Home / Berita / Kenyataan Media : MBM Membantah Dakwaan Dan Menggesa Permohonan Maaf YB Menteri Belia Terhadap Kenyataan MBM Sebagai “Macai Politik”

Kenyataan Media : MBM Membantah Dakwaan Dan Menggesa Permohonan Maaf YB Menteri Belia Terhadap Kenyataan MBM Sebagai “Macai Politik”

KENYATAAN MEDIA
MBM MEMBANTAH DAKWAAN DAN MENGGESA PERMOHONAN MAAF YB
MENTERI BELIA TERHADAP KENYATAAN MBM SEBAGAI “MACAI POLITIK’

MBM memandang berat kenyataan Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam sesi Dewan Rakyat pada 2 Ogos 2018 (Khamis) yang menyatakan MBM dan beberapa pertubuhan belia lain adalah ‘macai politik’.

Istilah ‘macai politik’ tidak ada di dalam dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka. Namun dalam bahasa pasar orang Cina ‘Ma’ bermaksud kuda, ‘cai’ bermaksud si kecil, si muda atau binatang yang muda, ia mempunyai konotasi yang negatif terhadap pelaku sebagai ‘budak yang diperkudakan’ atau lebih tepat orang suruhan politik. Adalah tidak wajar perkataan tersebut diucapkan di dalam Dewan yang mulia tanpa memberi pengertian yang jelas kerana ia mengundang persepsi yang negatif.

Pihak MBM ingin memohon pihak YB Menteri menjelaskan tentang maksud sebenar ‘macai politik’ dan memohon mengemukakan bukti jelas badan gabungan MBM yang ditarik balik bantuan kerana mengkritik Kerajaan.

Dengan penuh kesedaran MBM dengan ini membuat bantahan sekeras-kerasnya atas kenyataan yang di buat oleh YB Menteri atas faktor berikut :

MBM berpandangan YB Menteri tersilap dan terburu-buru melempar sangkaan terhadap MBM dan pertubuhan belia sebagai ‘macai politik’. Realitinya pertubuhan belia di negara ini bukanlah didaftarkan sebagai sayap parti politik dan bukanlah hanya dianggotai oleh belia-belia yang terlibat dalam parti politik sahaja.

MBM ingin menegaskan ada juga pimpinan dan ahli yang tidak menyertai manamana parti politik malah tidak berminat menyertai parti politik tetapi mereka bersama di dalam MBM dan persatuan belia yang rasmi ini sebagai wadah dan wahana meningkatkan potensi diri dan berbakti kepada masyarakat selagi usia belia.

MBM ditubuhkan dan didaftarkan bukanlah sebagai sayap politik mana-mana parti atau individu tertentu. Malah kewujudan MBM pada tahun 1948 mendahului sebahagian besar parti-parti politik yang ditubuhkan di Malaysia hatta Kementerian Belia Dan Sukan sendiri. Sejarah kewujudan MBM sebelum Tanah Melayu dan Malaysia mencapai kemerdekaan banyak menyumbang kepada semangat anak muda untuk mencapai kemerdekaan dan mengisi kemerdekaan tersebut.

MBM sebagai badan induk pertubuhan belia dan mewakili suara belia dalam negara sentiasa menyatakan pandangan dan kritikan membina dan bertanggungjawab dalam hal ehwal yang melibatkan belia dan pertubuhan belia, namun yang berbeza adalah pendekatan MBM dalam menangani sesuatu isu dengan cara dan kaedah yang dirasakan sesuai pada masa-masa tertentu.

Sebagaimana MBM bertindak sebagai ‘Rakan Pembangunan’ yang dilihat mesra bersama kerajaan begitu jugalah MBM mengkritik dalam medium dan saluran rasmi hatta pernah ‘turun ke jalanan’ menentang dasar dan polisi kerajaan yang tidak memihak kepada rakyat. Kuasa pendesak belia terkuat bukan hanya dilihat bila turun berdemonstrasi tetapi juga idea dan pandangan belia disuarakan membuka mata pelbagai pihak.

Sekalipun terdapat ahli dan pimpinan MBM mahu pun badan gabungannya yang terlibat aktif dengan parti politik sama ada di peringkat kerajaan sekarang (Pakatan Harapan) mahupun pembangkang, bukanlah bermakna bahawa keseluruhan persatuan belia tersebut adalah ‘macai politik’ parti tertentu.

Malahan MBM menjadi medium terbaik menyatukan pandangan dan fahaman politik yang pelbagai ini demi kepentingan belia dan pergerakan belia seluruhnya dan tidak menghalang MBM untuk bergerak dan menyatakan apa yang benar dan perlu selagi mana ia adalah perjuangan untuk para belia dan pertubuhan belia MBM akan menyuarakannya kepada kerajaan.

Adalah tidak wajar hanya segelintir pimpinan belia yang terlibat maka label ‘macai politik’ diletakkan kepada pertubuhan belia. MBM meraikan pendirian politik masing-masing dan berusaha mewujudkan budaya politik matang dan bertanggungjawab dalam kalangan belia. Hal ini seiringan dengan domain sosialisasi politik yang dilaporkan di dalam dapatan Institut Penyelidikan dan Pembangunan Belia Malaysia antara yang terendah dalam Indeks Belia Malaysia yang dikeluarkan oleh Kementerian sendiri.

MBM mengambil pendekatan berlapang dada dan meraikan kepelbagaian selaras dengan hak asasi yang dijamin oleh Perlembagaan Malaysia terhadap kegiatan ahli (badan gabungan) mahupun individu yg terlibat dengan parti politik. Malah inilah juga asas dan dasar yang YB Menteri sebutkan di Dewan Rakyat malah sebahagian daripada manifesto Pakatan Harapan.

MBM juga berpandangan selayaknya YB Menteri memberi gesaan kepada pertubuhan belia untuk meraikan perbezaan fikrah politik dan ideologi politik. Malah mereka harus duduk bersama bagi membincangkan agenda demi kepentingan pembangunan belia di Malaysia.

Sehubungan itu MBM menggesa agar YB Menteri memohon maaf dan menarik balik kenyataan tersebut serta tidak akan mengulangi kesilapan ini.

MBM memahami dan bersedia bersama aspirasi YB Menteri agar persatuan belia menjadi kuasa pendesak belia terkuat kerajaan demi untuk menjadi pengimbang kepada kerajaan demi masa depan Malaysia.

Sekian. Terima kasih.

 

 

HAJI MUA’AMAR GHADAFI JAMAL DATUK WIRA JAMALUDIN

Presiden

Majlis Belia Malaysia

 

Tarikh : 2 Ogos 2018

Tel : 013-530 9077

Emel : ghadaficajmaju@gmail.com

About faizal shuhaimi

Leave a Reply

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino

Translate »