Home / Kenyataan Akhbar / Kenyataan Media MBM : MBM Menyeru Kerajaan Agar Tidak Tergesa-Gesa Meratifikasi ICERD

Kenyataan Media MBM : MBM Menyeru Kerajaan Agar Tidak Tergesa-Gesa Meratifikasi ICERD

KENYATAAN MEDIA

MAJLIS BELIA MALAYSIA

MBM MENYERU KERAJAAN AGAR TIDAK TERGESA-GESA

MERATIFIKASI ICERD

 

Majlis Belia Malaysia (MBM) merujuk kepada beberapa laporan media berkaitan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB P. Waythamoorty berkenaan kesediaan Malaysia meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Menentang Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan Konvensyen-Konvensyen Hak Asasi Manusia yang lainnya.

MBM mengalu-alukan usaha kerajaan dalam mengangkat hak asasi manusia di era Malaysia Baharu ini dan sentiasa menyokong sebarang usaha ke arah sedemikian. MBM sebagai badan induk pertubuhan belia tertinggi di Malaysia, yang terdiri daripada pertubuhan belia pelbagai kaum dan agama, menegaskan bahawa MBM menentang serta menolak sebarang bentuk diskriminasi terhadap mana-mana kaum, etnik, agama, gender mahupun kelompok di dalam negara ini bahkan menggesa agar hak daripada setiap mereka terpelihara sebagai karamah insaniyyah atau kemuliaan keinsanan.

Namun begitu, cadangan pihak Kerajaan dalam menandatangani dan meratifikasi konvensyen hak asasi manusia hendaklah dilakukan secara berhemah dan penuh berhati-hati, serta mengambil kira latar sejarah negara ini yang terbina atas beberapa pasak asasi yang kukuh.

Perlembagaan dan Undang-Undang Negara yang wujud pada hari ini adalah hasil daripada kompromi serta sejarah panjang di negara ini yang perlu dihayati serta dihormati. Malah, perpaduan yang dikecapi selama ini adalah hasil daripada persetujuan antara kaum yang mengangkat Perlembagaan Persekutuan sebagai dokumen tertinggi yang memandu Malaysia sejak tahun 1957. Oleh hal yang demikian, sebarang konvensyen antarabangsa yang mungkin bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara hendaklah ditolak atau harus dikaji dengan sedalam-dalamnya serta mengambil kira pandangan semua pihak, pemegang taruh dan rakyat.

Tindakan secara terburu-buru menandantangani International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination (ICERD) atau apa juga konvensyen antarabangsa yang mungkin bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dikhuatiri akan meruntuhkan asas pembinaan negara bangsa ini yang selama ini telah menjadi pasak dan tiang seri negara. Paling dikhuatiri adalah berlakunya ketidakstabilan dan ketidakharmonian di dalam masyarakat yang masih belum bersedia dengan perkara-perkara sebegini.

MBM juga menyokong pendapat bahawa tindakan meratifikasi ICERD yang mungkin membawa kepada usaha untuk meminda Perkara 153 juga pada masa hadapan hendaklah disembah maklum dan mendapat perkenan terlebih dahulu daripada Majlis Raja Raja Melayu. Ini memandangkan kesan ratifikasi ICERD sudah tentunya memberi kesan kepada kuasa Raja-Raja Melayu, serta mungkin bertentangan dengan Wasiat Raja Raja Melayu yang ditandatangani sekalian Raja Raja Melayu sebelum kemerdekaan Negara. Walaupun terdapat juga pandangan menyatakan bahawa ICERD tidak bertentangan dengan Perkara 153 bahkan mendokongnya (Perkara 1(4) dan 2(2) ICERD) namun ia wajar diperhalusi dan ditangani secara bijaksana kerana mungkin terdapat kesan tersembunyi dan kesan jangka panjang.

MBM menyokong penuh usaha kerajaan mengangkat isu hak asasi manusia sebagai antara perkara utama Malaysia Baharu ini, namun ia hendaklah bersesuaian dengan budaya, norma dan adat resam Bangsa Malaysia. MBM mengambil kesempatan ini juga menyokong penuh kenyataan YAB Perdana Menteri semasa membuat lawatan kerja di Bangkok bahawa Malaysia akan terus mempertahankan nilai dan adat resam Asia, dan mengambil nilai dari Barat hanya sekiranya ia tidak bertentangan dengan budaya resam di negara kita.

MBM juga bersedia pada bila bila masa sekiranya dipanggil untuk sama sama membantu kerajaan dalam rundingan ratifikasi konvensyen hak asasi manusia sepertimana yang dihasratkan oleh Kerajaan sebagai wakil belia dari seluruh Negara.

Sebagai sebuah Negara yang mendaulatkan Islam, Kerajaan harus bukan sahaja memelihara hak kaum majoriti bahkan wajib memelihara dan mempertahankan hak kaum-kaum lain dan minoriti daripada segi hak kewarganegaraan, kebebasan dan keadilan. Akhirnya, MBM menyeru agar Kerajaan, belia dan masyarakat umumnya menghormati hak setiap warga Malaysia dan tiada siapa yang ketinggalan, no one left behind.

 

 

Terima kasih.

 

JUFITRI BIN JOHA

Presiden

Majlis Belia Malaysia

 

Tarikh     :  29 Oktober 2018

Telefon   :  (017) 353 3625

Emel       :  jufitri1979@gmail.com               

 

 

About faizal shuhaimi

Leave a Reply

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino

Translate »