Home / Minda Presiden / MENANGGAPI CABARAN MASA HADAPAN PERTUBUHAN BELIA MALAYSIA

MENANGGAPI CABARAN MASA HADAPAN PERTUBUHAN BELIA MALAYSIA

Oleh : Sdr. Jufitri Joha

Presiden Majlis Belia Malaysia

Sempena

Konvensyen Kepimpinan Belia Sabah

12 Oktober 2019, Kota Kinabalu Sabah

PENGENALAN

3 Julai 2019 menyaksikan peristiwa bersejarah apabila Menteri Belia dan Sukan YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan Dewan Rakyat meluluskan pindaan Rang Undang Undang 668 Had Umur Belia daripada 40 tahun ke 30 tahun dan had pemegang jawatan. Perkara sudah tentu mengejutkan dunia pergerakan belia khususnya Majlis Belia Malaysia (MBM) yang tidak diberikan konsultasi terakhir bahkan tidak dijemput ke Parlimen untuk sama-sama mendengar dan menyokong pembentangan pindaan Akta 668 ini. Selain itu seksyen cadangan penubuhan Lembaga Kerja Belia juga tidak dimasukkan bagi mempromosikan kerja belia profesional sekaligus mendokong transisi had umur baharu.

Walaupun menerima pelbagai tekanan dan cabaran selepas sanggahan dan bantahan terhadap pindaan ini seperti kata pepatah luka di tangan nampak berdarah, luka dihati siapa yang tahu namun MBM tetap terus berjiwa besar terus menggerakkan usaha mencari pelapis bagi menjayakan tansisi had umur baharu ini. Untuk rekod, selain faktor tidak diberikan hak konsultasi terakhir, perjuangan MBM adalah bagi mempertahankan rayuan had umur 35 tahun bagi memastikan pergerakan belia khususnya di kawasan kampung dan pedalaman tidak mati secara mengejut.

Berat mata memandang berat lagi bahu memikul, MBM akan gagahi langkah menuju ke hadapan untuk mengatur gerak kerja dengan menanggapi cabaran masa hadapan pergerakan belia Negara. Saya lebih suka menggunakan istilah pergerakan daripada pertubuhan kerana menurut Dr. Azizan Bahari (1991) istilah pergerakan lebih luas maknanya dan mempunyai pengertian dan implikasi dinamisme, perpaduan dan kekuatan belia sebagai suatu tenaga (force) yang memberikan kesan kepada masyarakat dan belia. Istilah pergerakan di dalam bahasa Inggeris iaitu movement dan di dalam bahasa Arab harakah memberikan konotasi penting bahawa pergerakan belia akan sentiasa terus hidup dengan idealisme sekalipun ditekan dan dihenyak ke pelbagai sudut. MBM akan tetap meneruskan hubungan dan kerjasama baik dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) demi kebaikan pembangunan belia dan Negara.

TUGASAN MENANGGAPI CABARAN

Tugasan menanggap bagi melihat, mendengar dan mencerap masa depan pergerakan belia bukan tugas mudah kerana ia memerlukan daya renung mendalam dan daya fikir yang tajam bagi menjangkakan senario dan cabaran masa hadapan berdasarkan perkembangan terkini. Di noktah inilah pemimpin belia wajar mempunyai pemikiran masa hadapan atau futuristic thinking bagi mengemudi pergerakan menempuh tribulasi dan mehnah ini. Kegagalan melengkapi kemahiran ini akan menyebabkan pergerakan belia akan menjadi tidak releven ditelan zaman persis nasib yang menimpa syarikat gergasi Thomas Cook yang beroperasi semenjak 1841 mengendalikan hotel, kawasan peranginan dan syarikat penerbangan kepada 19 juta pelanggan setahun di 16 buah Negara (Kosmo, 5 Oktober 2019). Thomas Cook adalah model perniagaan analog dalam dunia digital!

Kegagalan pergerakan belia menghidu perubahan dan membaca senario semasa menyebabkan kita akan terlambat membuat perubahan strategi dan melakukan repositioning.

MENGEKALKAN KEKUATAN MBM DAN BADAN GABUNGAN

MBM dan seluruh pergerakan belia percaya dan akan terus berikrar untuk mempertahankan wadah ini kerana potensi dan kepentingan pergerakan belia. Pergerakan belia berperanan sebagai pembangunan kepimpinan; pemantapan imej belia; pembangunan masyarakat; pusat pengajaran dan pembelajaran; pusat sumber; perpaduan masyarakat; penyaluran suara belia; pembangunan program kesukarelawanan; pembangunan sukan dan rekreasi (Azimi, Turiman & Ezhar, 2002).

Kajian bertajuk Profil Teras Pertubuhan Sukarela Belia di Malaysia (2015) menyimpulkan bahawa terdapat enam faktor penyebab utama yang telah menentukan keaktifan dan pemilihan utama aktiviti serta program yang dijalankan oleh sesuatu pergerakan belia di Malaysia iaitu khidmat komuniti; altruisme; kecenderungan menderma; amalan nilai murni; perjuangan sejagat dan pembangunan kendiri yang menentukan peranan pertubuhan sukarela.

Selain itu kajian terkini yang dijalankan Siti Maryam dan Haslinda (2019) menunjukkan bahawa umur belia tidak menunjukkan perbezaan yang signifikan terhadap keberkesanan MBM sebaliknya kajian tersebut mencadangkan lima faktor yang memberikan impak kepada keberkesanan MBM iaitu kerja berpasukan; pembangunan belia; matlamat; kepimpinan; dan rangkaian antarabangsa.

Kesemua kajian di atas jelas menggambarkan beberapa jenis kekuatan yang membentuk idealisme pergerakan belia yang harus dipertahan dan dibugarkan di samping sejarah kegemilangan yang panjang. Pergerakan belia merupakan wadah konvensional yang bermanfaat namun harus dipertahankan dan dipromosikan kepada generasi Z dengan beberapa inovasi perubahan.

INOVASI DALAM PERTUBUHAN BELIA DAN KERJA BELIA

Dengan mengambil semangat zaman atau zeitgeist maka sudah tiba masanya pertubuhan belia yang dipelopori oleh MBM serta kerja belia yang bakal diperluaskan selepas semakan Dasar Belia Negara 2015 dan pasca pindaan Akta 668 2019 untuk mengadaptasi elemen inovasi sosial agar terus kekal releven dan elegen. Inovasi sosial sinonim dalam dunia perniagaan namun teramat wajar jika pertubuhan belia dan kerja belia memanfaatkannya. Perlu diperjelas bahawa perubahan dalam pertubuhan belia dan kerja belia yang didambakan adalah perubahan pendekatan yang menghasilkan dan mempertahankan nilai-nilai baik. Ini bersesuaian dengan definisi inovasi yang dilontarkan oleh Azim dan Dr. Suraya (2010) sebagai strategic change that creates value. Kita mahukan perubahan tapi perubahan yang mengekalkan tradisi dan nilai yang baik.

Inovasi dalam konteks pertubuhan belia dan kerja belia pula bermaksud,

Develops the capacity of youth and youth workers for original ideas and action and foster creative achievement that adds value to the quality of work and product (National Youth Agency).

Inovasi sosial dalam pertubuhan belia dan kerja belia diperlukan bagi berhadapan karakter semasa belia khususnya generasi Y, Z dan Alpha yang sedang muncul. Ini adalah kerana mereka berperwatakan smart, cerdik, minda terbuka dan independent (Greenberg & Weber, 2008). Di samping itu inovasi sosial merupakan konsep yang berkesan untuk pertubuhan belia menghasilkan idea praktikal yang menyelesaikan permasalahan dan isu belia secara kreatif dan membawa nilai ekonomi. Untuk idea yang lebih jelas tentang inovasi sosial, The Centre for Social Innovation Toronto telah mendefinisikan sebagai,

“..new ideas that resolve existing social, cultural, economic and environmental challenges for the benefit of people and planet. A true social innovation is system-changing – it permanently alters the perceptions, behaviours and structures that previously gave rise to these challenges” (Garabaghi, 2013).

Konsep inovasi sosial telah diterjemahkan dalam bentuk yang lebih praktikal iaitu startup. Startup merupakan konsep perniagaan kecil atau keusahawanan sosial yang menyelesaikan masalah belia dan masyarakat dalam masa yang sama mendatangkan pulangan kewangan untuk boleh terus sustain. Di Malaysia, Kerajaan telah menubuhkan Malaysian Global Innovation and Creativity Centre (MaGIC) bagi mendokong ekosistem keusahawanan dengan mewujud dan membantu kemunculan startup yang bakal memberikan kesan positif kepada belia dan negara.

Adaptasi inovasi juga berlaku dalam kerja belia agar terus kekal releven mendekati dan mendidik belia. Zeldon, Camino dan Mook (2005) telah membincangkan cabaran mengadaptasi inovasi dalam pertubuhan khususnya memperkenalkan model inovasi seperti Youth-adult Partnership (Y-APSs) lanjutan dari model Positive Youth Development (PYD). MBM telah mempelopori usaha disruption dengan menubuhkan Federasi Kebangsaan Pekerja Belia (FKPB) yang berdaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada tahun 2017 bagi mempopularkan kerja belia profesionalisme. Kerjaya sepenuh masa sebagai pekerja belia diramal menjadi kerjaya penting berikutan ia berkaitan dengan kemanusiaan di kala manusia semakin mengalami tekanan dan kemurungan hidup.

KEKUATAN DAN KEUTAMAAN KEPIMPINAN

Kepimpinan termasuk kepimpinan pergerakan belia harus mempunyai kekuatan kualiti baharu iaitu Lima V (5V) menurut Sarah Wood (2018) dalam bukunya Stepping Up, How to Accelerate Your Leadership Potential iaitu:

Vision: understanding fundamental changes in your industry and turning them to your advantage;

Values: grounding your leadership in a mission that really matters to you;

Velocity: powering up new skills to give your leadership journey momentum;

Votes: Finding, building and inspiring a brilliant team to make the dream a reality; and

Victories: working as a leader to enable and deliver the best results.

Kualiti kepimpinan akan menentukan kekuatan dan masa hadapan pergerakan belia. Dengan kualiti kepimpinan sebegini diyakini mampu menggariskan beberapa agenda besar kehadapan dan keutamaan pergerakan belia, antara lain:

  1. Melahirkan daripada rahim pergerakan belia, pelapis pemimpin yang jauh lebih muda dan hebat bertaraf global persis Greta Thunberg dan Samantha Smith;
  2. Mendidik dan menyerlahkan bakat anak muda yang pakar dan menguasai pelbagai bidang sekaligus menjadi Malaysia sebagai brain power house. Memetik kata-kata Warren Buffet: “If you’re going to the Middle East to look for oil, you can skip Israel. If you’re looking for brains, look no further”;
  3. Merangka strategi bagi membina kekuatan jati diri dan kebudayaan bangsa Malaysia yang boleh dipasarkan mempengaruhi kebudayaan global;
  4. Membina otak dan watak anak muda yang mempunyai minda kelas pertama dan personaliti menjulang; dan
  5. Mempersiapkan Negara daripada middle power kepada great power yang memimpin keamanan dan menawarkan kedamaian.

KHATIMAH

Kita menjangkakan pergerakan belia bakal cabaran besar pada masa hadapan. Persoalannya mampukah pergerakan belia akan terus kekal releven untuk seratus tahun mendatang. Jawapan ada pada anda semua!

RUJUKAN

Arieli, I. (2019) Chutzpah, Why Israel is a Hub of Innovation and Entrepreneurship, New York: Harper Business.

Azimi Hamzah, Turiman Suandi & Ezhar Taman (2002) Persatuan Belia di Malaysia, Perkembangan & Penyerlahan Potensi, Serdang: UPM.

Gharabaghi, K. (2013) Social Innovation and Entrepreneurship: Implications for the Field of Child and Youth Care Practice, Relational Child and Youth Care Practice, Vol. 26, No.3, pp. 42-51.

Greenberg, E. & Weber, K. (2008) Generation We, California: Pachatusan.

Kosmo 5 Oktober 2019

Siti Maryam Md Nor & Haslinda (2019) Hubungan antara Umur belia dan Faktor-Faktor yang Menyumbang kepada Keberkesanan Majlis Belia Malaysia (MBM), dibentangkan di dalam Seminar Penyelidikan Belia Kebangsaan anjuran IYRES 7-8 Oktober 2019 di IYC.

Siti Raba’ah, Turiman Suandi & Azimi Hamzah (2015) Profil Teras Pertubuhan Sukarela Belia di Malaysia, diakses dari https://www.researchgate.net/publication/289515789_PROFIL_TERAS_PERTUBUHAN_SUKARELA_BELIA_DI_MALAYSIA

Wood, S. & O’Keeffe, N. (2018) Stepping Up, How to Accelerate Your Leadership Potential: Harlow: Pearson.

Zeldin, S., Camino, L., Mook, C. (2005) The Adoption of Innovation in Youth Organizations: Creating the Conditions for Youth-Adult Partnerships, Journal of Community Psychology, Vol. 33, No.1, pp. 121-135.

About syazwan

Leave a Reply

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino

Translate »