Home / Kenyataan Akhbar / MBM MAHU TINDAKAN TEGAS DIAMBIL KE ATAS PENGANJUR EXPO TATTOO MALAYSIA 2019

MBM MAHU TINDAKAN TEGAS DIAMBIL KE ATAS PENGANJUR EXPO TATTOO MALAYSIA 2019

Majlis Belia Malaysia (MBM) kesal dan membantah sekeras-kerasnya penganjur Expo Tattoo Malaysia 2019 yang berlangsung di ibu kota Kuala Lumpur baru-baru ini.

MBM menggesa pihak bertanggungjawab sama ada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melakukan siasatan menyeluruh seterusnya mengambil tindakan sewajarnya terhadap penganjur.

Penganjuran ini secara jelas mencabar Perlembagaan Negara (kesopanan dan kesusilaan), keharmonian serta tiada nilai positif apatah lagi wujud peragaan separuh bogel dalam acara tersebut.

MBM hairan bagaimana pihak penganjur boleh sewenangnya menggunakan nama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya walaupun YB Menteri menafikan pembabitan kementeriannya dalam penganjuran program tersebut.

Sekiranya benar, tindakan tegas perlu diambil terhadap penganjur kerana mencemarkan nama baik kementerian. Malah tindakan juga perlu diambil terhadap pegawai kementerian jika wujud unsur penglibatan dan kecuaian. Jika tiada tindakan dan hanya penafian semata-mata, rakyat beranggapan ada pembabitan kementerian dalam acara ini.

MBM berpendapat walaupun program seumpama ini pernah dibuat sebelum ini, namun ia dianjurkan dalam skala kecil khususnya untuk masyarakat pribumi di Sabah sebagai menghormati kepelbagaian etnik di Malaysia.

Justeru, MBM berharap pihak kerajaan membendung semua bentuk penganjuran acara sebegini yang tidak sesuai dengan masyarakat Malaysia.

Kebebasan bukan bermakna kita boleh melakukan apa saja, apa apatah lagi ianya melanggar adat serta norma kehidupan kita sebagai rakyat Malaysia.

Tanggungjawab kerajaan bukan hanya membangunkan fizikal negara. Lebih penting adalah membangunkan modal insan dan sahsiah rakyat.

WAN MOHD HUSNI ABDULLAH

KETUA PENERANGAN

MAJLIS BELIA MALAYSIA

Bertarikh : 3 Disember 2019