Home / Kenyataan Akhbar / KENYATAAN MEDIA BERSAMA MAJLIS BELIA MALAYSIA (MBM) DAN MAJLIS BELIA KELANTAN (MBK) MOHON KERAJAAN PERTIMBANG PROJEK LALUAN REL PANTAI TIMUR (ECRL) DI TERUSKAN KE PENGKALAN KUBOR

KENYATAAN MEDIA BERSAMA MAJLIS BELIA MALAYSIA (MBM) DAN MAJLIS BELIA KELANTAN (MBK) MOHON KERAJAAN PERTIMBANG PROJEK LALUAN REL PANTAI TIMUR (ECRL) DI TERUSKAN KE PENGKALAN KUBOR

Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Majlis Belia Kelantan (MBK) menyambut baik pengumuman kerajaan menyambung semula projek ekonomi berimpak besar (ECRL) yang menghubungkan Pelabuhan Kelang dan Kota Bharu. Projek berskala besar ini tentunya secara langsung dan tidak langsung akan memberikan limpahan ekonomi kepada penduduk yang terlibat dengan jajaran tersebut.

Melalui diskusi MBM bersama MBK yang diadakan di Tanah Merah pada 27 April 2019 lepas, pihak kami berasa terpanggil untuk menyarankan kepada pihak kerajaan supaya jajaran asal ECRL yang menghubungkan Pelabuhan Kelang dan Pengkalan Kubor (bukannya sekadar Kota Bharu) dapat dipertimbangkan untuk diteruskan.

Hal yang demikian kerana mengikut pemerhatian kami, daerah Tumpat adalah antara daerah yang menyumbang kepada peratusan tertinggi miskin tegar di negeri Kelantan iaitu 26.67% (rujuk http://etegar.kelantan.gov.my).

Rata-rata penduduk Tumpat terlibat di dalam aktiviti pertanian dan perikanan dan tentunya dengan pelaksanaan projek ini, limpahan ekonomi dan peluang pekerjaan dapat dinikmati oleh rakyat setempat di sini terutamanya golongan belia dan B40.

Jika ditelusuri, pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang telah menjana ekonomi dan pembangunan di kawasan yang dulunya hanya dilitupi ladang kelapa sawit dan hutan. Namun hari ini, MBM dan MBK melihat Sepang telah berubah wajah dan nilai hartanah di kawasan tersebut melambung tinggi.

Di samping membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, kawasan sekitarnya turut mendapat tempias positif.

Justeru, pihak MBM dan MBK melihat bahawa dengan penyambungan ECRL ke Pengkalan Kubor tentunya dapat melonjakkan potensi ekonomi di daerah Tumpat umumnya dan di Pengkalan Kubor khasnya. Pengkalan Kubor yang terkenal sebagai kawasan bebas cukai dan berjiran dengan pekan Takbai, Thailand tentunya dapat menjadi kunci besar industri pelancongan dan pengangkutan negara.

Akhirnya besar harapan pihak MBM dan MBK agar Kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan dan hasrat belia Kelantan khususnya di Tumpat.

Jufitri bin Joha
Presiden 
Majlis Belia Malaysia

Hafizul Nizam
Yang Dipertua 
Majlis Belia Kelantan

30 April 2019

About syazwan

Leave a Reply

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino

Translate »