Home / Kenyataan Akhbar / MBM KESAL PEMBENTANGAN RUU AKTA 668 PINDAAN 2019 DIBUAT TANPA PERSETUJUAN TERAKHIR BERSAMA

MBM KESAL PEMBENTANGAN RUU AKTA 668 PINDAAN 2019 DIBUAT TANPA PERSETUJUAN TERAKHIR BERSAMA

1.) Majlis Belia Malaysia (MBM) terpanggil untuk menyatakan rasa kesal dan terkilan yang amat mendalam selaku rakan strategik utama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia dalam pembangunan belia Negara berkenaan pembentangan Rang Undang Undang (RUU) Akta Pertubuhan Belia & Pembangunan Belia 2007 atau Akta 668 pindaan 2019;

2.) Pindaan ini dibuat tanpa persetujuan terakhir bersama MBM selaku pihak yang bakal terkesan langsung dengan pindaan ini khususnya berkaitan pindaan had umur belia. Kali terakhir MBM dan KBS bermesyuarat berkenaan hal ehwal ini adalah pada 16 April 2019 namun belum dimuktamadkan dan masih belum mencapai apa-apa persetujuan bersama;

3.) Ketika ini saya berada di Moscow memenuhi undangan rasmi State Duma of the Federal Assembly of the Russian Federation menghadiri International Forum Development of Parliamentarism selama 4 hari dan saya hanya mengetahui tentang pindaan ini ketika hari kedua saya berada di sini iaitu pada 1 Julai iaitu hari yang sama pindaan RUU Akta 668 dibentangkan. Tiada makluman kepada saya daripada pihak KBS sehingga hari ini. Saya hanya mengetahui melalui mesej rakan rakan pimpinan MBM. Tidak banyak yang saya dapat lakukan daripada kejauhan melainkan menyatakan pendirian dan memberikan penjelasan di dalam kenyataan rasmi ini;

4.) Sewajarnya sekurang kurangnya deraf terakhir pindaan Akta 668 dibentangkan secara rasmi kepada pimpinan MBM untuk persetujuan terakhir bersama sebagaimana yang dilakukan oleh YB Menteri Belia kepada ahli-ahli Parlimen;

5.) Solusi transisi perubahan had umur yang lebih disenangi dan diterima oleh semua pihak telah pun diberikan MBM yang dipersetujui YB Menteri sendiri ketika ucapan Hari Belia Negara 2019 di UKM iaitu 15-35 tahun;

6.) Had umur 15-35 tahun adalah solusi terbaik dan munasabah yang diterima oleh semua badan gabungan MBM untuk dilaksanakan sebelum langkah seterusnya untuk MBM dan badan gabungan bersetuju untuk “all out” berkempen secara besar- besaran memberikan laluan kepada para belia di bawah 30 tahun untuk

diberikan ruang seluas-luasnya memimpin pertubuhan belia termasuk MBM. Paling penting had umur 15-35 tahun adalah bagi memastikan transisi kepimpinan berlaku secara sukarela, lancar dan tidak menyebabkan lebih banyak pertubuhan belia di akar umbi mati kerana ia melibatkan soal memimpin dan mengurus. Sebahagian pertubuhan belia yang telah bersedia telah pun menyahut seruan memberikan laluan kepada kepimpinan di bawah 30 tahun. Ia dilihat berkesan dan harmoni apabila ia dilakukan secara sukarela berbanding dipaksa-paksa melalui undang-undang;

7.) Kematian lebih banyak pertubuhan belia akar umbi akan menyebabkan fungsi pertubuhan belia untuk menjayakan pembangunan belia positif (PYD) sekaligus mengelakkan belia terlibat daripada gejala sosial akan sedikit terbantut;

8.) MBM menegaskan bahawa MBM amat komited menjayakan hasrat meremajakan MBM dan pertubuhan belia sambil menegaskan pentingnya usaha-usaha sokongan bersepadu menjayakan agenda ini termasuk membenarkan secara besar besaran pertubuhan belia masuk ke sekolah sekolah, latihan pengkaderan kepimpinan muda yang lebih agresif dan penubuhan Lembaga Kerja Belia Profesional. Usaha-usaha yang mendokong peremajaan ini masih belum dilihat dibuat secara agresif bahkan amat dikesali apabila seksyen penubuhan Lembaga Kerja Belia Profesional digugurkan dalam pindaan RUU Akta 668 kali ini;

9.) Justeru bagi tujuan membawa suara nurani dan permintaan ikhlas majoriti badan gabungan MBM dan belia akar umbi, MBM tanpa sebarang kepentingan dan agenda tersembunyi, berhasrat menghantar Memoradum Khas bagi merayu sambil menggesa pihak Kerajaan khususnya Kementerian Belia di bawah pimpiman YB Syed Saddiq menyemak semula RUU Akta 669 Pindaan 2019 dan mendapat persetujuan bersama MBM.

Memorandum ini akan diserahkan oleh pimpinan MBM dan badan gabungan pada hari ini 3 Julai 2019 (Rabu) jam 11 pagi di Parlimen pada pihak Kerajaan dan pihak pembangkang dengan menggunakan saluran demokrasi yang sah dan cara yang aman.

Saya menyeru semua pimpinan MBM dan badan gabungan serta belia akar umbi bersatu hati tanpa sebarang kepentingan untuk sama sama menyerahkan memorandum khas ini untuk menuntut keadilan dan menyelamatkan nasib semua pertubuhan belia.

10.) MBM sedia terus terbuka berunding untuk isu pindaan ini dan komited untuk terus memperjuangkan isu-isu kepentingan belia sebagaimana yang dapat dilihat di FB MBM.

MBM amat yakin Kerajaan pimpinan Tun Dr. Mahathir akan mendengar dan menangani permintaan ini dengan penuh hikmah.

JUFITRI JOHA

Presiden

Majlis Belia Malaysia

Bertarikh : 3 Julai 2019

About syazwan

Leave a Reply

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino

Translate »