Home / Artikel / Anak Muda dan Semangat Zaman

Anak Muda dan Semangat Zaman

Kepemudaan adalah semangat zaman (zeitgeist) yang malar. Kini ia kembali merebut tempatnya yang terabaikan lama. Di mana-mana, dalam kumpulan konservatif mahupun progresif, islamis, sosialis, pragmatik dan sekular sekalipun citra desakan serta tuntutan peremajaan landskap kepimpinan bergema tanpa ada mendorong. Ia tumbuh secara kesedaran bersama (collective consciousness), organik yang tidak disempadankan oleh sistem kepercayaan, orientasi fahaman dan sempadan negara.


Semangat ini dapat dilukiskan sebagai berikut. Ketika penulis kecil dahulu, di era 90-an, permainan kanak-kanak pada waktu itu bertukar mengikut musim. Di kampung penulis bermain layang-layang atau gasing. Ketika penulis berkunjung ke rumah saudara mara yang jauh beratus kilometer daripada rumah, ternyata mereka juga sedang menuai musim permainan yang sama. Tanpa propaganda media, tanpa dukungan alat ‘tularan’, tanpa artis mendendangkan, ia menetas dalam ranah kemahuan bersama. Maka, berderetlah kedai-kedai yang banyak menjual permainan demikian. Tiba waktu musim berkenaan di penghujung dan hambar, beralih pula kepada musim guli, senapang atau selainnya. Soalnya, siapa yang merancang, menetap, menjadualkan pertukaran ini? Tidak, ia didorong oleh selera massa, ia adalah semangat zaman yang tumbuh oleh tabiatnya yang sukar kita fahami.


Itu contoh kecil untuk diadili bagi memperbandingkan dengan contoh yang lebih besar seperti ranah sosiopolitik tanah air dan dunia. Semangat zaman yang bergema di rata-rata dunia hari ini memaparkan kecenderungan untuk rejuvenasi landskap politik dengan idea-idea segar, muda, progresif dan terangkum. Tentunya, kanvas ini diwarnai oleh angkatan pemimpin-pemimpin muda yang cenderung lebih memahami desakan arus dasar lautan (groundswell) dengan beberapa syarat yang ditetapkan untuk tidak mengulangi lagi amalan yang lama.


Jika ditinjau hasrat di peringkat majlis antarabangsa yang memerhatikan pergerakan zaman ini, tindakan yang diambil untuk meremajakan ahli legislatif bukanlah suatu yang janggal. United Nations (UN) telah mengadaptasi kempen Not Too Young To Run (NTYTR) yang berasal daripada Afrika bagi menggalakkan penyertaan perwakilan belia dalam platform utama pembuatan dasar negara. Fenomena global turut mempengaruhi mood dan darjah kecenderungan memilih di beberapa negara. Perubahan landskap politik dunia dapat dirujuk. Emmanuel Macron, Presiden Perancis berumur 39 tahun ketika menjawat, Juri Ratas, Perdana Menteri Estonia berusia 39 tahun, Leo Varadkar, Perdana Menteri Ireland berumur 39 tahun dan Jacinda Ardern, Perdana Menteri New Zealand berumur 37 tahun.


Tiada yang merancang kemaraan zaman ini. Ia bukannya tentang orang muda berang (angry young man), tetapi orang muda sudah lelah melihat panglima-panglima politik (warlords) di atas mereka yang bercakaran terhadap musuh bersama (common enemy). Menubuhkan parti untuk berentap, berembat membelasah musuh yang dicipta sejak hampir separuh abad yang lalu. Jangan tidak percaya, ada yang telah hampir selama itu berbantaian untuk mencipta persepsi buruk, menakut-nakutkan warga untuk tujuan meraih undi.

Undi 18 Tahun

Situasi di Malaysia untuk melihat peremajaan landskap legislatif yang menjadi jantung sosiopolitik di Malaysia berada pada landasan yang tepat apabila had umur mengundi diturunkan kepada 18 tahun. Manakala, takrif umur belia kepada 15-30 selepas pembentangan pindaan Akta 668 dipersetujui di parlimen dijangka akan berkuatkuasa menjelang tahun 2022. Jumlah pengundi dijangka meningkat kepada 22.7 juta menjelang tahun 2023 yang menunjukkan peningkatan lebih 50 peratus berbanding 14.9 juta yang direkodkan menerusi daftar pemilih pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Penunjuk ini berupaya membuka ruang untuk golongan muda terbabit dalam mencorak kepemimpinan negara.

Jika orang muda telah sedia dimatangkan untuk bercakap mengenai tanggungjawab terhadap negara, mengapa mereka masih disekat untuk tampil ke peringkat yang lebih tinggi? Cukuplah untuk membiayai pemain politik lama. Mereka telah banyak berjasa dan tiba masa untuk menikmati rehat, menuai hasil yang mereka juangkan. Keterujaan kita untuk melihat luahan para pengundi muda pada PRU – 15 nanti adalah suatu yang rasional. Mereka termasuk dalam kelompok yang dikategorikan sebagai dewasa menurut adat dan menurut perspektif perundangan negara.


Punca Kuasa

Tujuan pemain-pemain politik menawarkan diri dalam perebutan politik adalah untuk menguasai punca kuasa yang membolehkan mereka mendapat legitimasi bagi mempraktiskan visi yang dipercaya. Punca kuasa ini diturunkan daripada perlembagaan sebagai badan tertinggi yang memiliki autoriti untuk mengabsahkan. Selain perebutan punca kuasa, faedah yang mengiringinya daripada sudut imbuhan, kawalan sumber, akses, pengaruh juga menjadi stimulus yang mendorong ahli politik berpencak menarikan seni strategi mereka bagi memenangi pertarungan. Tidak hairan politik sering dianggap dunia yang sangat keras, dihiasi sepak terajang. Gelanggangnya terbuka untuk dimasuki oleh mereka yang memiliki ketahanan dan kemampuan menghadapi serangan bertubi-tubi bukan semata-mata daripada lawan politik tetapi juga NGO dan rakyat yang bertindak sebagai pemantau awam.


Mengambil Malaysia sebagai konteks, seorang Perdana Menteri dipilih oleh YDPA daripada kalangan Ahli Dewan Rakyat yang mungkin dipercayai mempunyai sokongan majoriti ahli dewan berkenaan. Keistimewaan seorang Perdana Menteri itu besar sekali. Beliau memiliki hak pregoratif untuk melantik atau mempengaruhi lantikan seseorang yang bakal membentuk landskap sosiopolitik kerajaan yang dipimpin beliau. Hak ini memberikan kuasa luas untuk menaik dan menurunkan hatta orang yang paling kanan sekali dalam hierarki kabinet atau pentadbiran awam. Kuasanya dijamin undang-undang, dihormati sebagai suatu keistimewaan sebagai ketua badan eksekutif yang menjalankan urustadbir kerajaan.
Kita tidak memperkecilkan sumbangan ahli-ahli politik lama ini. Bahkan kita mengiktiraf bakat, jasa dan sumbangan mereka. Namun, zaman beredar, kebiasaan, kehendak dan kemahuan ikut bergilir. Citarasa anak muda yang menjadi ‘king maker’ dan pembentuk pandangan awam (public opinion) terhadap sesuatu keputusan sangat mempengaruhi.


Kebanyakan mereka merasa bimbang, pada akhirnya ahli politik ini mengekalkan amalan lapuk serta tidak lagi produktif justeru menjadikan Dewan Negara sebagai ‘rubber stamp’. Kita tidak dapat mengawal pemilihan anggota Dewan Rakyat yang 100% ditentukan oleh majoriti pemilih dikalangan pengundi berdaftar. Walaupun iltizam parti-parti politik mencalonkan peribadi muda yang berkarisma untuk menempati posisi kerusi ahli legislatif, ada dikalangan mereka gagal memikat pengundi sehingga kalah dalam PRU lepas. Pengundi tentu tidak dapat disalahkan. Kepada ahli politik muda, mereka mungkin perlu perbanyakkan exercise menguasai ruang awam dalam daerah pertandingan. Kadang-kadang hal itu agak sukar berlaku kerana naungan politik tempatan yang masih banyak dicengkam oleh orang lama yang sentiasa mengintai peluang untuk dicalonkan sebagai wakil rakyat. Kenapa itu berlaku dalam kitaran yang tidak berkesudahan? Berbalik kepada premis di atas yang menyuratkan betapa banyak keistimewaan menguasai puncak kuasa politik. Itu yang direbutkan. Soal prinsip boleh dikompromi. Walaupun masih ramai lagi yang mengimani, bahawa prinsip perjuangan adalah lebih utama daripada kehendak peribadi.


Kita berlepas daripada kawalan terhadap lantikan ahli Dewan Rakyat. Namun, ada lagi wadah legistilatif yang juga membawa seseorang bergelar Yang Berhormat sepenuhnya di bawah bidang kuasa Perdana Menteri yang dapat dikawal melalui nasihat daripada penasihat di sekitar.
Persoalannya kenapa masih cenderung menampilkan orang lama yang telah begitu panjang kita menilai prestasi mereka masih sama tanpa pembaharuan tekad yang segar dan bertenaga. Mereka juga telah puas menikmati segala faedah politik yang menjadikan kebanyakan hidup mewah terapung daripada suara rakyat yang kononnya dibela.


Bukanlah suatu yang janggal jika kerajaan hari ini meremajakan imbangan kuasa antara Dewan Rakyat dan Dewan Negara dengan menampilkan wajah baru. Ini sedikit sebanyak menyokong pertumbuhan institusi awam dan masyarakat yang bebas dan berintegriti tanpa dibayangi tuan-tuan politik (political master) yang berdekad-dekad telah mencengkam penguasaan mereka. Bayangkan, ada dikalangan Ahli Parlimen yang menguasai kerusi sejak selepas merdeka sehingga hari ini masih tidak menunjukkan tanda-tanda akan memberi laluan kepada lapisan baru. Sehingga kematu pemimpin dibelakang mereka menunggu. Ahli politik berkenaan sudah terlalu selesa diulit sanjungan sehingga payah sekali mahu turun.


Orang muda mengharapkan agar hasrat ini didengari oleh pemimpin parti dan kumpulan masyarakat sivik. Jika dapat diimbangi 30% daripada keseluruhan anggota Dewan Rakyat dan Dewan Negara daripada kalangan generasi umur 20-45 tahun. Sesuai dengan banyak dasar pemula yang diambil oleh kerajaan menggunakan skema berkenaan. Kemasukan orang muda dalam segmen penting negara diyakini akan menyegarkan proses pemuktamadan sesebuah akta dan undang-undang yang akan memberi impak kepada generasi masa depan yang mana mereka hari ini sebahagian daripadanya.


“Idealisme adalah satu-satunya kemewahan orang muda”. Kami percaya, idea adalah matawang dunia (idea is the currency of the world). Tidak terhenti hanya sebagai seorang idealis, anak muda yang diharapkan mengisi segmen yang dicadangkan ini juga perlu melepasi faktor merit lain – sumbangan dalam dunia aktivisme, korporat dan organisasi.


Situasi di Malaysia benar-benar dapat menjelaskan permasalahan ini. Banyak bakat-bakat baru yang tiris dan menua tanpa mendapat ruang leluasa untuk berkhidmat kepada negara di posisi pembuat keputusan tinggi. Secara demokratik, mereka mendapat hak. Secara naungan politik, mereka terbuang. Setengah mereka mengambil sikap melawan, mengerah segala kekuatan yang tentu terbatas oleh sentimen kepuakan/jemaah yang kuat berpegang kepada keputusan pimpinan yang tentu sekali dimonopoli oleh tuan-tuan politik yang sama sefikir mahu kekal di kerusi walaupun sudah tidak mampu berkhidmat lagi. Al-hasil, giat bagaimanapun perlawanan mereka tetap juga akan tersingkir di pertengahan. Tanpa kedudukan dan sokongan jentera yang dipengaruhi sentimen tadi, pada akhirnya mengundang kekalahan persepsi ‘terbuang’ atau ‘tidak berdisplin kepartian’ yang sangat dipegang oleh ahli. Ke mana mereka kemudiannya? Rajuk dan memencil diri. Memerhati gelagat tuan-tuan politik daripada jauh tanpa dapat tampil sambil mengisi, mengimbang dan berbuat lebih lagi.


Al-Hikmah al-Syuyukh wa Hamasah al-Syabab


Penulis ini merasakan bahawa, kemudaan itu patut di ketengahkan bukan kerana gelojak semangatnya yang menyala, tetapi tenaga dan kekuatannya yang tersedia patut dikerah untuk kerja lebih besar. Gandingan orang tua yang penuh dengan kebijaksanaan dan orang muda yang bergelora adalah suatu yang ideal. Inilah yang disebutkan oleh Umar al-Tilmisani sebagai “kebijaksanaan orang tua dan semangat orang muda”


Kita mithalkan. Kemerdekaan Indonesia yang diraih pada 17 Ogos 1945 itu berjaya dicapai atas semangat dan air mata para pemuda. Tan Malaka pada tahun 1925/26, usianya baru 28 tahun ketika itu telah mengarang aksi massa (mass actie) yang kelak menjadi nukleas kepada pembentukan negara Republik Indonesia. Karangan beliau itu telah ditemui oleh Sukarno. Tan Malaka walhal masih lagi hidup dalam pembuangan dan pengembaraan ke beberapa negara yang telah berjaya mengusir penjajahan. Sukarno yang pada waktu itu bersama Bung Hatta, Yamin dan beberapa angkatan pimpinan anak peribumi yang bercita-cita besar mahu membebaskan Hindia Timur daripada belitan penjajahan.kedua-dua mereka ini kelak menjadi bapa Republik Indonesia. Manakala, empat orang menjadi bapa pengasas (The Founding Father) republik Indonesia itu datangnya daripada angkatan orang muda.


Sukarno amatlah menghormati gurunya Haji Omar Said Chokroaminoto, sang pendiri Sarekat Islam Indonesia. Beliau membayangkan bahawa gurunya itulah yang menanamkan kehidupan rohani kepadanya. Di sini dapat dilihat, orang muda sebagai pendiri bangsa dan orang tua sebagai gurunya.


Tuanku Abdul Rahman Putra al-Haj, bergerak aktif dalam lapangan kemerdekaan seawal usia 20-an lagi. Tun Abdul Razak menjadi Timbalan Ketua Menteri dalam Kabinet Persekutuan Tanah Melayu 1957 pada usia 35 tahun. Ketika penetapan tarikh kemerdekaan, Tuanku mendapatkan pandangan daripada Syeikh Abdullah Fahim, ulama juga pemimpin rohani yang lebih berusia. Burhanuddin Hilmi mengarang Falsafah Kebangsaan Melayu dan Perjuangan Kita yang berisi konsep negara dan wadah perjuangan yang bakal dijalankan ketika bergiat dalam kesedaran nasion seawal usianya 20-an. Beliau menjadi pemimpin kanan Kesatuan Melayu Muda 1939 sebagai pergerakan politik terawal ditubuhkan di Tanah Melayu pada usinya 28 tahun dan menjadi pemimpin utama Parti Kebangsaan Melayu Malaya pada usia 34 tahun. al-Hilmi turut sering mencampuri para ulama, pemimpin dewasa yang lebih dahulu mengutip kebijaksanaan.


Sultan Muhammad al-Fatih, pembuka Konstantinopel pada 1453 tahun ketika itu hanya berusia 21 tahun. Beliau pula tidak mungkin mempersiapkan diri tanpa bimbingan guru rohani yang memperkukuhkan jiwanya itulah Syeikh Agha Shamsuddin seorang yang bijaksana. Manakala, baru-baru ini Hagia Sofia kembali dibuka sebagai masjid oleh Erdogan yang termasuk pemimpin yang memiliki kebijaksanaan. tidak bersegera untuk memaparkan wawasan Islam beliau, secara bertahap ia mendapat dukungan ummat.


Beberapa contoh yang dikemukakan di atas hanyalah sepotong daripada kisah-kisah yang memaparkan soal gabung-jalin antara orang muda dan tua amatlah bersimbiosis. Memberikan laluan kepada orang muda sebagai pemimpin yang lebih bertenaga bukan bermakna mengenepikan langsung peranan orang tua. Mereka dilorongkan jauh ke depan, untuk menjadi negarawan dan mentor yang membimbing lebih ramai pemimpin baru dilahirkan.

Semoga tuan-tuan besar di atas dapat mendengari.


Tarikh : 18 Januari 2021
E-mel : hanapidarwis@gmail.com

Oleh: Muhamad Hanapi Jamaludin
Felo Penyelidik Majlis Belia Malaysia

About syazwan

Leave a Reply

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino

Translate »