Home / Kenyataan Akhbar / Isu Sugar Daddy: Jangan telan bulat-bulat sumber meragukan

Isu Sugar Daddy: Jangan telan bulat-bulat sumber meragukan

Majlis Belia Malaysia (MBM) mengambil perhatian terhadap isu sugar daddy baru-baru ini di mana tular senarai 10 buah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang kononnya menghasilkan sugar baby dalam kalangan penuntutnya paling ramai di Malaysia. Data ini dikatakan dikeluarkan oleh aplikasi ‘suai kenal’ yang diberi nama Sugarbook.

MBM merasa terpanggil untuk bersuara mengenai isu ini bukan kerana kebimbangan terhadap keruntuhan akhlak gadis di IPT, tetapi MBM turut bimbang terhadap penerimaan informasi atau berita yang tular secara bulat-bulat oleh masyarakat. Dapat diperhatikan banyak pihak terus melenting sebaik sahaja informasi tersebut tular.

Pada hemat MBM, informasi yang dikeluarkan tidak mempunyai dokumen sokongan dan sumber yang boleh dipercayai. Data tersebut tidak kukuh, malah boleh ditambah-baik oleh sesiapa dan pada bila-bila masa. Ianya mungkin satu taktik untuk mempopularkan aplikasi atau menaikkan harga penyertaan dalam melanggan aplikasi.

Sehubungan itu, MBM menyarankan agar masyarakat lebih bijak dalam menerima apa-apa berita tular terutama di media sosial. Perkara pertama yang perlu dilakukan apabila menerima berita adalah menyemak fakta dan sumber terlebih dahulu. MBM juga kerap kali menyarankan agar belia Malaysia menjadi ‘Fact Checker’ atas apa-apa berita yang tular supaya masyarakat dapat menerima berita yang sahih dan tidak memudaratkan lagi sesuatu keadaan.

Dalam masa yang sama, MBM juga meminta agar Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKM) melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) agar terus memantau dengan lebih teliti aplikasi sebegini. Sekiranya ia mendatangkan lebih banyak mudarat daripada kebaikan, seeloknya disekat sahaja aplikasi seumpama ini.

MBM menyarankan agar masyarakat berhati-hati dengan kesahihan fakta kerana ia boleh merosakkan imej institusi. Lebih elok kiranya kita berbangga dengan pencapaian dan kualiti graduan yang dihasilkan institusi daripada kita berbangga dengan berapa ramai gadis yang berjaya dikeluarkan sebagai sugar babbies.

Kepada belia yang berhadapan dengan masalah kewangan atau mencari peluang mendapatkan dana perniagaan, pekerjaan, latihan kemahiran, anda disarankan mengambil peluang daripada pakej yang ditawarkan oleh Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) – MBM melalui portal ebelia.iyres.gov.my. Kepada belia yang berhadapan dengan masalah stress, rujuklah kepada orang yang dipercayai terutama ahli keluarga dan sahabat baik.

MBM menyeru agar pemimpin belia terus berperanan membimbing belia dengan kaedah pembangunan belia positif (PYD) melalui kegiatan berpersatuan belia serta membantu belia yang berhadapan masalah mencari jalan keluar dan solusi.

WAN MOHD HUSNI ABDULLAH

Ketua Penerangan    

Majlis Belia Malaysia

Bertarikh  : 15 Februari 2021

About syazwan

Leave a Reply

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino

Translate »