakan sosial, rakan-rakan sekerja dan lain-lain yang merupakan kunci kepada hidup bermasyarakat.
  • Relevan
  1. MBM berpendapat pergerakkan belia harus menumpukan kepada usaha-usaha menyediakan ‘world ready youth’, iaitu belia yang mampu bersaing di arena tempatan dan antarabangsa. Sekirangnya gagal, belia Malaysia akan menjadi penonton, tukang sorak dan bukannya pemimpin di pentas dunia.
  1. Setelah lebih 60 tahun kewujudan MBM, saya kira sampailah masanya kita melakukan pembaharuan – re-engineering dan re-inventing pergerakan belia Malaysia. Re-engineering dan re-inventing ialah satu penilaian semula terhadap asas-asas kerja dan pembaharuan ke atas proses bagi membawa satu perubahan yang bermakna.
  1. Re-engineering dan re-inventing menuntut pertubuhan-pertubuhan belia melihat semula matlamat, proses dan cara bekerja masing-masing. Kita mungkin merasa berpuas hati dengan cara bekerja selama ini kerana ia telah membuahkan hasil yang diharapkan. Bagaimanapun kita harus memikirkan adakah terdapat cara lain yang boleh dilakukan bagi mendapatkan hasil yang lebih baik daripada sekarang. Fokusnya bukan kepada apa yang dilakukan sekarang, tetapi apa yang sepatutnya dilakukan – not on “what it is” but on “what it should be” .
  1. Selari dengan tema Konvensyen Belia Kebangsaan yang diadakan pada Mei lalu, ‘Inovasi Sosial Teras Kelangsungan Pembangunan Belia’, pertubuhan belia harus melalui proses evolusi dan inovasi bagi memastikan survival mereka. Dalam rangka mereka mempengaruhi arah aliran perubahan, mereka juga harus bersikap pragmatik dan mengetahui bila bagi memasang layar dan memanfaatkan angin yang sedang melanda di sekeliling mereka. We must be able to capture their imigination. We must stay in touch with young people to remain relevent.

MBM in BUSINESS (MiB)

  1. Menyedari keperluan kepada perubahan dan cabaran yang pelbagai, MBM telah merangka secara bersama MBM in Business sebagai panduan dan perancangan kita bagi menghadapi 2020. MiB bukanlah bermakna MBM ini menceburi bidang perniagaan tetapi ia merupakan harapan memastikan kelangsungan MBM kekal releven memacu pembangunan belia.
  1. MiB merangkumi 5 nilai utama iaitu Kepimpinan, Kerja Berkumpulan, Menghormati Kepelbagaian, Kreatif dan Boleh Suai serta Perlembagaan Negara sebagai satu set asas pembentukan generasi belia.
  1. Sebagai asas kelangsungan kita mencernakannya sebagai satu plan pembangunan kehadapan MBM merangumi aspek Kepimpinan dan Pengurusan, kerja kesukarelaan, Aplikasi pintar dan media serta yang terakhir adalah pengantarabagsaan bellia Malaysia.
  1. Kita telah mula menggerakan Kursus Kepimpinan Skuad MiB300 sebagai persediaan kita menghadapi perlaksanaan sepenuhnya Dasar Belia Malaysia. Ia adalah suatu inisiatif bersama agar pertubuhan belia akan terus kekal berperanan dan mampu menghasilkan pengkaderan dan pimpinan pelapis baru. Program ini akan menyelusuri setiap daerah di setiap negeri di Malaysia demi untuk melahirkan sekurang-kurangnya 300 pemimpin belia pada masa akan datang
  1. Antara indikator dan peranan penting pergerakan belia adalah menyalurkan suara belia kepada kerajaan. Bagi maksud tersebut selain memperkukuh representasi MBM sebagai suara belia hasil latihan kepimpinan, penambahbaikan platform yang sedia ada juga terus diusahakan. Transformasi Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) sebagai wahana yang mendekatkan pimpinan belia dengan pentadbiran kerajaan kita perjuangkan bukan cuma dari aspek strukur malah perjalanannya agar lebih berkesan.

SUB-BUDAYA BELIA SEMASA

  1. Para perwakilan sekalian, ada perkara yang kita harus sedar mengenai attitude belia masakini. Perkara-perkara yang berlaku seperti fenomena politik dan ekonomi negara kini sangat memberi kesan kepada golongan muda kini. golongan muda ini amat sensitif dengan segala pergolakan yang berlaku di negara ini. Kita sendiri tidak boleh menafikan, memang banyak perkara yang membuatkan mereka ‘naik angin’ serta ‘panas hati’ dengan apa sahaja berlaku kini. menyemarakkan lagi api kemarahan mereka. Mereka bukan tidak bersyukur, tetapi mereka mahu melihat kebenaran di hadapan mata mereka.
  1. Ya, ini semua harus kita telan dan fahami mengenai atmosphere golongan muda kini. Ianya mudah sebenarnya. Mereka mahukan transparency, penjelasan secara terbuka, suara mereka didengari, dan diberikan sedikit penghargaan agar diri mereka dapat rasa dihargai.
  1. Oleh itu, pendekatan yang berbeza harus dilakukan bagi mendekati golongan muda masa kini. Mampukah kita mendekati golongan belia yang lantang ini? Bagaimana caranya? Bagaimana mahu mengubah persepsi mereka? Ini semua harus kita, sebagai pemimpin belia harus bijak merangka strategi yang berkesan bagi mendekati mereka. Kita tidak boleh mengharapkan mereka yang akan datang kepada kita. Tetapi kita sendiri harus turun ke gelanggang bersama-sama mereka, seterusnya mendekati mereka dengan cara yang tersendiri.

PERUBAHAN CORAK KEGIATAN

  1. Dalam proses mendekati belia masakini, kita mesti berani berubah dari segi gaya berfikir, cara kita bertindak dan juga cara bersukarela. Idea-idea yang lebih fresh disusuli oleh tindakan yang memberi impak yang besar kepada kelompok belia diperlukan. Suka saya memberikan contoh disini seperti sesebuah kumpulan atau gerakan bebas, atau dalam bahasa orang mudanya digelar independent atau indie yang bergerak secara asasnya bersandarkan kepada minat mereka dalam bidang tertentu seperti kumpulan clothing label, photography, kumpulan seni jalanan atau street art, kumpulan kereta / motorsikal, kumpulan sukan lasak dan banyak lagi.
  1. Tarikan golongan muda kepada kumpulan-kumpulan seperti ini amat besar sekali dan mereka berjaya mengumpulkan pengaruh mereka sendiri sedikit demi sedikit hingga berjaya membuka mata banyak pihak. Selain itu, golongan ini dilihat amat berjaya dalam usaha mereka mengubah persepsi masyarakat terhadap bidang yang mereka ceburi. Sebagai contoh, aktiviti sukan extreme, pakour dan lain-lain sebelum ini dilabel sebagai vandalisme dan sukan yang merbahaya.
  1. Apa kaitan semua ini dengan persatuan-persatuan belia yang ada sekarang? Apa yang kita dapat belajar daripada golongan ini? Tidak salah untuk kita mencontohi mereka. Persatuan-persatuan belia harus lebih progresif, pro-aktif, mempunyai idea generator yang lebih segar bagi memastikan mereka dapat mendekati belia sekarang ini.
  1. Kelangsungan pemimpin akan datang amat penting dan menjadi aspirasi utama MBM kini kerana corak serta budaya yang dilihat bakal berubah dimana golongan yang lebih muda, beraspirasi dan bersemangat tinggi akan menguasai barisan kepimpinan. Suka saya memetik kata-kata Tom Peters,

“Leaders don’t create more followers, they create more leaders.”

  1. Kita menginsafi daripada pengalaman lalu yang mana terdapat banyak persatuan belia di peringkat daerah tidak dapat meneruskan operasi kerana ketiadaan pemimpin pelapis. Usaha dalam melahirkan barisan pemimpin muda yang berkaliber, mempunyai jati diri, berakhlak mulia serta mampu bersaing dengan golongan muda di peringkat antarabangsa perlu diperkukuhkan.

KESATUAN DALAM KEPELBAGAIAN

  1. Umpama trend, ataupun mungkin hanya ingin menjadi popular, sesetengah individu amat gemar menyentuh isu-isu sensitif yang mampu menganggu-gugat perpaduan negara. Tidak ketinggalan terdapat juga golongan muda yang gemar bertindak melulu dengan menimbulkan kekecohan hanya disebabkan konflik individu namun apabila insiden tersebut menjadi viral, isu perkauman pula menjadi topik utama.
  1. Pelbagai penyebab yang boleh dirungkaikan. Secara tidak langsung ianya juga berkaitan dengan masalah belia masakini. Selain daripada tiada nilai kejujuran dalam diri, ianya mungkin disebabkan masalah lain seperti tekanan hidup, pengaruh rakan, tiada pendidikan dan seterusnya menjerumuskan belia itu sendiri ke dalam kehidupan yang negatif.
  1. Bagi maksud itu MBM menyeru agar segenap lapisan masyarakat harus komited terhadap usaha membina kerukunan dalam masyarakat terutamanya dalam hal urusan sesama masyarakat apatah lagi dalam masyarakat majmuk. MBM percaya, kerukunan dan persefahaman rakyat Malaysia dalam menanggani apa jua isu adalah bermula dari asas kejujuran dan sifat mempercayai antara satu sama lain.
  1. Saudara dan saudari sekalian, perpaduan adalah kekuatan kita dan perpaduan itu dapat memastikan kejayaan menjadi milik kita bersama.

PEMIMPIN DAN MASYARAKAT

  1. Pemimpin adalah seorang yang memiliki kecekapan serta kelebihan di satu bidang, sehingga dia mampu mempengaruhi orang-orang lain untuk bersama-sama melakukan aktiviti tertentu demi pencapaian satu tujuan.
  1. Kestabilan sesebuah negara (pemerintahan dan pentadbirannya) itu sebenarnya terbentuk bermula dari diri setiap individu yang kemudiannya keluarganya, dan seterusnya keterlibatannya dalam kemasyarakatan, yang akhirnya menyumbang dalam pembinaan sesebuah negara tertentu tersebut.
  1. Maka, perlulah untuk kita memahami bahawa pemimpin yang baik itu asalnya sebenarnya terlahir dari masyarakat kebanyakan iaitu dari kalangan sesama kita. Jika setiap individu tidak dibina dengan prinsip dan nilai yang betul, bagaimana kita mahu melahirkan pemimpin yang benar-benar baik dari kelompok masyarakat tersebut? Sedangkan usaha-usaha pembinaan yang positif tidak wujud dalam diri setiap individu yang membentuk sesebuah masyarakat tersebut.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya),

“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri            yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat inginkan kebaikan bagi kamu, dan ia pula menumpahkan perasaan belas kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman”

( Surah At-Taubah: 128)

PENUTUP

  1. Dalam menuju ke dimensi global, belia juga perlu berperanan dan peka terhadap cabaran luaran yang menuntut kepada tindakan yang paling berani dan bijak.Kini, dunia dilanda arus perubahan yang amat deras dalam dunia tanpa sempadan, pelbagai ancaman bentuk baru dikhuatiri boleh mempengaruhi belia.
  1. Ancaman boleh datang dalam pelbagai bentuk pemikiran, budaya dan ekonomi yang akhirnya boleh menyebabkan negara dijajah jikalau tersilap membuat perhitungan.Pembangunan generasi muda terletak kepada sahsiah, tahap ketinggian ilmu dan jati diri dalam menangani cabaran dunia global yang semakin mencengkam.
  1. Kunci kepada pembangunan insan dalam kalangan generasi muda ialah pendidikan yang berkualiti mengekalkan perpaduan. Pelbagai kejayaan dikecapi oleh negara yang kebanyakannya disumbangkan oleh golongan muda, sekaligus membuka mata antarabangsa bahawa Malaysia kini semakin melangkah ke hadapan dan golongan belia inilah yang akan menjadi pewaris kepada masa depan negara.
  1. Saudara saudari para perwakilan, dunia semakin canggih. Medan perjuangan kita menjadi semakin luas. Perjuangan pergerakan belia Malaysia bukan lagi dalam negeri, tetapi juga melepasi batasan sempadan negara. Belia yang ingin kita lahirkan bukanlah setakat ‘jagoaan kampung’, tetapi mereka yang boleh bersaing di pentas dunia.
  1. Pada persidangan ini, marilah kita sama-sama membulatkan azam dan menguatkan tekad untuk menjulang perjuangan belia Malaysia. Marilah kita harumkan nama negara dengan perjuangan yang ikhlas.
  1. Amzah Hamsuri pernah berkurindang kepada orang muda ditinggalkan pesan,

Wahai muda kenali diri mu,

Dialah perahu tafsir kumohon,

Tiada lah berapa lama hidup mu,

Ke akhirat jua kekal diam mu.

 

Arif muda arif budiman,

Hasilnya kemudi dengan pedoman,

Alat perahu jua pujangga,

Itulah jalan mengemudi insan.




UCAPAN DASAR SDR. MOHAMED MALIKI MOHAMED RAPIEE PRESIDEN MAJLIS BELIA MALAYSIA

MESYUARAT PERHIMPUNAN AGUNG TAHUNAN
KALI KE-63
MAJLIS BELIA MALAYSIA
♦ ♦ ♦ ♦ ♦ ♦
UCAPAN DASAR
SDR. MOHAMED MALIKI MOHAMED RAPIEE
PRESIDEN MAJLIS BELIA MALAYSIA
Tarikh
16 Januari 2015 (Jumaat)
Masa
9.00 malam
Tempat
Dewan Mahkota II
Hotel Istana, Kuala Lumpur

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam buat Rasullullah pemimpin agung pembawa kebenaran dan contoh ikutan.

Salam sejahtera buat para pendukung dan pembangun bangsa Malaysia. Semoga Allah sentiasa mencucuri rahmat serta maghfirah buat sekalian leluhur pejuang belia Malaysia yang telah awal dijemput Ilahi. Dipanjatkan doa agar Allah mengurniai kesihatan dan kesejahteraan yang berterusan kepada sekalian ahli dan pimpinan belia Malaysia dengan semangat kewarganegaraan yang kental serta persaudaraan yang sentiasa segar.

Salam Perpaduan ditujukan khas kepada keluarga besar Majlis Belia Malaysia. Hari ini sekali lagi kita berkumpul di bawah organisasi hebat yang berusia 67 tahun yang memiliki segala panca warna dan nyalarasa.
pipih dilayang sauh di dasar

sireh dimayang pauh dicicah

gigih berjuang berjiwa besar

berkasih sayang jangan berpecah

gigih berjuang berjiwa besar

berkasih sayang jangan berpecah

biar dihalang tidak tersasar

letih bergelanggang redha mencecah

Para perwakilan dan pemerhati yang dihormati.

Saya memanjatkan rasa syukur kehadrat Allah subhanahuwataala kerana dengan limpah perkenan dan izinNya kita berkesempatan untuk menghadiri Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan (MPAT) Majlis Belia Malaysia yang ke 63 ini. Sesungguhnya ini merupakan saat yang paling bermakna kerana MPAT merupakan satu arena penting yang menggambarkan kebersamaan dan kesepaduan keseluruhan ahli pertubuhan belia serta badan gabungan di bawah MBM. Sebagai sebuah badan induk pertubuhan belia yang kedudukannya terjamin di bawah Akta Pertubuhan dan Pembangunan Belia 2007 atau Akta 668, MBM merupakan organisasi yang sangat signifikan dalam membicarakan persoalan belia dan pembangunan belia di negara ini.

IDEALISME PERJUANGAN
MBM bukan dilahirkan hanya atas keinginan memenuhi hobi masa lapang, juga bukan dibentuk atas perasaan ingin menghimpun kekayaan serta pangkat dan darjat. MBM sebenarnya dibina atas rasa ingin melihat masyarakat dan negara ini hidup dalam suasana harmoni, rukun damai dan sayang menyayangi.
Kita seharusnya bersyukur kerana MBM dipelopori sejak awal lagi oleh golongan muda yang bukan sahaja bersemangat waja namun amat berpandangan jauh. Sejak awal penubuhan MBM pada tahun 1948, MBM telah membuktikan bahawa ia adalah sebuah rumah yang menemukan semua golongan muda tidak kira dalam kalangan anak-anak raja, aristokrat, birokrat, korporat atau proletariat. Nama-nama seperti Tengku Ahmad Shah, YM Tuanku Abdullah, Aminuddin Baki, Abdul Razak Husin, Sardon Zubir, Fred Arulanandom dan ramai lagi merupakan watak pembangun utama MBM yang pada masa itu bersinergi atas semangat cintakan watan tanpa mengira latar belakang, pangkat atau darjat.
Rasa cinta dan sanggup berkorban untuk watan mesti dibuktikan dengan kesanggupan berkorban tenaga, masa serta kehidupan untuk memastikan masa depan masyarakatnya terjaga. Kita meneladani sikap mengambil tanggungjawab para pimpinan MBM yang lalu yang berkhidmat bukan untuk dikenang namun masih mampu dilihat kesan kebaikannya. Sikap sebegini akan memastikan MBM sentiasa terkehadapan dalam segala hal dan persoalan. Mengambil kisah kepimpinan Almarhum Tun Abdul Razak Hussin, Perdana Menteri Malaysia yang kedua dalam konteks advokasi belia; beliau sanggup bekerja di belakang tabir sehingga mampu mendapatkan pengiktirafan Perhimpunan Belia Sedunia – World Assembly of Youth (WAY) di Brussel yang mana ia membawa kepada penubuhan MBM pada 1948. Almarhum Tun Abdul Razak Hussin seorang yang terpelajar dan datang daripada keluarga aristokrat pada masa itu boleh memilih dua jalan hidup berbeza iaitu samada terlibat dalam MBM pada peringkat awal dan terus mengambil jawatan Pengerusi kerana kemampuannya untuk mengawal golongan kerabat dan proletariat, atau juga terus tidak perlu melibatkan diri dalam kerja-kerja awal penubuhan organisasi yang pastinya banyak menuntut pengorbanan masa, tenaga dan juga wang. Namun Almarhum Tun Abdul Razak memilih jalan yang ketiga iaitu bersungguh-sungguh membina MBM tetapi menyerahkan jawatan Pengerusi kepada seorang professional berlainan kaum iaitu Mendiang Hakim Fred Arulanandom (Azam Ismail Bakri, Suziyana Natasha Abdullah (2013) halaman 420).

KEPIMPINAN BERORGANISASI
Peristiwa ini menunjukkan betapa pimpinan yang terdahulu membuktikan bahawa dalam usaha membangunkan masyarakat secara berorganisasi perlu digerakkan secara bersama, berstrategi dan berpandangan jauh tanpa memikirkan kepentingan peribadi.
Sebagai mantan Presiden Majlis Belia Negeri Pulau Pinang 2008-2012, saya sentiasa mengingati kata-kata Encik Khoo Yeoh Gan Hong, Pengerusi Settlement Youth Council bagi penggal 1956-1957, dalam ucapan sulung beliau selepas dipilih selaku Pengerusi pada 5 Mei 1957;-
“Within a few months we shall welcome a new era in the history of this country. We must be prepared to face and accept greater challenges and responsibilities. To this end let us pray for a strong back rather than for a light burden. As youth leaders and workers of all races, classes and creeds, may we be given the strength to spread the spirit of the brotherhood, goodwill and tolerance and may our personal examples be worthy of emulation” (Misni Surif, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee & Ishak Saat (2008) 60 Tahun Perjalanan Majlis Belia Negeri Pulau Pinang, 1948-2008.)

MENITI ERA TRANSISI
Menyedari hakikat MBM adalah sebuah warisan yang mesti dipertahankan, maka kesedaran itulah yang menjadi motivasi dalam memimpin dan mentadbir MBM semampu yang mungkin. Sebahagian besar rakan pimpinan MBM pasti mengetahui liku-liku serta suka duka kepimpinan MBM pasca-era Akta 668. Barisan pimpinan yang dianggap muda dan mentah pada usia bawah 40 tahun yang punyai limitasi sumber daya dan sumber material. Jumlah hutang melebihi RM2.8 juta adalah hakikat pahit yang kami harus kunyah dan telan. Tempoh enam bulan pertama kami merelakan diri untuk bersahabat dengan para pemiutang dan penghutang yang rata-ratanya amat sinis dan pesimis terhadap MBM.

Sebagai manusia biasa, kadang-kadang timbul rasa jengkel dan resah yang bersilih ganti. Pernah suatu masa, di awal pagi saya dan Saudara Mohd. Zaidi Aziz, Setiausaha Agung MBM sedang dalam perjalanan pulang dari sebuah program di Hulu Selangor, dalam keletihan dan rasa mengantuk kami mendapat panggilan telefon dari pihak pemiutang lampau yang menuntut bayaran segera atau MBM akan berdepan tindakan undang-undang. Ia membuatkan kami terpana seketika dan seolah-olah tidak menyedari bahawa kami sedang memandu di tengah-tengah lebuhraya.

Namun hidup perlu diteruskan! Memimpin MBM adalah satu pilihan, bukan nasib atau kebetulan. Maka kami cuba hadapi setiap cabaran dan rintangan. Mengetuk pintu pejabat Pak Menteri dengan masa menunggu berjam-jam adalah rutin permulaan usia kepimpinan kami. Usahkan mengharap ihsan syarikat korporat untuk memberi tajaan, bahkan hendak membuat tempahan hotel di sekitar bandaraya Kuala Lumpur ini pun mengundang rasa sangsi dan tidak percaya.

Firman Allah Taala dalam Surah Al Insyirah ayat 5-6 :
“ Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan,
Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan”

CABARAN TRANSFORMASI
Menghadapi realiti ini, kejayaan mantan Perdana Menteri Republik Singapura Lee Kuan Yew yang berjaya mengubah negara kecil itu daripada sebuah negara dunia ketiga kepada negara maju sebagai inspirasi. Beliau mengakui pada awal pentadbiran setelah berpisah dengan Malaysia pada 1963, beliau berasa agak tersisih dan bersendiri. Sebagai sebuah negara kecil dengan ekonomi kelas dunia ketiga iaitu Pendapatan Dalam Negara Kasar USD 400 pada 1959 telah meningkat kepada USD12,200 pada tahun 1990 dan sewaktu beliau melepaskan jawatan ia terus meningkat kepada USD22,000 pada tahun 1999. Lee Kuan Yew memimpin negaranya dalam situasi “Going It Alone” tetapi berjaya memenangi hati rakyatnya untuk terus kuat dan tabah berusaha melalui usaha menyediakan keperluan-keperluan asasi rakyatnya (From Third World To First. The Singapore Story 1965-2000. Memoirs of Lee Kuan Yew. 2008).

MENGENAL HAKIKAT DIRI
Suatu hakikat yang harus diakui ialah kekuatan yang terbentuk dalam MBM melalui kebergantungan dan jaringan yang kukuh di antara badan-badan gabungan MBM. Saya sentiasa menyedari dan menginsafi bahawa para pemimpin dan barisan ahli jawatankuasa kerja seluruh badan gabungan MBM merupakan pemegang taruh atau stakeholder yang mesti dihormati dan diutamakan. Dalam kebimbangan dan keresahan sebaik sahaja memikul tanggungjawab sebagai Presiden, saya telah mendapat panggilan telefon dari Profesor Zainal Arifin Mohd Ishak, yang merupakan mantan Penggawa Desasiswa Fajar Damai, Universiti Sains Malaysia (USM) di mana saya pernah dilatih dan dibimbing sewaktu dalam zaman pengajian di Universiti. Suatu pesanan ikhlas beliau “jadilah seperti diri sendiri dan sentiasalah berkhidmat mengikut landasan yang betul”. Beliau menyarankan agar saya mengambil contoh kepimpinan dan sahsiah junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. yang terbukti memiliki empat sifat yang terpuji iaitu Siddiq, Amanah, Tabligh dan Fatanah.

AMANAH KEPIMPINAN
Dengan moto “Belia Bertindak untuk Kebenaran dan Keadilan” pimpinan MBM menggarap semangat idelisme ini seutuhnya dalam meraikan segala perbezaan. Ternyata jatuh bangun dan kecemerlangan MBM bukan cuma bersandarkan kepada kehebatan individu atau satu kumpulan semata-mata. Keunggulan ini adalah berdasarkan kepada kekuatan kolektif dan kepimpinan menyeluruh (collective leadership).
MBM adalah wadah untuk kita berkongsi kekuatan dan iltizam. Peribahasa “yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing” dan “bulat air kerana pembentung, bulat rakyat kerana muafakat” adalah sangat tepat untuk menggambarkan kekuatan MBM yang diasaskan oleh solidariti serta kebersamaan dalam organisasi ini.

Ia bersesuaian dengan pendapat penulis Paul Arden, 2003 dalam buku beliau yang bertajuk “It‟s not how GOOD you are, it‟s how GOOD you want to be”. Menurut beliau, visi tentang ke mana atau siapa yang anda ingin capai merupakan aset paling hebat yang anda miliki. Tanpa memiliki matlamat pasti sukar mencapai kejayaan. Tambah beliau lagi, untuk mencapai kejayaan, ia perlu digerakkan oleh tenaga iaitu melebihi 75% daripada keseluruhan usaha tersebut. Seterusnya untuk berjaya anda tidak harus mencari pujian semata-mata, sebaliknya harus mampu mencari dan menerima kritikan”

PERUBAHAN GENERASI
Umum memaklumi bahawa golongan muda yang kita sedang depani pada waktu ini adalah jauh berbeza dengan kelompok pada masa lalu. Justeru jika kita menganggap hari-hari esok sentiasa sama dan tidak berusaha untuk menghadapi perubahan maka sebenarnya kita perlu sedar bahawa perubahan itulah yang akan mengubahnya! Bercakap tentang masa depan dan realiti sebuah perubahan, Majalah Forbes 2014 ada menyatakan bahawa “Change will happen much, much faster” Perubahan akan berlaku dengan banyak, ia berlaku sangat pantas!

Ambil sahaja aspek teknologi sebagai perbandingan dalam tempoh sepuluh atau dua puluh tahun yang lalu. Pastinya kita akan mendapati perbezaan yang sangat ketara kerana kajian menunjukkan Teknologi masa kini adalah SERIBU kali lebih berkuasa berbanding pada tahun 2004 dan SEJUTA kali berkuasa berbanding tahun 1994. Bahkan sekiranya anda fikir masa lalu adalah sangat sukar, sebenarnya masa depan adalah jauh lebih sukar (Majalah Forbes, 2014). Kerana itulah MBM mesti mempersiapkan diri untuk menghadapi perubahan masa depan dengan tanpa rasa ragu dan was-was.

DASAR BELIA MALAYSIA
Pemurnian semula Dasar Pembangunan Belia Negara 1997 sebagaimana yang dibentangkan di dalam MPBN dan Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia yang dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri adalah sangat komprehensif. Bermatlamatkan memperkukuh dan menyerlahkan potensi modal insan belia, ia disesuaikan dengan metod semasa, melalui penumpuan kepada lapan kelompok sasar dengan sembilan bidang keutamaan belia dan tiga teras utama. Tumpuan paling utama adalah strategi pelaksanaan merentas generasi dan pelaksana.

Aspek utama perubahannya ialah pentakrifan had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun menjelang tahun 2018. Perubahan ini mengundang pelbagai polemik antara memenuhi kehendak piawaian tertentu dan realiti semasa. Pada asasnya MBM bersetuju agar penumpuan lebih fokus kepada pengisian dan program pembangunan belia dalam kelompok sasar tersebut.

Adalah lebih murni dan lebih utama kepimpinan belia di dalam organisasi dan pergerakan belia terus dilatih secara berterusan agar menjadi pelapis yang punya kompetensi memikul amanah kepimpinan yang lebih tinggi. Kepimpinan perlu terus dilatih, dilibatkan dan diupaya semampunya justeru aspek kepimpinan dan pengurusan dalam organisasi kebeliaan perlu dititikberatkan. Maka kerajaan dalam tempoh kurang tiga tahun ini membantu MBM memugar dan membentuk kepimpinan belia pada peringkat akar umbi dengan penuh serius dan mendalam. Dengan usaha ini kemudiannya kita dapat melihat kebolehcapaian pelaksanaannya secara meluas pada masa tersebut.

Saya amat yakin Kementerian Belia dan Sukan Malaysia juga telah bersedia untuk menangani keperluan ini. Sebagai bukti, MBM sendiri telah dilibatkan pada peringkat awal untuk sama-sama menyediakan modul latihan bagi tujuan tersebut.

PERPADUAN DAN PENYATUPADUAN
Kita bersyukur bahawa Malaysia terus mengekalkan keharmonian dalam negara dengan kepelbagaian dan kerencaman budaya, bahasa dan agama. Malaysia diiktiraf oleh dunia sebagai sebuah negara yang aman dan stabil malah menjadi contoh kepada sebahagian daripada negara-negara lain. Namun kita sedari bahawa mempertahankan dan mengekalkan perpaduan bukan perkara mudah justeru agenda penyatupaduan pelbagai kerencaman ini perlu didokong khususnya oleh generasi muda agar Malaysia akan lebih dihormati lagi.

Menurut YBhg. Prof Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, Formula B&N iaitu “Formula of Bargaining & Negotiation” atau prinsip dan ikhtiar „runding dan tolak ansur‟ inilah yang mendasari proses PENYATUPADUAN (reconciliation) di Malaysia yang merupakan usaha berterusan sejak dari sebelum merdeka lagi hingga ke saat ini.

Beliau seterusnya mengungkapkan “Dalam tahap ini, banyak perkara yang mesti diselesaikan kerana terdapat pelbagai kontradiksi yang terkandung dalam KESEPADUAN itu. Usaha-usaha inilah yang bergerak sebagai proses PENYATUPADUAN. Proses ini tidak akan berhenti, kerana selagi ada kepelbagaian, selagi itu usaha PENYATUPADUAN mesti diteruskan.”

MBM juga mengakui bahawa perpaduan bukanlah suatu yang boleh dipaksakan melainkan ia terbit daripada rasa saling memahami, bertolak ansur dan menghormati hak dan kedudukan masing-masing. Masyarakat akan lebih akrab sekiranya sikap memahami lebih utama daripada terus mempersoalkan.

Mengisafi peringkat kesepaduan ini adalah prasyarat utama kepada perpaduan, MBM terlibat secara aktif dalam mengerakkan agenda ini bersama pihak Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN). Daripada program sekecil „unity corner‟ sempena Festival Belia Putrajaya yang lalu sehinggalah kepada program Sembang Santai Belia di kawasan pedalaman kampung orang asli bagi mendapat pandangan yang tuntas dari kelompok belia pelbagai lapisan.

Sementara itu, 2 siri perbincangan meja bulat (round table discussion) iaitu Belia dan Hak Asasi Manusia (April 2014) Realiti Pendidikan dan Cabaran Perpaduan (Jun 2014) bersama wakil-wakil dari Global Moderates Movement Foundation, Institut Kajian Etnik (KITA) UKM , Institut Kemajuan Islam Malasyia (IKIM) , Women‟s   Aid Organisation, Kementerian Pendidikan dan individu-individu yang pakar dalam bidang tertentu bagi menjayakan program tersebut.

Segala input-input ini dikongsikan dalam siri perbincangan bersama pihak atasan yang kebetulan saya juga merupakan Pengerusi kepada Jawatankuasa Belia dan Perpaduan di Jabatan Perpaduan Negara dan Integrassi Nasional, dalam Jawatankuasa besar Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) yang dipengerusikan oleh Tan Sri Samsudin Osman.

BELIA DAN ISU ANTARABANGSA
Dunia pada saat ini berhadapan dengan situasi tidak menentu. Kebencian, keganasan dan penindasan terus berlaku di segenap pelusuk dunia. Dunia dikejutkan dengan kejadian pembunuhan lima kartunis majalah satira Charlie Hebdo minggu lepas kesan daripada tidak sensitif, provokasi dan kebencian. Sesuatu keganasan tidak akan berlaku jika root causenya tidak berlaku. Apa yang dilihat hanyalah simptom namun punca sebenar ialah kerana sudah hilang rasa sensitiviti, hormat menghormati lintas agama dan ras, kasih sayang dan suburnya rasa kebencian yang tidak ditangani secara bijaksana.

MENOLAK EXTREMISM
Begitu juga apabila munculnya kumpulan Islamic State of Iraq and Syria (IS). IS muncul kerana ketidakadilan polisi luar negara Barat yang sering kelihatan menindas negara-negara umat Islam di Asia Barat dan kezaliman pemerintah autokratik setempat. Respon penindasan di Iraq dan Syria ini menyebabkan sebahagian kecil rakyatnya mengambil keputusan untuk memberikan respon melalui keganasan sebagai mesej membalas dendam atas apa telah berlaku selama ini. Lebih malang kumpulan ini bertindak lebih ekstrim dan membunuh orang tidak sehaluan dengan mereka dan orang yang tidak berdosa.

Justeru kemunculan IS adalah respon kepada penindasan dan ideologi kumpulan itu sendiri yang berpegang kepada ideologi ekstremisme. Walaupun IS bersalah dan dikutuk, namun kesalahan IS harus dikongsi oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab memprovokasi kemunculannya.

Apa yang lebih membimbangkan ialah apabila sekumpulan rakyat Malaysia daripada 39 rakyat Malaysia yang berjuang di Syria terlibat dalam kumpulan IS. Sebahagiannya besarnya adalah belia yang kurang berilmu, tidak memahami keutamaan (aulawiyat) bahkan bertindak melulu dengan mengambil keputusan berjuang di Syria. Keutamaan belia Malaysia ialah membantu negara membangunkan kekuatan ilmu dan teknologi supaya Malaysia menjadi sebuah negara kuasa besar dunia yang membawa keamanan terhadap dunia keseluruhannya.

Walaubagaimanapun MBM mengambil kesempatan ini untuk menggesa Kerajaan Malaysia sebagai Ahli Tidak Tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2015-2016 menggunakan pengaruhnya bagi melobi dan mengajak masyarakat dunia agar peperangan di Syria dihentikan segera sebagaimana peranan yang dimainkan oleh Malaysia dalam memperjuangkan isu Palestin dan perdamaian di Selatan Filipina. Selain itu MBM menyambut baik pembentangan Kertas Putih di Parlimen pada 26 November 2014 yang lalu bagi menangani ancaman kumpulan IS dan menyelamatkan belia Malaysia daripada terus terlibat dalam kumpulan ini. MBM yakin Malaysia mampu memainkan peranan signifikan dalam mempromosikan keamanan dan kesederhanaan sehingga setiap inci bumi dunia ini serta etnik-etnik yang tertindas seperti di Palestin, Myanmar, Irian Jaya, Xinjiang, Afrika Tengah dan sebagainya.

Bagi MBM, cabaran yang menanti ialah bagaimana memperkasakan pertubuhan belia seluruh negara bagi menyediakan program-program yang menarik dan bermanfaat untuk belia Malaysia daripada terlibat dengan anasir-anasir negatif dan ganas. MBM akan terus mempromosikan elemen wasatiyyah atau kesederhanaan kepada belia Malaysia agar mereka hidup secara sihat dan seimbang serta menyumbang kepada keamanan sejagat.

BELIA DAN KOMUNITI ASEAN
Pengantarabangsaan Belia Malaysia khususnya mendepani Komuniti ASEAN menjadi gerak kerja MBM, apatah lagi ia diangkat sebagai tema Konvensyen Hari Belia Negara 2014 yang lalu. Melalui wadah Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Sidang 3 Penggal ke-29 tahun 2011/2012, kita telah menyuarakan hal ini seterusnya diikuti oleh satu pembentangan khusus berkaitan Komuniti ASEAN oleh Arwah Abu Qassim Nor Azmi, Exco MBM. Kita menyedari bahawa pergerakan belia selain menumpu kepada memperkasa belia di akar umbi melalui program setempat, perlu juga menjangkau persoalan global sebagai satu daripada elemen pemerkasaan dalam pembangunan belia. Ternyata minat dan kecenderungan mereka kepada hal-hal antarabangsa ini merupakan satu elemen tarikan golongan belia mendekati organisasi belia.

Melalui gerak kerja Forum Belia Celik Komuniti ASEAN yang digerakkan di seluruh negara dengan kerjasama Kementerian Luar Negara, Jawatankuasa Kerjasama Belia ASEAN (CAYC) dan KBS serta agensi kerajaan lain seperti MITI, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, kita mendapati usaha penyegaran isu serantau ini mendapat tempat utama dalam kalangan belia dan perlu terus digerakkan. Kesempatan kerusi Pengerusi ASEAN oleh Malaysia perlu diguna sebaik mungkin dan perlu seize the moment bagi matlamat penyegaran rasa cakna golongan belia terutamanya belia akar umbi (grass root) terhadap isu serantau ini.

Menurut kertas pembentangan Young People-Building Tommorow‟s ASEAN Today oleh H.E Alicia R. Bala, Deputy Secretary General of ASEAN for Social Cultural Community sempena 8th ASEAN Ministerial Meeting pada 23 Mei 2013 di Brunei menyatakan “around 60% of population today comprises of those under 35 years old and they are the driving force to shape our future”. Selanjutnya beliau mengungkapkan “.. represents one of ASEAN‟s greatest assets and one of the most important groups in ASEAN that will help ASEAN realise its vision of the Community by 2015”.

Bagi maksud tersebut MBM sentiasa memainkan peranan bagi memastikan golongan belia tidak tercicir daripada arus perdana ini. Penglibatan kita secara aktif di dalam CAYC sebagai organisasi yang telah diiktiraf di dalam The ASEAN Charter amat signifikan bagi memastikan idea dan semangat belia dapat diangkat ke peringkat pembuatan dasar antara negara-negara anggota ASEAN menerusi mesyuarat official peringkat ASEAN Senior Officials Meeting on Youth (SOMY) dan ASEAN Ministerial Meeting on Youth (AMMY). Selain itu CAYC juga berperanan sebagai jaringan yang menghubungkan belia Malaysia atau persatuan-persatuan belia di Malaysia dengan rangkaian hubungan CAYC di ASEAN. Menerusi Pra Persidangan Pemimpin Belia ASEAN  pada Ogos 2014 di Kuala Lumpur yang lalu, keupayaan belia Malaysia mampu diketengahkan dalam mengangkat aspirasi belia negara ASEAN yang menyentuh 5 aspek iaitu Kepimpinan, Keusahawanan, Kemahiran, Kesukarelaan dan Penguasaan Teknologi.

Masyarakat umum percaya bahawa integrasi ASEAN akan menghasilkan lebih banyak peluang pekerjaan dan membolehkan golongan belia bergerak dan berhubung dengan lebih bebas dan pantas dalam rantau ASEAN. Namun tidak juga menafikan bahawa masih wujud persepsi negatif yang bimbang akan integrasi ASEAN yang boleh melonjakkan jumlah migrasi tenaga kerja asing lantas menjurus kepada hilangnya peluang pekerjaan kepada warga tempatan.

Dalam kaitan ini MBM ingin mengajak para belia meneliti persefahaman Mutual Recognition Arrangements (MRAs) iaitu persetujuan bersama negara ASEAN dalam pergerakan secara bebas tenaga profesional dan buruh mahir yang diiktiraf dalam 8 bidang pekerjaan iaitu bidang Kejuruteraan, Arkitek, Perubatan, Pergigian, Kejururawatan, Juru Ukur Bahan dan Akauntan. Natijahnya golongan berkemahiran dan berpengetahuan yang mempunyai kemahiran pelbagai bahasa, kurang liabiliti dan pekerja sektor swasta mempunyai ruang yang besar dari manfaat integrasi ini.

PENGUPAYAAN BELIA BERKEMAHIRAN
Menyedari cabaran tersebut, faktor pengisian minda, kemahiran dan survival hidup belia adalah penting. Tidak ada bekalan yang lebih berharga daripada mengisi golongan belia dengan ilmu pengetahuan, kemahiran hidup dan kemahiran diri untuk terus bersaing di arena penghidupan. Segenap lapisan belia perlu diberikan ruang dan peluang memajukan diri melalui kesempatan berada dalam sistem pendidikan negara. Dalam konteks ini, selain memperjuangkan nasib golongan mahasiswa, MBM melihat kelompok belia berkemahiran sebagai kumpulan penting dalam memacu negara menjadi sebuah negara maju.

MBM melalui ruang MPBN dan Majlis Konsultasi Bajet Negara telah menyuarakan agar dana Tabung Pembangunan Kemahiran (TPK) dipertingkatkan daripada hanya RM 300 juta kepada RM 1 billion bagi memberi ruang pembiayaan. Umumnya mereka ini merupakan golongan yang kurang berjaya dalam aspek akademik tetapi mempunyai bakat dan potensi dalam aspek kemahiran. Setiap tahun sekitar 250,000 daripada 450,000 orang calon yang menduduki SPM dilihat berpotensi diberi peluang kedua untuk menjalani latihan kemahiran samada di ILKA atau di ILKS. Melalui program 1 Belia 1 Kemahiran (1B1K), MBM telah berjaya membantu 4,000 orang belia mendapatkan peluang latihan kemahiran dan penempatan kerjaya. Malah ia menjadi pengantara merapati golongan pelajar dan golongan pengendali pusat latihan membawa permasalahan mereka kepada pihak berwajib khususnya dalam soal pengiktirafan.

Mengikut Laporan Tahunan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) 2013, sejak tahun 1999 usaha mendapatkan pengiktirafan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) terhadap Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) telah dilakukan. Mengikut Statistik JPK pada bulan Oktober 2014, sebanyak 1,535 standard pekerjaan telah dibangunkan oleh kerajaan, pakar latihan kemahiran dan pakar industri tetapi hanya 17 bidang sahaja yang diiktiraf oleh JPA. Sesuatu yang merugikan dan malang apabila standard yang dibangunkan dan dipersijilkan oleh kerajaan tidak diiktiraf oleh pihak kerajaan sendiri. Ini secara terang dan jelas menyekat bakat belia berkemahiran yang kompeten untuk berkhidmat dalam sektor kerajaan.

Kerajaan meletakkan sasaran untuk mewujudkan sebanyak 3.3 juta peluang pekerjaan di negara ini menjelang 2020. Daripada jumlah itu, sebanyak 50 % atau 1.65 juta orang pekerja mahir diperlukan. Peluang ini pastinya akan diisi oleh golongan belia yang memilih latihan kemahiran sebagai pilihan untuk membina kerjaya. Namun terdapat juga belia yang bekerja tanpa apa-apa sijil tetapi mempunyai pengalaman antara 4 tahun ke atas, perlu juga diberi pengiktirafan menerusi Sijil Kemahiran Malaysia atau Diploma Kemahiran Malaysia atau Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia melalui program Pentauliahan Pencapaian Terdahulu (PPT). Ini akan dapat membantu kerajaan mempercepatkan bilangan tenaga mahir negara dari kalangan mereka yang mahir berdasarkan pengalaman kerja.

MBM amat optimis terhadap sistem pembangunan kemahiran di negara ini dengan kejayaan peserta Malaysia menggondol 9 emas, 5 perak dan 4 gangsa dalam ASEAN Skills Competition di Hanoi, Vietnam pada November 2014. Ini menunjukkan transformasi Pendidikan Teknikal & Latihan Vokasional (TEVT) mula menampakkan hasilnya.

MENYONGSONG FAJAR BARU
Kehidupan harus diteruskan dengan berlandaskan semangat dan mengenggam azimat “esok lebih baik daripada hari ini”. Atas dasar anjakan pemikiran harus dibina dengan memberi lontaran hala tuju jauh ke hadapan agar horizon pemikiran dan pandangan mencapah seluasnya bagi kita mencipta laluan-laluan mencapainya. Kita bersama-sama telah sepakat dalam membuat perencanaan bahawa pergerakan belia perlu kehadapan dan benar-benar membawa suara belia pelbagai peringkat.

Sebagai asas kelangsungan ini kita telah mencernakan MBM in Business (MIB) sebagai satu plan pembangunan kehadapan MBM dan seluruh badan gabungannya. Kita bersama-sama berbincang dan menghadami pelan perancangan ini di peringkat Jawatankuasa Kerja Pusat dan seterusnya ke peringkat Dewan Tertinggi MBM sewaktu di Kota Kinabalu baru-baru ini. Menyedari bahawa kerelevenan sesebuah organisasi bukan sahaja berdasarkan atau berbangga dengan sejarah masa lalunya tetapi harus terus mencipta sejarah akan datang.

Dalam kaitan ini amat relevan pepatah arab bermaksud “bukanlah seorang pemuda itu jika berbicara kehebatan bapanya , tetapi pemuda itu adalah yang membuktikan tentang dirinya sendiri” .

Menyedari beberapa trend perubahan dapat kita jangkakan seperti perubahan demografi belia dengan populasi belia seluruh dunia telah meningkat. Ini membawa kepada perubahan penyebaran dan resapan kuasa yang kini mudah beralih kepada elemen individu dan yang mempunyai kekuatan jaringan. Natijahnya membawa kepada perubahan dalam landskap media dengan kemunculan dan pengambil alihan media baru sebagai media utama dan menarik malah amat dekat dengan belia. Semua ini dipercepatkan lagi dengan kuasa teknologi yang membuka persaingan terbuka terhadap akses sumber dan khalayak yang pelbagai.

Matlamat memastikan kelangsungan MBM sebagai badan induk persatuan belia di negara ini adalah tanggungjawab bersama. Kesinambungan akan lebih bermakna dengan pembangunan mapan melalui usaha menyeluruh dan bersepadu bagi memenuhi keperluan masa kini tanpa menjejaskan keperluan masa akan datang. Strategi perlu diatur dan dilaksanakan setepatnya melalui pemerkasaan elemen pendanaan, peruntukan sumber, kekuatan produk dan perkhidmatan, kompetensi ahli, pekerja belia dan kemantapan organisasi. Bagi maksud tersebut elemen sumber yang kita simpulkan kepada Konsep 4M iaitu Insan (Manpower), Jentera (Machines), Dana (Money) dan Alatan (Material) menjadi faktor penentu terpenting kepada kejayaan ini.

TALIAN KEPIMPINAN
Organisasi belia di akar umbi (Majlis-Majlis Belia Daerah / Jajahan / Bahagian / Kawasan / Cawangan) merupakan nukleus terpenting dalam menyediakan “leadership supply” demi kelangsungan kepimpinan MBM khususnya dan belia Malaysia secara keseluruhannya. Justeru, MBM beriltizam untuk melatih dan melahirkan sekurang-kurangnya 300 orang pemimpin belia dalam tempoh tiga tahun ini melalui proses latihan berstruktur seperti kursus-kursus kepimpinan, penyertaan sidang meja bulat, program praktikum, pertukaran belia dan pertandingan.

Manakala proses latihan tidak berstruktur turut dilaksanakan seperti penyertaan dalam misi kesukarelaan, lawatan tapak serta perhubungan media baru. Peristiwa bencana banjir yang berlaku baru-baru ini juga telah menjadi medan ujian atau “testing ground” penilaian kepada keseluruhan organisasi akar umbi kita dalam hal keupayaan kepimpinan serta urustadbir belia mengikut lokaliti. Ternyata sebahagian besar kita memiliki keupayaan yang sangat hebat untuk menggerakkan pasukan sukarelawan masing-masing. Secara langsung ia telah melahirkan individu-individu belia yang berpotensi untuk diketengahkan pada peringkat yang lebih tinggi lagi.

Kegagalan kita meningkatkan keupayaan kepemimpinan peringkat akar umbi sebenarnya akan mengancam kelangsungan kepimpinan negara kerana akan berlaku ketidakseimbangan pembangunan pada peringkat lokaliti. Kawasan-kawasan kampung, luar bandar dan pedalaman mesti memiliki individu belia yang sanggup tinggal serta menetap di wilayah tersebut dan seterusnya menjadi catalyst yang mampu mempercepatkan proses pembangunan.

KEPIMPINAN DAN MASA DEPAN
Berat tanggungjawab kepimpinan bukan cuma menghadapi cabaran, bebanan tugas dan pelan perancangan yang ingin digerakkan. Tetapi tugas barisan kepimpinan akan menjadi lebih apabila amanahnya menuntut untuk melahirkan kepimpinan yang lebih hebat lagi daripada dirinya. Konsep kelangsungan organisasi sebagimana kata hikmah “pemimpin yang terbaik adalah yang menghasikan pemimpin yang terbaik selepasnya” perlu diserap oleh seluruh kepimpinan MBM dan badan gabungan. Kerana itu jugalah pesan Allah dalam hal ini lewat surah An Nisa Ayat 9 :
“Dan hendaklah takut orang-orang yang meninggalkan zuriat yang dhaif di belakang mereka”

Bersamalah kita berganding bahu, kekuatan dan pengalaman dalam mendidik, membina dan melahirkan sejumlah kepimpinan muda dalam tempoh 2 tahun ini sebagaimana yang kita impikan. Program latihan yang sudah dirancang dan akan dirancang perlu menjadi keutamaan kepada kepimpinan semasa kerana aspek inilah tunjang core business setiap organisasi belia. Hal ini memerlukan senergi dan gabung jalin antara MBM dengan badan gabungan dan juga intra badan gabungan sendiri.

Aspek latihan ini memerlukan kita menjadi watak pemimpin pendidik yang tabah, gigih dan tekun dalam menyediakan barisan kepimpinan muda melalui proses latihan berterusan. Juga jika kita terimbau dengan pepatah cina “Membesar sebatang pokok mengambil sepuluh tahun, makakala memupuk bakat seseorang mengambil 100 tahun”. Sebagaimana jawapan Saidina Umar Al-Khatab bila ditanya impian beliau dalam melaksanakan cita-citanya “Aku menginginkan sejumlah pemuda hebat seperti Abu Ubaidah Al Jarrah, Muaz bin Jabal dan Salim Maula Hudzaifah untuk membantuku mencapai cita-cita ini”.

Pada kesempatan ini saya menyeru kepada semua perwakilan agar memberikan sokongan yang penuh kepada pemimpin yang mampu membawa semangat keorganisasian belia yang telah kita persetujui ini. Merekalah teraju utama yang akan membawa organisasi ini ke tahap seterusnya bersama dengan para perwakilan dan belia seluruhnya.

KENANGAN TERINDAH
Pastinya sejunjung kasih kita ucapkan kepada kepimpinan utama negara YAB Perdana Menteri Malaysia yang sentiasa mengikuti dan memberikan perhatian kepada perjalanan MBM. Juga seluruh barisan kabinet atas kepercayaan kepada MBM dalam bekerjasama melaksanakan misi dan visi negara. Teman sepermainan dan rakan bersama pastinya Kementerian Belia dan Sukan Malaysia dalam usaha bersama menggerakkan misi pembangunan belia di negara ini. Agensi-agensi kerajaan serta sektor korporat yang sentiasa memberi kepercayaan terhadap keupayaan dan kredibiliti MBM.

Saya ingin merakamkan setinggi perhargaan seutuhnya kepada pimpinan semasa yang bersama memikul suka duka, gelak tawa, tangis dan air mata, tetap bersengkang mata menggarap idea bagi memberikan yang terbaik semampu mungkin kepada organisasi ini. Merekalah saudara rapat, berkongsi rasa dan harap, demi satu tujuan dan matlamat untuk digarap. Terima kasih atas perkongsian ini dan mengharapkan manfaat terbanyak untuk kita dan semua terhadap apa yang kita telah laksanakan.
Selamat bersidang.




Terima kasih belia

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera. Didoakan semua pimpinan serta sukarelawan MBM terus kuat dan tabah menghadapi cabaran bencana banjir ini.  Bencana banjir ini ternyata antara yang terburuk sejak peristiwa banjir besar yang terdahulu seperti di Johor, Perlis, Pahang dan Terengganu.  Nilai kesukarelaan dan kesiapsiagaan warga MBM terserlah apabila kita di antara kumpulan sukarelawan dari kelompok Badan Bukan Kerajaan yang tiba awal di lokasi-lokasi bencana. Saya amat berbangga dan terharu kerana pimpinan utama MBM termasuk Timbalan Presiden MBM, Pengurusan Tertinggi MBM serta Jawatankuasa Kerja dan Ahli Dewan Tertinggi MBM sanggup turun ke lokasi bencana sebaik sahaja pulang dari sesi retreat di Kota Kinabalu.

Tahniah dan terima kasih juga saya ucapkan kepada para pimpinan serta ahli Majlis Belia Daerah (MBD) yang berada atau berdekatan dengan lokasi bencana yang ternyata begitu komited menghulurkan dan menyelaras bantuan sedangkan terdapat juga kalangan mereka serta keluarga yang turut menjadi mangsa bencana banjir. Semangat sebegini harus dikekalkan dan pasti mengangkat imej organisasi belia secara keseluruhannya.

Dalam suasana konflik serta tekanan seperti ini, saya juga amat menyanjungi sikap para pimpinan dan sukarelawan MBM serta badan gabungannya yang lebih mengutamakan kerja-kerja membantu dan menyelamat berbanding sesetengah pihak yang hanya tahu menuding jari dan mencari kesalahan banyak pihak. Malah ramai juga yang mengambil kesempatan mencipta kekalutan dan mengapi-apikan emosi  orang ramai khususnya para mangsa banjir dengan menyebarkan pelbagai kata-kata serta visual yang tidak bersesuaian dengan situasi bencana.

Pendekatan MBM serta badan Gabungan yang bersederhana dan sentiasa menghormati agensi dan NGO lain dalam menjalankan kerja-ketja bantuan sewaktu bencana adalah sangat terpuji dan mampu mengurangkan konflik sewaktu berhadapan dengan bencana seperti ini. Bencana yang kita hadapi menuntut kita bekerja dengan ikhlas dan menyumbang semampunya tanpa sebarang niat untuk bersaing atau meraih sebarang manfaat populariti. Itulah sikap kesukarelawanan yang sebenar.

Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita semua. Bencana banjir ini berlaku di saat kita mengenang semula 10 tahun kejadian tsunami dan sebahagian rakan kita sedang menyambut perayaan hari Krismas. Semoga Malaysia terus kuat dan tabah. Ujian dan cabaran datang kepada kita bersilih ganti. Semoga ia menjadikan kita lebih insaf dan teguh sebagai saudara sesama rakyat Malaysia. Saya bersyukur dan bangga menjadi sebahagian warga Majlis Belia Malaysia.

Salam hormat,

Mohamed Maliki Mohamed Rapiee. 25 Dis 2014