Home / Berita / Hari Belia Negara 2019 disambut sederhana, penuh pengisian

Hari Belia Negara 2019 disambut sederhana, penuh pengisian

BANGI 15 Mei – Berlangsung dalam bulan Ramadhan kali ini tidak menghalang orang ramai khususnya belia untuk hadir memeriahkan sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2019 yang diadakan selama dua hari di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini.

Seawal pukul 10 pagi, Dewan Canselor Tun Abdul Razak, UKM sudah menerima kunjungan belia termasuklah pelajar-pelajar UKM sendiri yang tidak melepaskan peluang menyertai acara yang merupakan pertama kali diadakan di universiti itu.

Mengulas penganjuran HBN pada tahun ini, Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM) Hasnul Haniff Harun berkata, walaupun disambut secara sederhana di UKM, ia masih menekankan soal inovasi, kreativiti dan keusahawanan.

Mengambilkira penganjuran dalam suasana Ramadhan, pihak penganjur mengadakan aktiviti yang bersesuaian seperti Konvensyen Belia Kebangsaan 2019 (KBK), Mini Youth Biz Expo (myBEX) seperti business matching, pocket talk, pameran dan jualan produk usahawan belia dari seluruh negara dan Emedica Game Show bagi pengemar sukan e-sports.

Konvensyen Belia Kebangsaan 2019 (KBK) tahun ini mengangkat tema Digital Native Agenda (DNA23) sebagai usaha kerajaan bagi memacu pertumbuhan ekonomi yang rancak dan segar sekali gus menarik minat golongan muda menceburinya. KBK menampilkan barisan panelis yang pakar dalam bidang digital masing-masing antaranya Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Surina Shukri; Pengarah Kreatif Les’ Copaque Production, Syed Nurfaiz Khalid Syed Ibrahim; Pengarah Eksekutif Todak Culture, Khairul Azlan Zainal Ariffin; Founder GoCoach, Rashid Jamiran; Presiden Persatuan Usahawan Digital Selangor, Haidar Darus dan Timbalan Pengarah CESMED UKM, Prof. Madya Sr. Dr. Norngainy Mohd Tawil.

Kemuncak kepada konvensyen ini ialah kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim, mantan Presiden MBM dan pengasas DNA23 menyampaikan ucaptama dan sesi soal jawab bersama audien.

Selain itu, slot khas bersama warga Orang Kelainan Upaya (OKU) memberi kesan kepada peserta-peserta konvensyen apabila ahli panel berkongsi pengalaman bagaimana mereka yang dahulunya insan sempurna diuji dengan hilang nikmat penglihatan dan bagaimana mereka bangkit semula.

Ketibaan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum pelancaran majlis yang diadakan pada sebelah petang nyata memeriahkan suasana.

Seperti biasa, Syed Saddiq yang menjadi tumpuan golongan muda tidak melepaskan peluang untuk bersuafoto dengan pengunjung.

Tun Dr. Mahathir, dalam ucapan perasmiannya telah mengumumkan RM50 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan program Youth Power bagi tahun ini dan tahun hadapan. Peruntukan itu, katanya, termasuk RM7.4 juta untuk tahun 2019 bagi menggerakkan Youth Power Club di 222 buah kawasan di seluruh negara.

Tambahan, kerajaan bersetuju melantik seorang anggota Dewan Negara dari kalangan belia berkelayakan yang mempunyai kepakaran luas dalam bidang dan isu pembangunan belia. Beliau turut mencadangkan supaya pelantikan itu dibuat dalam masa terdekat.

Inisiatif penyertaan anak muda akan diteruskan dengan melantik belia berkelayakan dalam pelbagai jawatan utama bagi meningkatkan suara anak muda dalam membuat keputusan.

Seterusnya beliau menyampaikan Anugerah Perdana Belia Negara 2018 dan 2019 yang diberikan kepada belia dan persatuan yang menunjukkan potensi cemerlang dan menyumbang kepada masyarakat serta pembangunan negara.

Senarai Pemenang Anugerah Perdana Belia Negara 2018:

Kategori Anugerah Khas:
1. Mohd Redha bin Rozlan
2. Dr. Siti Khayriyyah binti Mohd Hanafiah

Kategori Individu Lelaki:
1. Wan Mohd Husni bin Abdullah

Kategori Pertubuhan Belia:
Johan : Persatuan Belia Setia Pakat
Naib Johan : Persatuan Belia Pamah Rawas Ulu Dong
Ketiga : Persatuan Belia Bandar Ampang Jaya.


Senarai Pemenang Anugerah Belia Negara 2019:

Kategori Anugerah Khas:
1. Azzrulkhan Hasrullah bin Matsah
2. Nor Farhatul binti Panut

Kategori Emas Remaja Perdana
1. Dailami Daniel bin Mat Nor

Kategori Individu Wanita
1. Roseffazleen binti Abdul Rahaman

Kategori Individu Lelaki
1. Ravichandran A/L Balasubramaniam

Kategori Pertubuhan Belia
Juara : Pertubuhan Belia Beliawanis Bukit Kuda
Naib Juara : Persatuan Belia (MBFM) Felda Jelai 3
Ketiga : Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sarawak.

Mohd Redha Rozlan atau dikenali Mat Redho merupakan bekas juara Fear Factor Malaysia yang juga pemenang di Final Ninja Challenge League 2018 (NCL) di Australia tahun lalu, mengalahkan 95 peserta dari perbagai negara.

Nor Farhatul Fairuzah Panut pula adalah Johan Qariah Tilawah Al Quran peringkat antarabangsa baru-baru ini.

Bertemakan ‘Youth Power’, Hari Belia Negara dianjurkan bagi mengiktiraf penglibatan golongan belia dalam menggerak dan memartabatkan pembangunan belia di negara ini di samping rakan kongsi utama KBS iaitu Majlis Belia Malaysia (MBM).

Penganjur menganggarkan acara ini telah mendapat sambutan kira-kira 10,000 pengunjung. Penglibatan golongan mahasiswa menjadi fokus utama bagi menarik penyertaan mereka dalam pertubuhan belia selari dengan Dasar Belia Malaysia.

About syazwan

Leave a Reply

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino

Translate »