Home / Akhbar / Tamparan hebat rokok seludup dalam usaha mengekang tabiat merokok

Tamparan hebat rokok seludup dalam usaha mengekang tabiat merokok

KUALA LUMPUR, 8 Dis — Lambakan rokok seludup yang mencapai sehingga 12 bilion batang setahun membawa tamparan hebat kepada matlamat Kementerian Kesihatan untuk mengekang tabiat merokok dalam kalangan rakyat Malaysia.

Usaha kerajaan untuk mencapai matlamat itu dengan mengenakan duti eksais yang tinggi ke atas rokok pasti tidak berkesan kerana rokok seludup yang datang dengan pelbagai jenama ini mudah diperoleh pada harga jauh lebih rendah di pasaran.

Pengeluar sah rokok di negara ini turut terkesan dengan lambakan rokok seludup ini dan percaya ia juga angkara penyeludupan terancang, termasuk membawanya masuk sebagai barangan transit di negara ini dengan ia akhirnya memasuki pasaran tempatan.

Pelbagai pihak yang ditemui Bernama mahukan tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas dan holistik daripada akar umbi dalam mengekang penyeludupan rokok secara haram yang tidak berkesudahan di negara ini. Saban hari, media melaporkan kejayaan pihak berkuasa merampas jumlah besar karton rokok tetapi penyeludupan tetap berterusan.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata tindakan undang-undang yang lebih tegas juga perlu dikenakan terhadap peniaga supaya memberi pengajaran kepada mereka agar tidak terlibat dengan perniagaan rokok haram itu.

“Rokok haram ini dijual pada harga lebih murah berbanding rokok yang sah di pasaran, oleh itu, apabila rokok haram ini tidak dikawal, ia mudah diperoleh pengguna dan sudah tentu keadaan ini akan menyukarkan usaha kerajaan mengekang tabiat merokok dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Justeru, dalam usaha kerajaan menaikkan harga rokok untuk mengurangkan jumlah perokok dan mengamalkan gaya hidup sihat, hukuman berat perlu dikenakan terhadap mereka yang terlibat dengan aktiviti penyeludupan rokok,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Jufitri Joha berkata meskipun terdapat banyak penguatkuasaan dilaksanakan namun faktor rasuah mungkin menjadi penghalang.

“Akta untuk mengawalnya yang ada sekarang ini mencukupi, namun tanpa integriti pihak berkuasa, rokok berkenaan boleh diseludup masuk sewenang-wenangnya di samping sikap peniaga yang lebih mementingkan keuntungan daripada tanggungjawab sosial,” katanya.

Beliau dalam pada itu meluahkan kebimbangan terhadap golongan muda khususnya remaja yang masih lagi berada di alam persekolahan yang akan terkesan kerana lambakan rokok haram yang murah dan mudah didapati di pasaran.

“Kita tahu rokok sendiri memang mempunyai keburukannya namun rokok haram yang dijual dengan harga murah ini memudaratkan kesihatan, kandungan nikotin yang tinggi serta mungkin telah dicampur dengan bahan lain, ia juga mudah didapati hingga ada yang menjualnya dalam talian, melalui aplikasi WhatsApp misalnya, kita bimbang remaja akan tertarik untuk membelinya,” katanya.

Sementara itu, firma tembakau, Japan Tobacco International Bhd (JTI Malaysia) baru-baru ini menunjukkan sejauh mana penyeludupan rokok secara haram memberi ancaman kepada orang ramai serta membantutkan usaha kerajaan untuk mengekang tabiat merokok.

Pengarah Hal Ehwal Korporat dan Komunikasinya Azrani Rustam berkata berdasarkan Kajian Rokok Seludup Malaysia (ICS), dianggarkan sejumlah 12 bilion batang rokok setahun diseludup masuk ke Malaysia.

Beliau berkata keadaan itu bukan sahaja menjejaskan perniagaan industri rokok yang sah di negara ini malahan turut memberi kesan kepada kerajaan yang kerugian cukai eksais berjumlah RM6 bilion setahun.

Artikel penuh: http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1797431

About syazwan

Leave a Reply

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino

Translate »