Home / Artikel / Mengapa Penasihat Anak Muda Perdana Menteri (PM)?

Mengapa Penasihat Anak Muda Perdana Menteri (PM)?

Oleh:

Jufitri Joha

Presiden Majlis Belia Malaysia

Tidak dinafikan terinspirasi daripada kumpulan penasihat anak muda Pak Jokowi, maka Majlis Belia Malaysia (MBM) telah mengusulkan idea penubuhan penasihat anak muda kepada Perdana Menteri sewaktu ucapan Presiden MBM di Hari Belia Negara (HBN) 2020. Usul tersebut disambut dengan persetujuan YAB Perdana Menteri sewaktu ucapan kemuncak HBN di Persada Johor Bahru.

Ini bermakna idea penasihat anak muda bukan idea top-down tetapi bottom up iaitu datangnya daripada bawah untuk direalisasikan. Ia bukan sekadar cadangan kosmetik dan tokenisme untuk menyedapkan telinga pemerintah mahupun untuk menggula-gula belia bahawa kononnya suara mereka didengar oleh pihak pemerintah tetapi ia adalah tentang partisipasi belia untuk sama-sama membina negara. Ia juga mengingatkan kita kepada idea kewujudan Parlimen Belia dan MyCorps (Projek Kepimpinan Sukarelawan Nasional) yang juga tercetus daripada idea belia akar umbi sewaktu Makmal Pembangunan Generasi Y 2010.

Agenda ini adalah agenda besar bagi mengangkat suara dan idea belia untuk dibentangkan di pentas tertinggi pentadbiran eksekutif dan pembuatan dasar. Bertepatan dengan peranan MBM sebagai suara belia rasmi yang bukan hanya membawa suara belia tetapi mempersiapkan pelapik atau platform bersuara untuk belia di semua peringkat dan sektor. MBM tidak berminat soal politiking sempit tetapi MBM mahu terus fokus menjadikan platform ini untuk menempatkan putera-puteri terbaik Negara bagi sama-sama membangun watan.

Justeru ia bukan sekadar menjadi kumpulan penasihat tetapi ia memenuhi tuntutan partisipasi belia di peringkat tertinggi Negara tatkala ketandusan wakil belia dalam Kabinet Negara atau apa yang diistilahkan sebagai gerontocracy. Hanya ada 3 Timbalan Menteri muda dan tidak lebih 30 Ahli Parlimen maka penasihat anak muda mampu menyangga kelompongan ini. Justeru tidak timbul isu tidak cukupkah PM dengan penasihat-penasihat dalam kalangan Menteri Kabinet. Suara dan idea anak muda perlu terus diangkat, diperkasa dan dimartabatkan dalam pelbagai platform. Anak muda adalah kumpulan pakar yang memahami kehendak dan aspirasi mereka sendiri yang tidak mampu diwakili oleh kumpulan generasi lain. Lebih banyak platform atau pelantar lebih banyak ruang dibuka kepada mereka selain daripada pelantar sedia ada seperti MBM, Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN), Parlimen Belia, Felo Perdana dan Parlimen Digital. Setiap pelantar punyai keunikan tersendiri dan penasihat anak muda kepada PM adalah landasan mereka untuk dilatih sebagai pemikir negara (think tank) atau istilah yang lebih saya minat gunakan ialah think do tank iaitu berfikir dan mengimplementasikan apa yang dicetuskan oleh fikiran. Oleh itu, ini adalah soal peluang, ruang, partisipasi, suara dan perwakilan belia dalam pembuatan keputusan dan polisi.

Peluang menasihati Perdana Menteri secara langsung merupakan momen yang menimbulkan keterujaan dan penghargaan kepada anak muda. Ia pastinya pengalaman berharga yang membuka horizon pengalaman yang amat luas. Malaysia sudah tentu tidak ketandusan bakat-bakat muda yang pintar dan progresif untuk memberikan nasihat, idea dan tindakan cuma mereka perlukan peluang dan ruang dan penasihat anak muda ini adalah untuk mereka.

Tentunya Hang Nadim moden ini punyai idea-idea hebat yang bukan hanya terhad kepada pembangunan belia tetapi pembangunan ekonomi, teknologi hijau, pertanian, sains, angkasa lepas, pendidikan, pengurusan Covid-19 dan pelbagai elemen penting untuk membina bangsa dan negara. Mereka juga akan diasah dengan kemahiran kepimpinan, kemahiran menjadi pemikir dan penggubal polisi selain memahami fungsi eksekutif tertinggi Negara. Ia juga merupakan lorong yang ampuh untuk mempersiapkan mereka menjadi bintang muda yang menyinar di persada nasional dan antarabangsa.

Kumpulan penasihat anak muda akan diselia dan dikuasakan oleh MBM sendiri bagi menghakupayakan MBM untuk turut sama-sama bergabung mencorakkan hala tuju dan gerak kerja jitu membangun negara. MBM tidak akan meng‘dictate’ mereka kerana MBM percaya kepada konsep penghakupayaan atau empowerment yang memberikan kebebasan berkarya untuk bekerja bersama-sama. Ini peluang MBM yang bersifat konservatif untuk bersinergi bersama kelompok belia yang lebih besar, progresif dan rencam. Pertembungan minda konservatif dan progresif pastinya memberikan dampak yang positif untuk Negara.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan turut membantu tetapi hanya di peringkat teknikal pemilihan calon dan pemantauan perjalanan sekretariat penasihat anak muda PM. KBS di bawah kepimpinan Dato’ Sri Reezal Merican hanya menjadi penasihat dan sekali-sekala akan turut serta memandu, membimbing dan memperkayakan idea bersama penasihat-penasihat muda.

Pencalonan dan pemilihan penasihat dibuka kepada semua anak muda yang mempunyai idea dan nyalarasa yang tinggi untuk berkhidmat kepada Negara. Pastinya ianya agak kompetetif untuk memilih 10 terbaik namun yang penting semua anak muda yang berkelayakan punyai peluang yang sama rata untuk memohon dan bersaing.

MBM sebagai pengemudi sekretariat penasihat anak muda akan membawa arus yang lebih sederhana, non partisan, NGO base dan mewakili kepentingan belia akar umbi tanpa menafikan keperluan imej yang positif kepada pemerintah khususnya YAB Perdana Menteri kerana kecaknaan kepada penerimaan idea kewujudan penasihat anak muda PM ini.

Tugasan MBM juga berat untuk memastikan penasihat anak muda ini menelurkan sesuatu output dan outcome yang konkrit, mempunyai substance yang signifikan dan peserta mendapat manfaat yang besar bukan sekadar gah sewaktu pelancaran, menghabiskan duit pembayar cukai dan hanya untuk mendapat mileage yang tidak bermakna. Kita sudah penat dengan senario tersebut dan mahu keseriusan dan impak yang positif daripada penasihat anak muda ini.

Semoga agenda penting berjaya dilaksanakan dan MBM memasang impian bahawa pada masa akan datang bukan lagi penasihat anak muda kepada PM tetapi yang kita dambakan penasihat ‘senior’ kepada PM yang berusia muda! Sama-sama kita realisasikan impian ini persis zaman pemerintahan Sultan Muhammd al-Fateh – Sheikh Shamsudin Aq.

Selamat mencuba dan memohon buat anak muda Malaysia. Ini masa dan ruang untuk anda semua!

Maklumat lanjut dan cara memohon layari: http://ebelia.iyres.gov.my/page/latihan_kemahiran_penasihat_anak_muda?fbclid=IwAR2fDxRH-iWsBroWVYQAxJqD_Xb92QRQ3HtHLV_m_LL-tJBjwD2dIdFsnIY

Bertarikh : 18 Februari 2021

About syazwan

Leave a Reply

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino

Translate »