Home / Kenyataan Akhbar / Kenyataan Media MBM : Penjelasan Berkaitan Laporan Akhbar “MBM Sokong Mujahid” Berkaitan Laporan Tangkapan Isu Khalwat Dan Aktiviti Maksiat

Kenyataan Media MBM : Penjelasan Berkaitan Laporan Akhbar “MBM Sokong Mujahid” Berkaitan Laporan Tangkapan Isu Khalwat Dan Aktiviti Maksiat

KENYATAAN MEDIA MBM
6 OKTOBER 2018 / 27 MUHARRAM 1440 H

PENJELASAN BERKAITAN LAPORAN AKHBAR “MBM SOKONG MUJAHID” BERKAITAN LAPORAN TANGKAPAN ISU KHALWAT DAN AKTIVITI MAKSIAT.

Majlis Belia Malaysia (MBM) ingin menarik perhatian umum terhadap kenyataan laporan akhbar portal Berita Harian Online dan beberapa portal akhbar online yang lain bahawa “MBM Sokong Mujahid” berkaitan laporan tangkapan isu khalwat dan aktiviti maksiat. MBM dengan tegas menyebutkan bahawa tajuk laporan akhbar tersebut adalah amat tersasar sekali daripada apa yang dimaksudkan oleh MBM dan ia tidak menggambarkan maksud menyokong pendirian Menteri Agama tersebut. Justeru MBM ingin membuat sedikit penjelasan dan huraian ringkas untuk menjelaskan silap faham di pihak media tersebut ketika menemuramah Presiden MBM.

Di dalam agama, tanggungjawab menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran adalah pada amnya tanggungjawab bersama pihak Kerajaan dan masyarakat. Secara umumnya, sekiranya khalwat dan aktiviti maksiat berlaku di tempat-tempat awam yang terbuka maka menjadi tanggungjawab dan kewajipan pihak berkuasa dan masyarakat mengambil tindakan mencegahnya demi kebaikan dan keharmonian persekitaran.

Permasalahan yang timbul ialah apabila terdapat sangkaan bahawa berlakunya khalwat dan aktiviti maksiat tersebut dilakukan secara tertutup, tersembunyi dan di premis peribadi yang bersifat privacy maka tidak menjadi satu keperluan untuk mana-mana pihak cuba dengan sengaja melakukan tajassus atau intipan sekiranya tanpa sangkaan dan keyakinan yang kukuh ataupun terdapat aduan yang meyakinkan daripada pihak masyarakat sekitar. Sekiranya terdapat aduan dan laporan terhadap aktiviti khalwat dan maksiat di lokasi privacy tersebut oleh pihak masyarakat yang terganggu dengan aktiviti haram tersebut serta mendatangkan ketidakharmonian dan kerosakan maka adalah menjadi tanggungjawab dan kewajipan pihak berkuasa bertindak namun dengan adab dan standard operating procedure (SOP) yang telah digariskan oleh agama dan pihak Kerajaan serta tidak mendatangkan maksiat yang lain.

Dalam erti kata lain pihak masyarakat dan pihak berkuasa tidak boleh dengan secara sengaja melakukan tajassus atau intipan yang tidak berasaskan aduan dan premis-premis yang tidak dikenali sebagai tempat masyhur berlakunya khalwat dan maksiat.

Seperkara lagi, menurut cendekiawan Islam jika sesuatu tempat sama ada rumah, ruang privacy, hotel atau tempat-tempat tertentu yang memang terkenal dengan sering berlakunya aktiviti khalwat dan maksiat, maka menjadi tanggungjawab pihak berkuasa membuat serbuan dan tangkapan agar perkara tersebut dapat dibanteras sehingga ke akar umbi.

Pihak masyarakat juga amat digalakkan memainkan peranan untuk mencegah kemungkaran dengan membuat laporan terhadap aktiviti khalwat dan maksiat sekiranya mereka berasa benar-benar yakin berlaku perkara tersebut. Tindakan penguatkuasaan harus diserahkan kepada pihak berkuasa dengan mematuhi etika dan SOP.

Pihak belia dan masyarakat harus dididik untuk bersama-sama Kerajaan mencegah kemungkaran memandangkan terdapat banyak kes-kes khalwat, bersekedudukan dan maksiat berlaku di tempat-tempat yang diketahui umum oleh masyarakat setempat berlakunya perkara tersebut yang melibatkan pelajar dan masyarakat awam seperti di apartmen yang mempunyai pengawal keselamatan yang akhirnya mendatangkan kerosakan dan ketidakharmonian di dalam masyarakat.

Mengajak ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran adalah tanggungjawab kita bersama demi menjamin kesejahteraan dan kemakmuran Negara. MBM tidak rela lebih ramai belia dan masyarakat dirosakkan dengan aktiviti khalwat dan maksiat sedangkan MBM komited untuk melahirkan belia dan masyarakat beragama dan jauh daripada perlakuan mungkar. MBM juga tidak mahu belia dan masyarakat mencontohi sesetengah gaya hidup masyarakat Barat yang terlalu bebas dan parah tanpa sebarang panduan agama dan adat ketimuran serta terlalu mengagungkan hak kebebasan mutlak.

Pihak MBM menyokong dengan tegas dan mencadangkan agar para belia dan masyarakat membaca pendirian dan perbahasan yang baik tentang isu kontroversi ini yang diperjelaskan dengan jelasnya oleh Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan dalam Bayan Linnas Siri 41 di pautan http://www.muftiwp.gov.my/…/1823-bayan-linnas-siri-41-g25-d… . Maksud pendirian Presiden MBM tentang isu ini adalah selaras dengan penjelasan Sahibus Samahah Mufti Wilayah di dalam pautan tersebut.

Jufitri Joha
Presiden
Majlis Belia Malaysia

 

 

About faizal shuhaimi

Leave a Reply

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino

Translate »