Home / Akhbar / SABAH PERLU LEBIH BANYAK IKBN: MBM

SABAH PERLU LEBIH BANYAK IKBN: MBM

KOTA KINABALU: Sabah memerlukan lebih banyak Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) memandangkan kemudahan yang sedia ada di Kinarut tidak mampu menampung permintaan di negeri ini.

Naib Presiden Majlis Belia (MBM) Malaysia Azuwan Marjan berkata Sabah dan Sarawak masing-masing hanya mempunyai satu IKBN sahaja bagi menampung keperluan saiz negeri yang sangat besar berbanding negeri lain di Semenanjung Malaysia.

Menurutnya IKBN adalah satu-satunya institut latihan yang dimiliki kerajaan bagi membolehkan para belia tidak mempunyai kelayakan akademik diterima masuk asalkan mereka pandai membaca dan mengira.

“Terdapat juga institut latihan kerajaan yang lain tetapi memerlukan kelayakan seperti lulus dalam peperiksaan PMR dan SPM, oleh itu bagaimana belia yang tercicir dari sekolah?

“Di Sabah khususnya, terdapat ramai pelajar yang tercicir dari kawasan seperti pedalaman,” katanya dalam satu kenyataan selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Menteri Belia dan Sukan Phoong Jin Zhe di sini, baru-baru ini.

Katanya melihat kepada keadaan itu, kerajaan baru perlu menambah lebih banyak kemudahan seperti IKBN dan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) di Sabah dan Sarawak bagi menyediakan latihan kepada pelajar yang tercicir agar mampu diserap masuk dalam pasaran kerja.

“Saya berpendapat IKBN dan IKTBN perlu mewujudkan program latihan sendiri yang bersesuaian dengan pasaran kerja setempat. Di Sabah contohnya, terdapat banyak permintaan dari segi kemahiran jurukimpal di dasar lautan dalam sektor minyak dan gas serta pakar juruselam dalam industri pelancongan.

“Institut kerajaan ini harus menawarkan program latihan seumpamanya bagi memenuhi permintaan itu,” katanya.

Beliau berkata adalah tidak adil kepada Sabah dan Sarawak yang hanya mempunyai satu IKBN setiap negeri bagi menampung permintaan ramai dalam kalangan belia di kedua-dua negeri berkenaan.

Katanya perkara yang membimbangkan adalah IKBN di Sabah tidak mendapat peruntukan yang mencukupi, seterusnya membantutkan keupayaan institut terbabit.

“IKBN Sabah dibina untuk menerima 800 pelajar tetapi disebabkan peruntukan yang terhad, ianya hanya mampu menerima 500 pelajar sahaja,” katanya.

Beliau berkata, sebagai wakil MBM di Malaysia Timur, dia sudah membentangkan usul di mesyuarat Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) pada 20 Ogos lalu mengenai cadangan membina lebih banyak IKBN dan IKTBN di Sabah dan Sarawak.

“Cadangan itu juga sudah diterima dan akan dikaji oleh pihak Kementerian Belia dan Sukan dalam perlaksanaan Rancangan Malaysia ke-12. Saya berharap ianya dapat dilaksanakan,” katanya.

– SabahNewsToday 21 September 2019

About syazwan

Leave a Reply

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino

Translate »