Home / Akhbar / MBM sokong ibu bapa cuai dikenakan tindakan

MBM sokong ibu bapa cuai dikenakan tindakan

KUALA LUMPUR: Majlis Belia Malaysia (MBM) bersetuju ibu bapa cuai dan mengabaikan anak bermain basikal lajak sehingga membahayakan diri serta pemandu lain dikenakan tindakan undang-undang setimpal mengikut Seksyen 31 dan 33 Akta Kanak-kanak 2001.

Presidennya, Jufitri Joha, berkata arahan bon jaminan dan perkhidmatan komuniti juga boleh dikenakan kepada ibu bapa berkenaan kerana membiarkan anak terbabit aktiviti itu.

Beliau berkata, penguatkuasaan undang-undang pada masa ini dianggap mekanisme berkesan bagi membendung masalah membabitkan golongan awal remaja itu.

“Polis dan pengkaji wajar mendedahkan faktor kanak-kanak ini terbabit dalam aktiviti basikal lajak untuk ditangani punca permasalahannya.

“Polis sudah menjalankan tugasan mereka dengan baik, menyita dan mengenakan saman kepada penunggang basikal lajak serta mengenal pasti 26 litar bagi melaksanakan operasi mencegah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, berkata ibu bapa kepada kanak-kanak atau remaja yang didapati terbabit aktiviti basikal lajak sehingga mengundang bahaya kepada diri dan pengguna jalan raya, boleh dikenakan tindakan kerana kecuaian serta pengabaian hingga mengakibatkan mereka terdedah bahaya.

Beliau berkata, polis boleh mengambil tindakan terhadap ibu bapa berkenaan mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001.

Mengikut undang-undang berkenaan, mana-mana individu memelihara kanak-kanak termasuk ibu bapa yang menganiaya, mengabaikan, membuang atau mendedahkannya dengan cara mungkin menyebabkan dia mengalami kecederaan fizikal atau emosi, boleh dikenakan tindakan.

Mengulas lanjut, Jufitri berkata, MBM menasihatkan remaja mengenai keburukan aktiviti basikal lajak kepada kesihatan dan keselamatan diri, malah kesan jangka panjangnya seperti berdepan sakit tulang belakang kronik serta kecederaan getaran.

Susulan itu, MBM menyarankan mereka meneruskan minat berbasikal dengan cara lebih baik, selamat dan menyihatkan.

“Pergerakan belia diseru bersama menangani isu ini dengan membimbing mereka meneruskan hobi berbasikal secara sihat dan selamat sambil membabitkan sekali aktiviti kebajikan, kesukarelawanan, ekonomi dan pembangunan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Belia dan Sukan sebelum ini pernah berdialog dengan kumpulan basikal lajak di Extreme Park Gombak yang turut disertai MBM bagi mendengar permasalahan mereka.

“Kita sarankan lebih banyak dialog sebegini, malah golongan yang minat berbasikal lajak ini meminta disediakan lebih banyak kawasan khas yang selamat untuk mereka berbasikal,” katanya.

Artikel penuh: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/11/625288/mbm-sokong-ibu-bapa-cuai-dikenakan-tindakan

About syazwan

Leave a Reply

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino

Translate »