TN50: Perlembagaan, suara orang muda jadi asas

KUALA LUMPUR 23 Jan. – Meskipun menggunakan pendekatan berpaksikan akar umbi iaitu kehendak rakyat ke pucuk pimpinan, kerajaan tetap akan membentuk rangka Transformasi Nasional (TN50) berasaskan Perlembagaan, nilai budaya dan sensitiviti penduduk negara.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mua’ammar Ghadafi Ja­mal Jamaludin berkata, dalam membentuk acuan visi 2020 ke 2050, garapan idea dan kehendak rakyat akan ditapis serta dite­tapkan mengikut kesesuaian Per­lembagaan yang menjadi asas ke­pada pentadbiran negara.

“Tiada sekatan terhadap ca­da­ngan malah kerajaan menerima segala pandangan secara berto­leransi dan terbuka dalam me­­- n­gumpul suara orang muda yang akan menjadi asas TN50.

“Meskipun TN50 dilihat se­ba­gai satu platform perpaduan melalui keterbukaan dan penerimaan, ke­ra­­­­jaan tidak akan ber­kompromi atau membenarkan­ per­kara yang bo­leh menghakis ni­lai yang terdapat dalam negara kita bertapak,” katanya ke­pada Utusan Ma­­­laysia di sini ha­­ri ini.

TN50 merupakan dasar jangka panjang tahun 2020 hingga 2050 yang turut menyasarkan idea bangsa Malaysia melebihi nilai kaum.

Tambahnya, dalam merangka dasar TN50, kerajaan perlu ber­hati-hati supaya tiada perkara yang bercanggah dengan nilai dan budaya akan berlaku dalam negara.

“Contohnya, sekiranya ada ke­hendak rakyat yang mahu ke­giatan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) ‘dihalalkan’ atau ada yang mahu akti­viti kem motivasi dalam keadaan bogel seperti yang berlaku semalam di Kuantan, Pahang diadakan, itu tidak harus berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Ke­mas­yarakatan Universiti Sains Ma­laysia (USM), Prof. Dr. P. Si­va­murugan berkata, TN50 me­­ru­pakan platform untuk pembentukan identiti nasional tanpa mengenepikan identiti bu­daya berbilang kaum yang sen­tiasa diraikan di negara ini.

“Ini harus dijadikan platform bagi kita untuk terima perbezaan di samping menghormati kepel­bagaian budaya dan agama di ne­gara ini.

“TN50 adalah pelan trans­for­masi jangka panjang dan golongan muda perlu yakin bahawa pen­dekatan yang digunakan tidak akan ‘merosakkan’ nilai atau bu­daya yang sudah tertanam di negara ini sejak dahulu lagi,” ka­tanya.

– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/tn50-perlembagaan-suara-orang-muda-jadi-asas-1.435623#sthash.v4SMDIVE.dpuf




Belia Rohingya disaran jalin kerjasama dengan MBM, PBM

KUALA LUMPUR 26 Nov. – Persatuan dan golongan belia Rohingya dialu-alukan menjalin kerjasama dengan Majlis Belia Malaysia (MBM) serta Parlimen Belia Malaysia (PBM).

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, kerjasama itu boleh dijadikan sebagai satu platform kepada kumpulan etnik tersebut dalam mencari jalan penyelesaian kepada masalah penindasan yang berlaku terhadap mereka.

“Sekurang-kurangnya de­ngan kerjasama ini belia Rohingya mempunyai platform untuk bersuara bagi mencari keamanan untuk etnik mereka.

“Kami akan membantu anda untuk mencari penyelesaian kepada masalah yang dihadapi di negara tersebut,” katanya ketika sesi soal jawab Wacana Belia Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIYD) 2016 hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan yang dilontarkan oleh salah seorang peserta Rohingya yang menyer­tai wacana tersebut tentang ba­gai­mana Malaysia boleh mem­ban­tu etnik itu yang sedang di­tindas di Myanmar.

Menurut Khairy, Malaysia juga membuat satu pendirian yang tegas berhubung isu Ro­hingya dengan menyeru kerajaan Myanmar supaya me­ngambil tindakan perlu bagi menangani penghapusan etnik yang didakwa berlaku di Ra­khine itu.

“Jika kamu tahu mengenai diplomasi pendekatan yang diambil Malaysia adalah tegas dan bukan hanya sekadar sebuah kenyataan biasa.

“Pendekatan yang kita ambil ini hampir melampaui sema­ngat ASEAN tetapi kita memilih untuk melakukannya kerana prihatin dengan nasib etnik Rohingya,” jelasnya.

Dalam pada itu, Khairy ber­kata, golongan muda perlu men­jadi contoh yang menggam­barkan keperibadian agama Islam yang unggul.

Katanya, pada masa ini Muslim sering disalah anggap oleh penganut agama lain kerana tidak mendapat gambaran yang sebenar mengenai agama Islam.

“Tidak cukup sekadar beritahu Islam adalah agama yang indah, golongan muda perlu mengambil langkah membina identiti Muslim yang selaras dengan ajaran Islam yang sebenar,” katanya.

– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/belia-rohingya-disaran-jalin-kerjasama-dengan-mbm-pbm-1.412775#sthash.DZRm945b.dpuf




Belia perlu bantu – PM

Sebar mesej agama Islam sebenar elak kekeliruan

KUALA LUMPUR 26 Nov. – Golongan belia perlu membantu kerajaan dalam menyebarkan mesej mengenai agama Islam yang sebenar bagi mengelakkan sebarang kekeliruan timbul sehingga menyebabkan umat Islam terpesong ke arah keganasan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, mereka yang terpengaruh dengan kumpulan mi­­litan Daesh terdiri daripada golongan yang kurang mendapat perhatian dan kasih sayang lalu kekecewaan itu disalurkan ke arah keganasan akibat salah faham terhadap Islam.

Selain itu kata beliau, mereka terlibat dengan agenda kumpulan militan Daesh di Syria didapati membawa salinan buku Islam for Dummies yang tidak mewakili ajaran Islam sebenar sehingga menyebabkan ratusan nyawa terkorban.

“Agama Islam yang sebenar dan tulen telah membina peradaban-peradaban gemilang di dunia dan hanya ajaran Islam yang tulen dapat membetulkan salam faham ini.

“Jadi sebagai golongan muda anda perlu menyebarkan mesej ini kepada sahabat-sahabat kita supaya mereka tidak terpesong ke arah kegelapan dan keganasan yang jauh meninggalkan kasih sa­yang dan harmoni,” katanya ketika menyampaikan ucaptama Wacana Belia Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIYD) 2016 di sini, hari ini.

Yang turut hadir Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Pengerusi KLIYD, Khairul Azwan Harun dan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Muammar Ghadafi Jamal Jamaluddin.

Menurut Najib, selain daripada salah tafsir mengenai ajaran Islam yang sebenar, isu-isu lain antaranya kemiskinan, pengangguran dan peminggiran dalam kalangan generasi muda juga boleh menyebabkan golongan itu beralih kepada fahaman radikal.

Oleh sebab itu katanya, kerajaan sentiasa mengambil berat dan mendengar aspirasi serta suara golo­ng­an muda kerana yakin mereka me­rupakan aset kepada masa depan negara.

“Dengan populasi belia dunia berusia antara 15 dan 24 tahun setakat tahun 2015 berada pada kadar 1.2 bilion, ia indikator jelas belia mahu pembangunan berteraskan teknologi dan gaya hidup moden.

“Kerajaan tahu golongan muda memerlukan saluran dan peluang untuk menambah baik diri mereka serta memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan termasuk oleh kuasa globalisasi.

“Isu-isu ini turut ditangani menerusi perancangan yang telah digariskan dan laksanakan selepas saya mengambil alih jawatan Perdana Menteri untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020,” jelasnya.

Tambah beliau, negara kini berada pada landasan yang tepat untuk menarik pelaburan yang diperlukan bagi memastikan ekonomi terus mencatat pertumbuhan pesat dan menyediakan kerja baharu serta latihan kemahiran tinggi yang perlu untuk generasi muda.

– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/belia-perlu-bantu-8211-pm-1.412765#sthash.bCZLWRT0.dpuf




MPBN platform perjuang hak belia

KUALA LUMPUR 2 Nov. – Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) dilihat sebagai platform penting dalam memperjuangkan hak golongan belia dan membentuk masa depan negara.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mua’ammar Ghadafi Jamal Jamaludin berkata, hasil daripada persidangan MPBN akan diketengahkan kepada kerajaan melalui kajian dan cadangan sekali gus dapat menangani isu-isu belia dengan lebih mudah dan teratur.

“MPBN sebenarnya memberi ruang kepada pembahas dan pihak kementerian untuk menyelesaikan isu melibatkan golongan belia, jika tidak dapat diselesaikan di peringkat pelaksana dasar, ia akan di bawah kepada peringkat yang lebih tinggi.

“Dalam persidangan tersebut, ahli-ahlinya akan mengenalpasti sesuatu isu dan me­ngusulkan cadangan bagaimana perlu menangani isu tersebut yang ter­nyata lebih berkesan membantu golongan belia berbanding memberi komen negatif tanpa cadangan membina serta me­ngadakan demonstrasi semata-mata,” katanya di sini hari ini.

MPBN yang bersidang seba­nyak dua kali setahun itu membahaskan pelbagai aspek bagi menangani isu-isu golongan belia dalam menentukan hala tuju belia negara yang dilaksanakan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.

Cadangan yang terhasil mela­lui MPBN sebelum ini sering mendapat perhatian daripada kerajaan seperti isu kos sara hidup belia, penubuhan Kementerian Belia dan Sukan, Skim Rumah Pertamaku, Skim Pembayaran Deposit Rumah Pertama (MyDeposit) dan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Antara usul yang akan dibin­cangkan pada sidang keempat penggal ke-30 esok ialah pe­ngangguran dalam kalangan sis­wazah baharu, penurunan harga kereta, insentif kepada belia dalam bidang agromakanan, pe­ngurusan tekanan dalam kala­ngan belia, masalah gangguan pemakanan dalam kalangan be­lia dan revolusi industri 4.0 dalam latihan kemahiran.

– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/mpbn-platform-perjuang-hak-belia-1.402898#sthash.BBaEEVz0.dpuf