Home / Minda Presiden / Ulasan Dapatan Kajian Pembiayaan Awam kepada Parti Politik

Ulasan Dapatan Kajian Pembiayaan Awam kepada Parti Politik

Catatan: Jufitri Joha, Presiden Majlis Belia Malaysaia (MBM)

Majlis Belia Malaysia (MBM) Semalam saya menghadiri secara maya perbincangan berkenaan laporan kajian Pembiayaan Awam Kepada Parti-Parti Politik oleh Bersih 2.0 atas undangan mereka. Ini bukan perkara baru bagi Majlis Belia Malaysia (MBM) terlibat dalam perbincangan isu nasional dan polisi bahkan ia merupakan tanggungjawab MBM untuk terlibat dalam perbincangan sebegini bagi mendapatkan idea dan memberikan cadangan dan kritikan membina kepada pihak kerajaan dan pemegang taruh berkaitan.

Sebelum ini juga, MBM terlibat secara langsung dalam perbincangan pembaharuan Dewan Negara, pembaharuan sistem pilihanraya dan penjenamaan & penggabungan BTN – PLKN. Dalam konteks pembiayaan awam (state funding) kepada parti politik yang dibicarakan oleh Bersih 2.0 ini telah pun dibincangkan sejak sekian lama termasuk apabila MBM terlibat sebagai Ahli Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) pada 2015-2017.

Walaupun JKNMPP banyak membincangkan menangani isu derma politik berikutan kontroversi 2.6 billion pada ketika itu namun turut diperdebatkan kewajaran untuk memberikan dana awam kepada parti parti politik yang berpartisipasi dalam pilihanraya. Ia merupakan perdebatan yang panjang namun dalam dapatan kajian Pembiayaan Awam Kepada Parti-Parti Politik oleh Bersih 2.0 menjustifikasi 5 sebab pembiayaan awam untuk parti politik merangkumi :

1.) Membendung perlumbaan perbelanjaan dalam pilihanraya;

2.) Mengurangkan derma politik daripada sumber swasta;

3.) Mempromosikan padang permainan yang sama rata;

4.) Menggalakkan ahli politik fokus berkhidmat kepada rakyat daripada sibuk mencari dana; dan

5.) Menggalakkan parti politik mengutamakan kepentingan polisi awam yang sederhana berbanding polisi bersifat partisan.

Ini merupakan cadangan-cadangan yang baik berdasarkan kajian kes dan pengalaman yang memerlukan keazaman politik dan keazaman masyarakat untuk dilaksanakan.

Berdasarkan syor JKNMPP, MBM bersetuju dengan cadangan penggubalan Akta Derma dan Pembiayaan Politik yang turut menyentuh isu pendanaan awam untuk parti politik bagi memastikan landskap politik tanahair yang lebih adil, telus dan akauntabiliti.

Berhubung dengan cadangan ini juga, daripada sudut yang lain, saya berfikiran amat wajar juga dibincang dan diperdebatkan pemberian dana awam aktiviti oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kepada sayap-sayap pemuda parti politik bagi mereka menjalankan aktivit-aktiviti mereka. Wakil-wakil pemuda saya-sayap pemuda juga wajar diwakili sebagai contoh dalam Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) bagi membawa suara signifikan mereka yang mewakili belia berpolitik sementara mereka dijangka mengisi jawatan jawatan penting dalam legislatif dan eksekutif.

Idea penubuhan majlis politik belia wajar difikirkan bagi melibat sertakan mereka ke dalam proses pembangunan belia dan Negara tanpa mengira ideologi politik. Mungkin di medan politik mereka bertempur dan berbeza namun di satu medan seperti majlis politik belia mereka mempunyai ruang untuk duduk bersama membincangkan kepentingan belia dan Negara.

MBM sudah memainkan peranan ini sebagai pemudahcara namun jika boleh diinstitusikan oleh Kerajaan khususnya KBS kerana ianya diyakini mampu menyumbang kepada pemupukan politik yang lebih matang dan rasional dalam kalangan anak muda Malaysia.

Mungkin idea majlis politik belia atau ‘youth political council’ boleh disesuaikan dengan struktur sedia seperti MPBN dan MBM agar nama kemas dan tersusun. Idea ini perlu diperdebatkan demi mewujudkan landskap politik yang baharu dan Negara dan rakyat Malaysia saat ini memang amat amat memerlukan udara segar politik baharu!

Tarikh: 25 Januari 2021

GAMBAR ARKIB : Ahli-Ahli JKNMPP 2015-2017 yang dipengerusikan Dato’ Paul Low Seng Kuan.

————————————————————————

Report oleh BERSIH 2.0 [OFFICIAL] : “Public Funding of Political Parties in Malaysia: Debates, Case Studies and Recommendations”

:https://www.bersih.org/wp-content/uploads/2021/01/Bersih-Policy-Research-Public-Funding-of-Political-Parties.pdf

Mungkin imej 17 orang, orang berdiri, orang duduk, makanan, sut dan teks yang berkata 'INTEGRITI I INSTITUT NTEGRI'

About syazwan

Leave a Reply

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino

Translate »