Gila motorcross bawa Eyjan tubuhkan MMS

DEK minat mendalam dalam sukan motorcross, dia berusaha mengetengahkan aktiviti permotoran tersebut di negara ini dengan tertubuhnya, Malaysian Motocross Series (MMS).

Matlamat Norhanizan Onan, 43, atau lebih dikenali sebagai Eyjan MMS, bukan sekadar mahu berlumba, sebaliknya membawa terutama golongan anak muda ke arah sukan lasak berfaedah.

Pelumba diajar langkah dan cara keselamatan betul untuk berlumba dan menunggang. Sejak usahanya dimulakan pada 2012, kini lebih 150 penunggang terutamanya dari Lembah Klang menyertai latihan berkenaan di Litar Motorcross, Presint 4, Putrajaya.

Malahan beberapa nama pelumba kian ‘naik’ dalam sukan ini berjaya dilahirkan MMS antaranya seperti Daniel Haikal (kategori CKD), Arifudin Nordin (CKD), Achmad @Angah (novis) dan Mohamad Firdaus @ Mamat (expert & endurance). Mereka juga wakil jika ada perlumbaan di negara jiran.

Hasrat pemuda berasal dari Pagoh, Johor ini juga, tidak mahu melihat anak-anak muda hanya leka mengulit gajet dan melayan ‘rakan’ alam maya.

“Seperti di negara kita, anak-anak muda di Jepun juga lebih banyak bermain gajet. Bimbang dengan situasi itu, ibu bapa di sana juga lebih galakkan anak mereka sertai riadah lasak seperti motorcross.

“Lagipun jika tiada badan seperti kami, siapa hendak iktiraf rider kita, macam mana hendak kategorikan dia jika masuk perlumbaan luar negara seperti, junior, expert, novis. Kita juga berhasrat hendak mencari wakil pelumba motorcross dari Malaysia,” katanya.

Walaupun menghadapi kesukaran di peringkat awal penubuhannya, Eyjan teruja lampu hijau diberikan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan sokongan badan terlibat seperti Majlis Belia Malaysia (MBM), MMS berjaya diwujudkan.

Mula di Jepun

Jika sejak zaman sekolah, anak ke-9 dari 10 beradik ini memang sudah minat dengan kenderaan berenjin, minatnya makin bertambah sejak mengenali top 3, figura sukan motocross, Eigo Sato semasa menyambung pelajaran di negara matahari terbit.

“Semasa belajar kejuruteraan mekanikal di Jepun, saya mengenali Eigo Sato yang juga junior di kolej saya ketika itu. Eigo sebelum itu mendalami motorcross dan freestyle di Amerika. Bila balik ke Jepun, dia kembangkan motorcross di Jepun pula hingga bergelar top 3 pelumba exfighter dunia.

“Malah menjadi penunggang Jepun pertama mampu membuat back flip. Dari situ minat saya berkobar untuk aktifkan sukan ini di negara kita pula,” katanya.

Eyjan pulang ke Malaysia selama empat tahun, sebelum kembali semula ke Jepun apabila mendapat tawaran kerja selama lapan tahun dalam bidang kejuruteraan di sana dari tahun 2001 hingga 2009.

Minatnya tidak terhenti, malahan selepas tamat kontrak di sana, sekembalinya dia di negara ini dia memulakan misi penubuhan MMS.

Disamping menjalankan perniagaan sendiri selain berkaitan automotif, Eyjan menumpukan 100 peratus tumpuan menaikkan sukan motorcross.

“Sambil bekerja, saya carilah juga rakan-rakan di MBM dan KBS. Saya akui memang tiada penaja pada peringkat awal, malah terus-terang saya katakan kosnya memang tinggi untuk mengadakan motorcross event.

“Cabaran terpaksa saya hadapi, event management mulanya nak bantu tapi akhirnya tak jadi, terpaksa buat sendiri. Kebetulan jumpa Presiden MMS Datuk Yusof A Bakar, beliau bantu event hingga sekarang, tambahan beliau suka motor dan orang sekampung,” katanya yang turut sentiasa disokong Pengurus Pasukan, Mohd Alidin dan Zahirulanam selaku mekanik pasukan.

Peluang diberikan KBS pada 2012, sempena sambutan Hari Belia Malaysia, semasa itu tugasnya mencari penunggang motorcross. Eyjan menjemput lima pelumba motorcross dan freestyle termasuk Eigo Sato membuat persembahan.

“Dari situ titik permulaan bagi MMS,” kata suami kepada Sahara Kumiko@Nur Farhani Kumiko Abdullah yang juga kakak kepada Eigo Sato ini.

Biarpun kini Eigo Sato sudah meninggal dunia semasa beraksi, minat itu diteruskan Eyjan.

MMS kini masih mengalu-alukan penaja utama untuk aktiviti MMS. Maklumat lanjut, lawati Facebook, Malaysia Freestyle Motorcross Xtreme.

Sumber : Sinar Harian




Kenangan Terindah

By Jufitri bin Joha

Catatan 19 Ogos 2014 / 22 Syawal 1435 H
Abu Qassim Kami Kehilanganmu
Bismillah…

Dua tahun ini aku kehilangan dua orang pemuda yang sering dianggap sebagai permata dambaan Sayyidina Umar al-Khattab. Mereka bukan hanya muda tapi berbakat besar seperti kata Novelis Jepun Haruki Murakami, “If you’re young and talented, it’s like you have wings”. Usia muda dan ‘talent’ merupakan dua sayap penting untuk seseorang insan bergerak lebih maju kehadapan. Namun kedua pemuda berbakat besar sudah meninggalkanku. Mereka dijemput ilahi dalam keadaan mengejut ramai sahabat handai di luar sana.
Aku amat rapat dengan anak-anak muda dan hampir saban minggu bertemu mereka memberikan ilmu, semangat dan pengalaman bagi mencetuskan inspirasi dan menyerlahkan potensi mereka. Terkadang aku banyak belajar dengan mereka. Pertemuan ini bertambah ligat apabila aku memegang ‘title’ Tokoh Belia Negara. Aku menganggap minatku untuk mencetak anak muda sebagai satu saham akhiratku untuk dipersiapkan ke medan juang sebagai mana Hasan al-Banna ditanya mengapa beliau tidak menulis buku lantas dijawabnya “wa lakin ualliful rijal” bahkan aku menulis rijal-rijal (pemuda-pemuda)! Minatku ini kuasah lagi dengan mendalami ilmu kerja belia dan komuniti di Durham University sekitar 2010 dan mendalaminya dengan ‘Youth Studies’ di Universiti Putra Malaysia (UPM) bermula Februari 2014. Aku sering menganggap anak-anak muda sebagai potensi yang harus diserlahkan dan tidak menganggap mereka sebagai ancaman, justeru ku abadikan kajian PhD dengan kajian Islamic Youth Development Model sebagai jawapan tambahan kepada model yang dibangunkan di Tufts University iaitu Positive Youth Development (PYD).

Aku sudah kehilangan Ahmad Ammar tahun lepas dan tahun ini aku dikejutkan dengan kehilangan Abu Qassim. 2 ‘A’ yang jika digabungkan sebagai bateri mampu untuk terus kekal berkhidmat sebagai obor pada umat. Sukar menerima hakikat ini kerana baru minggu lepas aku berkolaborasi dalam Asean Youth Leaders Conference Majlis Belia Malaysia (MBM) membantu beliau yang diamanahkan sebagai ‘kepala kejobos’ persidangan di Hotel Grand Season Kuala Lumpur. Itu kali terakhir kulihat kelibat beliau yang sibuk mengatur dan mencaturkan persidangan sebesar itu. Aku tidak sempat menghadiri upacara penutup persidangan namun laporan yang kuterima daripada Presiden MBM, saudara Maliki sebentar tadi di teratak pengkebumian bahawa Abu sempat menitip ucapan bayangan perpisahan beliau di hadapan pimpinan utama belia Asia Tenggara dengan menyebut lebih kurang maksud, “…I’m not saying that I’m going to die but every man will die..”. Ucapan ini berlangsung seminggu sebelum beliau pulang ke hadratillah. Saya juga masih ingat sepanjang bulan ini saya banyak bertemu beliau kerana membantu dan mendokong beliau menjayakan persidangan tersebut. 26 Ramadhan 1435 H kami sempat berterawih dan bermoreh bersama sambil berbincang persiapan persidangan. Itulah borak-borak yang agak lama sambil beliau menunggu isteri tercinta Sadrina yang turun daripada Pahang untuk pulang beraya ke Seremban. Ia berlaku di Restoren Tomyam Batang Benar dan bila melintasinya setiap hari aku terbayangkan perbualan mesra tersebut kerana ia merupakan laluan utamaku dari rumah ke Bandar Nilai. Ketika mesyuarat Dewan Tertinggi MBM tanggal 12 Julai lepas Abu turut mempelawa aku untuk menumpang kereta beliau dari Seremban. Aku berpuas hati kerana di saat umur beliau yang berbaki aku diizinkan oleh Allah untuk berkomunikasi secara kerap dengan beliau.

Redup mata itu sudah ku renung sejak di Petaling Jaya beberapa tahun lalu. Seingatku tahun 2004 ketika turun malam tautan mesra pengenalan Persatuan Pelajar Islam Negeri Sembilan (PPINS), kuterlihat susuk tubuh Abu menghadiri dengan penuh minat. Aku tak ingat apa yang ku sebutkan pada malam itu tapi yang penting aku ajak mereka berbakti di Negeri Sembilan melalui PPINS dan aku amat ingat dengan renungan anak muda ini. Beliau kemudiannya menerima akad perjuangan ini. Abu membesar dalam perjuangan ini di hadapanku dan juga dihadapan seniornya aka zaujahku Norazla Abdul Wahab semenjak di SMKA Pedas dan PPINS sehinggalah Abu menerima jodohnya dengan gadis PPINS Sadrina yang juga rapat dengan bulatan kegembiraan kami. Mereka mengikut ‘sunnah’ kami dengan berkahwin sesama jemaah dan sesama negeri dengan andaian agar mudah berjuang dan mudah balik raya. Cuma kelebihan saya selaku jejaka Rembau menikahi gadis bijak Jelebu yang disebut dalam teromba sebagai,

“Kejolobak kojolobu, tuai padi tiga tangkai, kalau kono komat jolobu, tak mati badan berasai”

Semenjak itu beliau mendaki liku-liku perjuangan dan aku pernah tarik beliau untuk projek Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD) untuk satu projek Negara yang aku sendiri lupa namun beliau tidak minat ke arah menjadi relawan. Beliau lebih berminat mengasah bakat beliau dalam kepimpinan dan siyasah sehingga bergandingan dengan saudara Faisal Abdul Aziz memimpin pergerakan pelajar Islam berpengaruh di Malaysia iaitu PKPIM. Beberapa ketika Abu hilang seketika dalam radar pertarbiyyahanku dan diasuh pula oleh sahabat-sahabat hebat yang lain seperti Azuan Effendy (sekarang Pegawai Besar Istana Negara) dan Saifullah Zulkifli (sekarang menceburi politik kepartian dan antara teraju utama dalam AMK).
Ketika di UIA Kuantan sekali sekala beliau menjemput ku berkunjung ke sana menyampaikan latihan dan ceramah. Kusedari sejak itu beliau mempunyai satu masalah yang sama seperti yang kualami, namun biarlah ia menjadi kenangan manis dan rahsia antara ku dan dia. Bakat Abu terserlah sehingga beliau sering kukagumi dengan pidato yang sentiasa bertenaga beliau dan sering tampil bergaya serta kasual. Dua perkara yang ku sering gagal untuk buat. Aku minat berpidato tapi tak sentiasa mempunyai pidato yang bersemangat dan kedua aku jarang suka tampil dengan gaya mutu dan keunggulan! Aku sering tampil bersahaja dengan pakaian kusut namun tidak pada Abu. Dengan gabungan kekuatan pidato, rupa dan penampilan yang kemas menjadikan beliau memiliki pakej impian sebagai pemimpin masa kini. Belia seperti kata-kata Dato’ Saifuddin Abdullah merupakan pemimpin masa kini dan masa hadapan. ABIM merupakan gerakan Islam yang paling sedikit pengikut berbanding gerakan Islam yang lain yang ada di Malaysia namun ia amat sinonim melahirkan pemimpin-pemimpin masyarakat yang bertebaran di serata sektor alam. Aku percaya pada bilangan yang sedikit untuk membuat perubahan sebagaimana keyakinan Dr. Mahmud Rushdan, pimpinan pengasas Institut Antarabangsa Pemikiran Islami (IIIT) yang kutemui di Irbid, Jordan. Dengan membina hanya beberapa karakter anak muda sudah cukup menggegar pentas-pentas penting masyarakat. Abu antara yang diizinkan oleh Allah tergolong dalam bilangan kecil anak muda yang pernah menerima sedikit sentuhan daripadaku. Aku sentiasa ingin melihat ABIM diterajui oleh anak muda yang hebat, jawatan Naib Presidenku hanyalah transit sementara menunggu diisi oleh mereka.

Beberapa ketika ketika memimpin Majlis Belia Negeri Negeri Sembilan (MBBNS), aku membawa dan mendedahkan Abu dalam dunia pergerakan belia. Aku masih jelas ketika itu membawa Abu dan Azli (Setiausaha ABIM Rembau) bersama ketika merasmikan Mesyuarat Agung 4B Kawasan Jempol dan Abu sempat memohon izin berbicara dengan petah lagaknya bagaikan sebahagian perwakilan yang sah sedangkan beliau hanyalah pemerhati. Namun kepetahannya itu dikagumi dan ketika umur itu beliau sudah berani berbicara dengan penuh keyakinan yang mana aku sendiri tidak seberani itu untuk dilakukan di usia yang sama. Sebab itu anak muda dikagumi dengan semangat dan kepemudaannya!. Sheikh Abdullah al-Haddad, Sohib an-Naso’ih ad-Diniyyah wal Wasoya al-Imaniyyah turut menyebut bahawa Allah seolah-olah mengkagumi anak muda yang tidak rosak minda dan akhlaknya.

Ketika Abu muncul semula dalam radar perjuanganku, aku menarik beliau untuk bermula di akar umbi dengan menyertai kepimpinan ABIM di Rembau di mana aku bertindak selaku Naib Yang Dipertua di belakang Yang Dipertua al-Fadhil Ustaz Norazamir Alias(Timbalan Mufti Negeri Sembilan). Kehadiran beliau serba sedikit menajamkan jentera serangan ABIM Rembau yang dibarisi ramai pemain-pemain veteren berpengalaman. Beliau memang berasal dari Rembau dan merupakan pengundi Rembau. Namun faktor jarak yang jauh kerana belajar di UIA Kuantan memisahkan penglibatan aktif beliau.

Selepas memimpin ABIM Pusat selaku Exco, kemuncak karier alumni asuhan SMKA Pedas ini apabila dilantik menjadi Exco Majlis Belia Malaysia (MBM) dan banyak menyerlahkan potensi beliau ke pentas antarabangsa sehingga sejauh Australia dan Myanmar.Beliau amat bertuah kerana Exco MBM yang berumur di bawah 30 tahun sering dihantar mewakili negara dalam persidangan belia seantero dunia, dan Abu baru sahaja menginjak ke usia 28 tahun. Namun pertemuan di Bandar Seri Putra pada 8 Syawal iaitu 12 hari sebelum beliau menemui ajal beliau sebut secara jelas padaku bahawa beliau ingin memberikan laluan kepada orang lain dalam pemilihan MBM hujung tahun ini. Itu kata-kata yang masih jelas di corong telingaku menjadi seakan-akan ucapan perpisahan kepada dunia pergerakan belia! Ini juga merupakan sifat orang ABIM seperti beliau yang berebut-rebut menolak jawatan dan buka merebut jawatan.

Kelekaan dan keheninganku membelek buku di kedai buku Popular Nilai jam 8.55 malam dipecahkan dengan kejutan daripada zaujah dengan berita kematian beliau dilanggar lori di Gambang depan Universiti Malaysia Pahang (UMP). 10 Jun yang lalu, ku berada betul betul di perhentian bas yang meragut nyawa Abu ketika turun bas untuk menghadiri ‘talk’ untuk pelajar baru Pusat Asasi UIA di Gambang. Sebagai sebahagian kelemahan manusia, aku tidak menyangka 67 hari selepas itu bakal berlaku di situ satu peristiwa menyayat hati yang melibatkan juniorku di UIA.

Sungguh ia sebuah kehilangan untuk umat yang sukar digilap semula. Aku yakin obor perjuangan Nabi ini akan diteruskan dan berterusan didokong oleh panji-panji anak muda. Akan lahir lebih ramai anak muda seperti Nu’man Muqarrin yang bersemangat menyebut kepada Khalifah Umar al-Khattab selepas dipanggil mengadap, “Jika untuk mengumpulkan cukai, aku menolak. Namun jika untuk jihad fisabilillah, saya bersedia!”.
Legasi mu kami teruskan! Alfatehah buat adinda Abu Qassim, penyejuk mata ayahbonda. Sadrina, kamu harus bangga bersuamikan pejuang!

3.17 pagi ketika air mata mengalir deras dan gerimis di luar.




Keinsafan bekas bapa ayam

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM

MOHAMMAD Rizan belum terfikir untuk berkahwin kerana masih dihantui dosa silam.

 

TIADA siapa menyangka penerima Anugerah Perdana Belia Negara 2011 dan Tokoh Belia ASEAN 2011, Mohammad Rizan Hassan mempunyai sisi gelap masa lampaunya.

Bertempat di sebuah kolej swasta di Kajang, Selangor, baru-baru ini dia mendedahkan rahsia kehidupannya bagi dijadikan renungan.

Pengarah Pembangunan Perniagaan, Tekat Auto Terminal Training ini sederhana sahaja penampilannya. Malah, baju kot yang digantung di pejabatnya sudah beberapa tahun tidak digunakan.

“Saya berasal dari Larkin, Johor Bahru. Saya anak kedua daripada enam adik-beradik. Ayah bekerja mengambil upah membina rumah manakala ibu bekerja sebagai pembantu rumah dengan gaji sebanyak RM300 sahaja sebulan.

Kongsi gelap

“Kehidupan kami berlegar di rumah setinggan di Kampung Bahagia, Larkin. Setiap hari saya terpaksa mengangkut air menggunakan baldi daripada sebuah perigi yang terletak kira-kira lima kilometer dari rumah kami,” ujar Rizan.

Pada masa itu, hidup mewah dan makanan sedap tidak ada dalam kamus hidupnya.

Menurut Rizan, menu seharian keluarganya ialah bubur kacang manakala nasi dan ikan goreng mungkin sebulan sekali atau pada hari tertentu sahaja boleh dinikmati.

“Saya juga terpaksa tunggu bas sekolah padat dengan pelajar sebelum menaikinya bagi mengelak daripada membayar 30 sen tambang bas,” cerita Rizan.

Mungkin kerana kesempitan hidup, Rizan mula berfikiran jahat.

“Tidak lama selepas itu, saya mula belajar mencuri dan mengugut orang bagi mendapatkan wang,” katanya.

Kata Rizan, dia sering mencuri buku rujukan, nota serta baju sukan di kedai buku dan pasar raya.

“Saya dikenali dengan nama toyol oleh rakan-rakan sekolah kerana licik mencuri tanpa dapat dikesan selama bertahun-tahun.

“Saya akan menggunakan sendiri barang-barang curi itu. Namun, banyak juga yang dijual semula kepada pelajar lain. Saya boleh mendapat ratusan ringgit sebulan dengan menjual barang-barang curi,” ujarnya.

Selepas memasuki sekolah menengah, tabiat buruk Rizal semakin menjadi-jadi. Dia berani mencuri aksesori kereta dan motosikal pula.

“Saya membentuk kumpulan sendiri dengan lebih 10 orang ahli yang semuanya sebaya. Lokasi aktiviti kami ialah di Johor Bahru.

“Alat yang kami gunakan untuk mencuri motosikal dan skuter ialah kunci pendua dan dawai. Selepas itu, kami mengangkut semua kenderaan itu menggunakan van. Dalam sehari kami boleh mencuri di antara lima hingga 10 buah motosikal,” kata Rizan.

Lelaki bujang ini turut mengakui dia pernah terlibat dengan pengedaran dadah, pergaduhan dan peras ugut.

“Selalunya kumpulan kami akan bergaduh dengan kumpulan lain semasa sambutan tahun baharu dan Hari Kemerdekaan negara.

“Jika tidak puas hati dan kalah dalam pergaduhan itu, kami akan bergaduh semula pada sambutan hari berkenaan pada tahun hadapan,” ceritanya.

Aktiviti jenayah Rizan tidak berhenti begitu sahaja. Dia yang sememangnya kaki ponteng tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pada tahun 1993, semasa berumur belasan tahun lagi, Rizan berhijrah ke Kuala Lumpur.

Di kota besar itu dia melakukan pelbagai pekerjaan seperti konduktor bas, penghantar surat dan pelayan restoran. Namun, dia akhirnya terjebak dengan kumpulan kongsi gelap di Bukit Bintang.

KOLEJ Tekat yang diasaskan oleh Rizan dan seorang rakannya bertujuan membantu remaja bermasalah untuk berjaya dalam hidup mereka.

 

Insaf

“Saya ditugaskan oleh ketua kongsi gelap itu untuk menjaga pelacur dari Uzbekistan. Pada masa itu, aktiviti pelacuran kurang melibatkan pelacur dari China.

“Bayaran untuk sekali perkhidmatan pelacur itu ialah RM500. Saya turut menguruskan kemasukan mereka menggunakan pas lawatan sosial dan pelajar,” ujar Rizan yang berbadan besar dan tegap.

Rizan menjelaskan, kebanyakan gadis Uzbekistan mempunyai rupa paras yang menawan tetapi dia tidak pernah terfikir untuk menjadikan mereka teman wanita.

“Pendapatan cukup mewah iaitu sehingga RM5,000 sehari. Tetapi duit haram sememangnya tidak pernah cukup apatah lagi memberi ketenangan,” akui Rizan.

Bak kata pepatah, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Rizan tertangkap selepas dia terlibat dalam satu pergaduhan di Kampung Keramat yang berpunca daripada teman wanita seorang rakan gengsternya.

“Saya dibelasah oleh lebih 10 orang. Rakan saya itu awal-awal lagi melarikan diri. Tidak lama selepas itu polis datang untuk meleraikan pergaduhan.

“Sebenarnya saya disabitkan kesalahan kerana menggunakan kereta curi dan bukan pergaduhan itu,” katanya.

Dia yang pada ketika itu berusia 17 tahun dihantar ke Sekolah Henry Gurney di Melaka selama dua tahun. Tekad untuk berubah menyebabkan Rizan bekerja bersungguh-sungguh di sebuah kilang elektronik di Johor Bahru.

“Saya bekerja 365 hari setahun tanpa bercuti dan bekerja 12 jam setiap hari.

“Kesungguhan dan kerajinan saya menyebabkan pengurus kilang itu menghantar saya menjalani latihan dalam bidang mekatronik di Jepun selama tiga tahun,” ujarnya.

Sebaik sahaja pulang, Rizan ditawarkan bekerja sebagai jurutera yang mengesan dan membaiki kerosakan sistem elektronik jentera di kilang-kilang milik usahawan Jepun di negara ini.

Pendapatan Rizan agak lumayan iaitu di antara RM15,000 hingga RM20,000 sebulan.

Namun, beliau ingin membantu remaja bermasalah kerana tidak mahu mereka terus hanyut dengan kehidupan yang sia-sia dengan menubuhkan Kolej Tekat di Kajang, Selangor.

“Pelajar Kolej Tekat kebanyakannya remaja yang pernah terlibat dengan masalah juvana seperti bergaduh, mencuri dan merompak.

“Syukur sebanyak 90 peratus daripada mereka mendapat pekerjaan dan ada yang menjadi usahawan dengan membuka bengkel kereta sendiri,” katanya.

Ketika ditanya adakah beliau tidak ingin berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri, jawab Rizan: “Banyak dosa telah saya lakukan. Kini saya hanya ingin memajukan lagi Kolej Tekat dan mengubah lebih ramai remaja bermasalah.”

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0101&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_09.htm#ixzz2o2IOBkjo
Hakcipta terpelihara



Wan aktif bantu belia

Terang dan jelas sekali setiap bait puisi itu kala Wan Salwati Abdullah cuba menggugah semangat khalayak belia menerusi karangan bapanya ketika sambutan Festival Belia Putrajaya, baru-baru ini.

Seakan-akan meluahkan rasa hatinya, wanita kental ini nyata tidak mahu sekadar menjadi pelaung semangat tapi selaku pendukung harapan sang belia negara kala diperlukan.

Pada lewat usia 30-an, hampir tiada apa yang dapat mengekang langkah ibu kepada lima cahaya mata ini dalam membantu meningkatkan lagi taraf hidup golongan belia malah makin bertenaga meneruskan usaha sedia ada.

Melihatkan pencapaiannya selaku Presiden Majlis Belia Negeri Sembilan merangkap Naib Presiden ­Majlis Belia Malaysia ini, sama sekali tidak terlintas di fikiran penulis wanita ceria ini pernah berdepan saat getir dalam hidupnya.
Menyewa di rumah kecil satu bilik dengan berkongsi tilam bersama suami dan tiga anak yang ketika itu masih kecil selain perniagaan tadika yang merosot hingga memaksanya menutup pusat terbabit, di samping beberapa siri kegagalan dalam perniagaan, nyata mengubah perspektifnya pada dunia sekeliling.
“Saya tidak rasakan semua itu satu kegagalan dalam hidup. Bagi saya, apa yang dialami itu adalah pengajaran hidup paling berharga yang banyak membentuk diri saya hari ini.

“Saya sudah alami keperitan dalam hidup dan kini dengan apa yang ada pada saya akan digunakan sebaiknya untuk membantu yang lain,” katanya yang lebih senang disapa dengan panggilan Wan.

Tambah penerima Anugerah Tokoh Belia Wanita Negeri Sembilan ini, setiap yang berlaku ada rahmatnya dan setiap pengalaman yang dilaluinya bersama keluarga merapatkan lagi hubungan mereka.

Sememangnya sejak kecil Wan didedahkan dengan aktiviti kemasyarakatan oleh bapa dan ibunya.

“Bapa dan arwah ibu saya seorang aktivis yang terbabit dengan kerja sukarelawan, begitu juga arwah datuk. Mereka pasti membawa saya ke mana pun mereka pergi.

“Saya lihat apa yang mereka lakukan banyak memberi impak positif kepada masyarakat dan dari situ timbul minat untuk turut aktif.

“Saya sentiasa berpegang kepada pesanan bapa bahawa kadangkala rezeki yang kita ada hari ini sebenarnya bukan 100 peratus kepunyaan kita, jadi kita perlu berkongsi sedaya mungkin.

“Benar, apabila kita saling membantu, ia kepuasan yang tidak dapat dinyatakan ­dengan kata-kata,” ujarnya.

Usai memperoleh keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Wan banyak terbabit dalam kegiatan golongan muda sekitar Seremban, Negeri Sembilan.

“Saya mula bekerja di bidang pengkeranian di Kesatuan Pekerja-Pekerja Negeri Sembilan sebelum menyertai Biro Tatanegara (BTN). Dari situ saya mula belajar dan memahami apa itu politik hinggalah mencetuskan minat untuk mendalaminya.

“Tapi minat ketika itu sekadar ingin memenuhi sifat ingin tahu dan tidaklah sampai mahu serius dalam bidang itu,” katanya.

Wan meneruskan aktivitinya di BTN, di samping menjadi guru sandaran di Perak. Pada masa sama, Wan sempat mengikuti beberapa kursus kepemimpinan yang dianjurkan sekitar Negeri Sembilan.

Nyata jiwa belianya mendorong Wan melanjutkan pengajian diploma dalam jurusan belia dan pembangunan iaitu satu-satunya program inisiatif berkembar antara Universiti Putra Malaysia dan Kesatuan Komanwel.

“Saya cuma berpeluang untuk menyambung pelajaran di peringkat diploma selepas berkahwin atas dorongan suami yang juga melanjutkan pelajarannya di peringkat sarjana.

“Bagi saya, untuk memimpin dan membimbing generasi muda ini, kita perlu lengkapkan diri dengan ilmu dan bukan semata-mata bergantung kepada pengalaman.

“Saya bersyukur kerana berpeluang melakukan apa yang saya inginkan dan saya kini mahu berkongsi pengalaman dan ilmu ­dengan generasi muda.

“Saya mahu tekankan kepada belia apa jua kesukaran yang mereka hadapi pasti lambat-laun membuahkan hasil lumayan jika berusaha keras memperbaikinya.

“Saya harap dengan apa yang saya dan pasukan lakukan ini dapat membantu meningkatkan lagi golongan belia cemerlang yang kelak memimpin negara,” katanya.

PUISI:

Belia belia belia
pernah kau dengar
pernah kau sebut kata
merdeka merdeka bukan
untuk berpeluk
tubuh dan meminta-minta
tapi merdeka menyahut
suara meminta tenaga
untuk negara
bersatu belajar bekerja
dan berkhidmat
bersatu belajar bekerja
dan berkhidmat
alunannya menyerumu menunaikan amanah.

– Dikau Harapan Bangsa, Abdullah Awang Embun

Last Updated ( Friday, 21 June 2013 08:08 )