Home / Artikel / Artikel : Nafas Baharu Pergerakan Belia

Artikel : Nafas Baharu Pergerakan Belia

ARTIKEL 

MOHAMMAD RIZAN BIN HASSAN

KETUA PENERANGAN MAJLIS BELIA MALAYSIA

 

NAFAS BAHARU PERGERAKAN BELIA

 

MESYUARAT Perhimpunan Agung Tahunan Majlis Belia Malaysia (MBM) kali ke-67 pada 5 Oktober nanti bakal menyaksikan perubahan besar tampuk kepimpinan Majlis Belia Malaysia (MBM). Pergerakan belia sekarang sedang mengalami satu perubahan dari ketika penubuhan-penubuhan persatuan kepada satu zaman yang lebih dewasa, zaman yang memerlukan golongan belia mengubah cara berfikir dan bekerja. Seperti yang pernah dinyatakan golongan belia kini adalah merupakan golongan yang melihat persoalan negara bukan dari kegigihan pejuang-pejuang  tatkala menentang penjajahan, tetapi dari segi pengertian serta pengisian kepada kemerdekaan. Ini difahamkan sebagai satu sikap yang lebih positif melihatkan kepada kejayaan dan  kegagalan negara, dan bukannya sekadar melafazkan retorik atau mengagumi kejayaan lampau semata-mata.

Oleh yang demikian, golongan belia adalah golongan yang akan menentukan corak dan perkembangan sesebuah negara, bukan sahaja kerana jumlah para belia yang merupakan majoriti penduduk, tetapi lebih-lebih lagi kerana golongan inilah yang mempunyai kesanggupan dan daya usaha serta idealisme yang amat diperlukan terutamanya dalam pembentukan sesebuah negara yang sedang membangun. Sekali lagi ternyata bahawa ukuran belia itu terletak pada asasnya iaitu idealisme, semangat dan keberanian untuk menegakkan kebenaran, keadilan dan perjuangan murni mereka.

Selanjutnya, satu hakikat nyata ialah pertubuhan-pertubuhan belia adalah tergolong sebagai unit-unit pertubuhan sukarela yang terpenting di negara. Pergerakan sukarela itu bukan sahaja amat diperlukan, bahkan menjadi satu syarat untuk menentukan suksesnya sistem demokrasi yang di amalkan di sesebuah negara. Sistem feudal telah membekukan pemikiran dan pergerakan masyarakat, tetapi kemerdekaan negara bukan sahaja beerti kebebasan dari kongkongan penjajahan tetapi juga kebebasan dari kongkongan feudalisme.

Oleh itu, berbeza dari keadaan dahulu, pergerakan sukarela  diperlukan sebagai tenaga utama bagi mendapatkan perubahan dalam masyarakat. Dalam senarai gerakan sukarela, pertubuhan-pertubuhan pelajar dan belia telah membuktikan kesanggupan untuk bertindak sebagai pengkritik  sosial serta agen perubahan yang paling efektif.

Tetapi dalam merakamkan perasaan tanggungjawab serta idealisme ini, perlu diberikan pentakrifan semula kepada istilah serta konsep yang digunakan supaya bersesuaian dengan iklim Malaysia; serta konsisten dengan keperibadian kebangsaan kita. Demokrasi bukan beerti “Westminster type of democracy”. Dalam keadaan yang sama, istilah dan konsep moden, pembangunan, sains dan teknologi, perancangan keluarga perlu diinterpretasikan semula agar tidaklah bertindak sebagai burung kakak tua yang sentiasa mengulangi sebutan orang lain (parroting the words of others),

Ada kemungkinan timbulnya pemimpin-pemimpin yang bersikap sedemikian dikalangan belia, kerana nyata sekali penyakit di kalangan pemimpin-pemimpin di negara-negara membangun, hinggakan di kalangan mereka yang paling anti-kolonial dan anti-imperialis sering mengikuti hampir seluruh sistem dan corak pemerinthgan negara-negara tersebut.

Oleh kerana masalah ini adalah asas, maka kejayaan pada belia untuk menimbulkan satu generasi baru bebas dari kongkongan feudalisme, fanatik kebaratan dan faham meterialisme pada hematnya satu kemenangan mutlak. Ini ditegaskan sebegitu rupa kerana generasi baru yang di hasilkan itu adalah dari kalangan yang sedar, mempunyai tekad untuk mencapai kejayaan tetapi masih dapat mengawal peribadi supaya dapat mengimbangi pembangunan spiritual dan material tanpa mengenepikan nilai-nilai moral dan etika.

Di atas kesedaran inilah maka Majlis Belia Malaysia (MBM) sebagai badan induk pertubuhan belia di Malaysia telah bertindak mengorak langkah untuk menyusun jentera pentadbiran dan organisasi sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Langkah pertama yang diusahakan ialah dengan mewujudkan pelan strategik dikenalli “MBM in Business (MiB)” dalam memperkasakan belia melalui kesukarelaan, kepimpinan dan keusahawanan. Keduanya ialah meletakkan pertubuhan belia merentasi kementerian dan tidak hanya berpaksikan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) semata-mata; dan ketiga yang memberi pengertian besar sekali ialah agar MBM ini merupakan satu pertubuhan belia yang benar-benar representatif mewakili hasrat dan perjuangan majoriti belia.

Pihak kerajaan khususnya melalui KBS telah memberikan bantuan kepada MBM sejak mula lagi. Bantuan ini telah ditambahkan selaras dengan perkembangan MBM dan peningkatan aktiviti-aktivitinya. Sokongan kerajaan tanpa syarat kepada MBM seharusnya di tambah setelah melihat sendiri pelbagai kisah kejayaan dan insiatif dalam membela nasib belia dan masa depan belia. Begitu juga dengan kedudukan semua badan gabungan MBM yang menghadapi kesukaran melaksanakan program tanpa sokongan dan bantuan kewangan yang tetap dari Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan lain-lain kementerian termasuk kerajaan negeri masing-masing. Tuntutan ini di pihak belia semestinya selaras dengan jaminan serta pengiktirafan kerajaan kepada belia-belia sendiri.

Pemilihan pucuk pimpinan MBM nanti akan menyaksikan seluruh penyusunan semula jentera pentadbiran dan organisasi MBM adalah dengan tujuan agar MBM benar-benar mewakili hasrat, aspirasi dan perjuangan majoriti para belia. Maka, dalam mengemukakan soal inilah ditentukan ukuran kejayaan perjuangan MBM. Dari sinilah akan dapat dilihat kekuatan serta keutuhan tenaga belia. Oleh yang demikian, seluruh badan gabungan MBM melalui gerakan masing-masing perlu merancang kaedah latihan dan pengkaderan  mereka dan mestilah mengemukakan  soal pokok tersebut agar di perbincangkan sepenuhnya.

Suara majoriti belia beerti juga mengemukakan pandangan serta cadangan pelbagai kumpulan sasar belia yang berdepan cabaran politik, ekonomi, sosial dan teknologi. Juga, perlu dikemukakan segala bentuk ketidakadilan sosial dalam masyarakat, agar dapat dihapuskan segala bentuk penindasan dan diskriminasi samada yang dirasai oleh belia atau masyarakat seluruhnya. Suara yang sedemkian mungkin menimbulkan reaksi daripada pihak-pihak yang berkenaan yang sensitive atau golongan-golongan berkepentingan peribadi yang sentiasa merupakan golongan yang akan menghalang kemajuan masyarakat.

Sebab itulah, demi kepentingan negara, pemimpin-pemimpin negara  perlu bersikap toleran terhadap kritikan dari para belia. Mereka ini perlu menggunakan hak mereka sebagai pemimpin masa hadapan, satu hakikat yang di akui sendiri pemimpin-pemimin negara. Pengabaian serrta kecuaian, kekerasan tanpa semangat tolak ansur hanya mencetuskan kekerasan dan kemarahan anak muda.

Pemimpin belia harus lahir di tengah-tengah masalah masyarakat. Penekanan terhadap isu-isu belia seperti pengangguran dan pekerjaan, perumahan, pendidikan dan latihan serta peranan belia bagi menjayakan apa saja dasar kerajaan adalah wajar di lakukan.

Tetai perlulah ditegaskan bahawa penekanan terhadap peranan belia ini tidak sekali-kali menampakkan kecuaian para belia, bahkan menampakkan kesungguhan belia-belia menyuarakan idea, pandangan dan kritikan, serta mengambil kangkah positif dalam pelbagai kegiatan kebajikan dan ekonomi. Apa yang diperlukan sekarang ialah satu ketentuan serta jaminan dan tindakanyang tegas daripada pihak kerajaan bagi membantu serta menjayakan  inisiatif yang diusahakan itu.

Kita perlu yakin bahawa sudah terdapat kesedaran di kalangan belia sekarang, nafas baru yang terdapat sekarang menuntut kesanggupan belia bersuara dan bertindak. Kini, yang diperlukan di kalangan belia ialah nafas baru ini terus dipertingkatkan bersama.

 

MENGGERAK BELIA MALAYSIA

7 DEKAD MBM

About faizal shuhaimi

Leave a Reply

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino

Translate »