Home / Minda Presiden / UCAPAN SDR. JUFITRI JOHA, PRESIDEN MAJLIS BELIA MALAYSIA SEMPENA MESYUARAT AGUNG TAHUNAN PERTUBUHAN GERAKAN BELIA BERSATU MALAYSIA (GBBM) KALI KE-2 PENGGAL KE-18

UCAPAN SDR. JUFITRI JOHA, PRESIDEN MAJLIS BELIA MALAYSIA SEMPENA MESYUARAT AGUNG TAHUNAN PERTUBUHAN GERAKAN BELIA BERSATU MALAYSIA (GBBM) KALI KE-2 PENGGAL KE-18

Assalamualaikum Warrahmatullahi Wabarakatuh,

Salam Sejahtera dan Selamat Pagi.

SALUTASI

  1. Terlebih dahulu, saya ingin melafazkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia-Nya, kita dapat bersama-sama dalam majlis pada hari ini. Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada barisan kepimpinan Pertubuhan Gerakan Belia Bersatu Malaysia (GBBM) di atas undangan kepada saya untuk menyampaikan ucapan di Mesyuarat Agung Kali Kedua Penggal Kelapan Belas ini.
  • GBBM merupakan salah sebuah pertubuhan belia kebangsaan yang bergabung dengan Majlis Belia Malaysia (MBM) yang aktif dalam pembangunan belia. Sejak penubuhannya pada tahun 1975 di Tehel Melaka, ia telah berkembang dengan pesat sehingga ke kini, sebuah pertubuhan kebangsaan yang mempunyai lebih daripada 300 cawangan di seluruh Malaysia. Tanpa mengira ideologi politik dan puak, menyediakan platform yang kepada para belia untuk menyalurkan buah fikiran dan maklum balas yang positif terhadap cabaran-cabaran semasa melalui saluran yang betul. Dalam 44 tahun ini, GBBM telah banyak memberi sumbangan kepada komuniti belia dari segi pembangunan modal insan, ekonomi, perpaduan, kebudayaan dan pendidikan melalui pelbagai program dan inisiatif selaras dengan perkembangan dan keperluan dari semasa ke semasa. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada GBBM!

Saudara-saudari yang saya kasihi,

CABARAN-CABARAN BELIA

  • Pada hari Sabtu yang akan datang, kita akan menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-62. Dalam kemeriahan menyambut Hari Kebangsaan ini, kita juga harus merenung apakah aspirasi belia terhadap masa depan pembangunan negara? Apakah cabaran yang sedang dan bakal kita hadapi? Apakah strategi atau tindakan pertubuhan belia mengatasi cabaran tersebut? Apakah peluang-peluang yang sedia ada dan akan wujud? Saya tertarik dengan istilah krisis dalam Bahasa Cina “危机Wei Ji”. Di mana bagi setiap cabaran “wei” yang dihadapi mesti wujudnya peluang “ji”. 
  • Menurut Dasar Belia Malaysia 2015, golongan belia terdedah kepada empat cabaran utama iaitu: Politik, Ekonomi, Sosial dan Teknologi.
  • Dari segi politik, kita berdepan dengan cabaran literasi perlembagaan, kesedaran hak asasi dan demokrasi, kematangan dan kualiti kepimpinan serta mentaliti yang kritis dan konstruktif. Dari segi ekonomi, kita diselubungi oleh isu kos sara hidup, kemahiran, pembangunan kerjaya, keusahawanan dan pengurusan kewangan peribadi.
  • Dari segi sosial, kita mengalami isu pendidikan, jati diri, perpaduan, gejala sosial, kesukarelawanan, hubungan keluarga dan penerapan nilai-nilai murni. Manakala, teknologi pula menimbulkan isu adaptasi dan etika penggunaan kemajuan teknologi yang serba canggih seperti teknologi komunikasi dan informasi, automasi, Internet of things (IoT), dan impak Revolusi Industri Ke-4 terhadap gaya hidup, pekerjaan, perniagaan dan kesihatan golongan belia kini dan masa depan.

Saudara-saudari sekalian,

IMPAK PINDAAN AKTA 668

  • Sejak 9 Mei tahun lepas, kita telah mengalami peralihan politik yang julung dalam sejarah Malaysia. Perubahan dasar-dasar kerajaan dan kepimpinan politik bukan sahaja membawa harapan baharu kepada pertubuhan belia. Ia juga membawa cabaran yang besar kepada pergerakan belia di Negara kita. Contohnya, Pindaan Akta Pembangunan Belia dan Pertubuhan Belia (Acta 668) pada bulan Julai baru ini yang menurunkan had umur belia kepada umur 30 tahun dan ke bawah. Meskipun ia amat mencabarkan, Majlis Belia Malaysia dan badan-badan gabungan masih tidak berputus asa dan terus berusaha untuk mencari penyelesaian untuk menangani cabaran tersebut melalui saluran yang betul. Pada masa yang sama, meneroka peluang yang ada dalam cabaran tersebut supaya Pertubuhan belia masih relevan dan memperjuangkan kepentingan belia.

JAMBATAN BELIA – KERAJAAN

  • Pertubuhan belia hendaklah sentiasa menjadi jambatan yang menghubungkan golongan belia dan Kerajaan bagi memastikan Kerajaan memahami aspirasi, isu dan keperluan belia manakala dasar, program dan inisiatif juga dapat disebarkan kepada golongan belia melalui pertubuhan belia di pelbagai peringkat. Saya teruja apabila melayari laman sesawang dan mendapati kesungguhan GBBM dari peringkat kebangsaan ke daerah dalam pembangunan belia.  Pelbagai aktiviti telah diadakan merangkumi sukan, rekreasi, pembangunan modal insan, intelektual, kajian isu semasa dan peningkatan kendiri. Program GBBM Youth Service Awards yang diwujudkan sejak tahun 2017 juga merupakan satu program yang amat bermakna kerana ia memberi suntikan semangat kepada belia melalui pengiktirafan.

Saudara- saudari yang dikasihi,

IMPAK REVOLUSI INDUSTRI KE-4

  • Dunia kita berdepan dengan Revolusi Industri Ke-4 pada masa kini, Perkembangan teknologi yang pesat akan mengubah semua aspek kehidupan seharian kita dan ia adalah satu trend global yang tidak dapat dielakkan. Kemajuan teknologi sememangnya akan membawa kemudahan kepada kita. Malahan impaknya terhadap manusia, alam sekitar, dan ekonomi juga perlu diambil kira untuk memastikan ia tidak membawa penamatan kepada tamadun manusia. Penggunaan teknologi yang keterlaluan tanpa mengambil kira unsur etika dan kerohanian akan membantutkan perkembangan fizikal dan mental manusia. Pertubuhan belia perlu memainkan peranan yang aktif dalam mendidik golongan belia cara penggunaan dan adaptasi teknologi, membantu belia meneroka peluang pembangunan kerjaya pada masa yang sama mendidik belia mengenai penggunaan teknologi secara beretika dan selamat. Saya difahamkan bahawa GBBM juga giat dalam penganjuran program e-keusahawanan dan penggunaan sosial media bagi membantu belia-belia meneroka peluang perniagaan dan meningkatkan kemahiran para belia.

KEMANDIRIRAN EKONOMI

  1. Akibat daripada keadaan ekonomi global yang tidak begitu merangsang dan langkah-langkah penjimatan yang dilaksanakan oleh Kerajaan. Kemandirian dan penghakupayaan patut diutamakan. Meskipun MBM masih tidak putus asa dalam memperjuang bantuan pentadbiran bagi pertubuhan-pertubuhan belia, MBM dan pertubuhan belia perlu juga kreatif dan inovatif dalam mengurangkan kebergantungan kepada peruntukan Kerajaan dan menjana pendapatan yang mapan bagi menampung perbelanjaan dan program seperti melalui keusahawanan sosial, rakan kongsi bestari (smart partnership) atau Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

PERPADUAN DALAM KEPELBAGAIAN

  1. Kebelakangan ini, masyarakat Malaysia diganggu dengan isu-isu polemik sentimen perkauman dan keagamaan. Dalam masyarakat yang pluralistik ini, perbezaan etnik, budaya, agama dan latar belakang adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan dan ia merupakan satu keunikan di negara ini. Rabu ini, saya berkesempatan menghadiri 2nd  Malaysia – China Civilization Dialog, sebuah dialog antara Islam dan Confucianisme di The Palace of Golden Hotel. Salah satu konsep penting dalam Confucianisme adalah “和He” yang bermakna harmoni atau keharmonian. “和而不同 He Er Bu Tong” bermakna harmoni walaupun tidak sama. Konsep ini selaras dengan konsep Islam:

“Wahai Ummat Manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu semua daripada lelaki dan perempuan dan  telah Kami ciptakan kamu semua pelbagai bangsa dan bersuku-puak, supaya kamu semua saling berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia (diantara) kamu semua disisi Allah ialah yang paling bertaqwa, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Kenal. ~ al-Hujurat(49), 13”

  1. Walaupun kita berbeza dari segi etnik, agama, ideologi, budaya dan bahasa, kita hidup bersama di dalam Negara dan komuniti ini dengan harmoni. Keharmonian bukan sekadar kompromi tetapi juga harus berpandukan prinsip ketertiban (courtesy) dan kesesuaian (propiety) atau kesederhanaan (appropriateness). Sebagai pemimpin pertubuhan dan komuniti kita harus menyuarakan pendapat kita melalui saluran yang bersesuaian dan berunding mengikut tatacara atau kaedah yang bersesuaian sama ada secara terbuka atau kumpulan fokus. Pada masa yang sama, MBM dan pertubuhan belia menyediakan platform bagi perbincangan dan penyaluran suara belia secara positif dan konstruktif. Kita juga memainkan peranan mendidik golongan belia mengenai prinsip demokrasi, hak warganegara dan dasar awam.

UNDI UMUR 18

  1. Berkenaan dengan penurunan usia pengundi daripada umur 21 tahun kepada umur 18 tahun, saya berpendapat bahawa Kerajaan harus membuat kajian yang menyeluruh tentang impak, ketersediaan dan kaedah pelaksanaan akta terdahulu sebelum dibawa ke Parlimen. Pindaan akta mungkin mudah diluluskan tetapi perlu diingatkan bahawa setiap pindaan walaupun kecil akan membawa kesan yang besar kepada pihak rakyat Malaysia.  Kepentingan rakyat harus menjadi keutamaan pemimpin Negara dan bukannya perbatuan politik pihak tertentu.

PENUTUP

  1. Akhir kata, saya berharap GBBM terus berjaya dalam usaha pembangunan belia dan memperjuangkan kepentingan belia.
  1. Semoga Mesyuarat Agung Pertubuhan Gabungan Belia  Bersatu Malaysia Kali Kedua Penggal Kedua berlangsung dengan lancar dan berjaya.

Sekian, terima kasih.

Bertarikh : 25 Ogos 2019

About syazwan

Leave a Reply

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino

Translate »