Home / Artikel / Menjuarai Agenda Sosial Belia – Jufitri Joha

Menjuarai Agenda Sosial Belia – Jufitri Joha

Menjuarai Agenda Sosial Belia

Oleh: Jufitri Joha Naib Presiden MBM

Saya ingin menarik perhatian semua tentang saranan dan lobi Menteri Belia dan Sukan Y.B. Khairy Jamaluddin agar Kerajaan memberikan penekanan dan peruntukkan yang signifikan kepada sektor berkaitan sosial dalan Belanjawan 2018 yang lepas. Tanpa menafikan keperluan menangani kos sara hidup dan persoalan ekonomi yang lain, agenda sosial juga merupakan sebahagian daripada usaha bagi mengurangkan beban perbelanjaan Kerajaan terhadap permasalahan sosial yang timbul.

Sebahagian contoh yang mudah Kerajaan terpaksa membelanjakan sejumlah peruntukkan untuk membiayai kos operasi 27 penjara yang menempatkan ribuan banduan yang perlu diuruskan saban hari. Agenda sosial adalah jawapan kepada permasalahan ini. Namun begitu sudah tentu Kerajaan harus mengeluarkan sejumlah perbelanjaan atau melabur dalam agenda sosial ini bagi menjimatkan lebih jutaan duit rakyat yang terpaksa dihanguskan untuk menangani permasalahan sosial yang sudah di peringkat kronik.

Jika agenda sosial sebagai contoh lain untuk menangani gejala vandalisme atau pemusnahan harta awam diberikan perhatian dan peruntukkan sewajarnya, maka saya yakin Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan berjaya menjimatkan jutaan ringgit bagi peruntukkan untuk membaiki harta awam yang dirosakkan. Itu merupak contoh ringkas bagi membuka minda kita semua bahawa dengan pelaburan yang signifikan di dalam agenda sosial Negara, maka akan dapat menyelamatkan jutaan ringgit wang Kerajaan. Agenda sosial sudah tentu akan mendokong secara padu dan beriringan dengan agenda ekonomi dan politik Negara.

Hasil lobi dan advokasi yang dilakukan termasuk oleh pertubuhan masyarakat madani, Kerajaan melalui Belanjawan 2018 telah memperuntukkan geran sepadan sebanyak 50 juta ringgit bagi membiayai social enterprise dan pertubuhan masyarakat madani (NGO) bagi menangani barah gejala sosial dan permasalahan kemasyarakat harian secara inovatif. Klausa peruntukkan ini disebut di dalam Petunjang Kedua: Menuju Aspirasi TN 50 Dokumen Belanjawan 2018 sebagai manifestasi bagi mewujudkan masyarakat Malaysia yang bebas permasalahan sosial pada masa hadapan. Usaha pembangunan, pencegahan dan intervensi wajar dilakukan sebagai usaha bersepadu wajar dilakukan sekarang di kalangan belia kerana mereka adalah kelompok penduduk Malaysia yang bakal mewarisi dan memimpin tampuk kepimpinan Negara.

Persoalan yang dinantikan oleh NGO seperti Federasi Kebangsaan Pekerja Belia (FKPB) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) ialah tempat dan mekanisme penyaluran peruntukkan tersebut akan dapat dimanfaatkan secepat mungkin bagi tujuan menjayakan agenda sosial belia ini.

Namun sifat utama aktivis NGO tidak menunggu sehingga peruntukkan turun baru agenda ini akan digerakkan, FKPB dan MBM melalui Sekretariat 1 Belia 1 Kemahiran (1B1K) yang dipimpin oleh penulis sendiri telah menyahut dan menggalas cabaran menjayakan agenda sosial belia melalui projek yang dinamakan Smartech-Ri4. Itulah falsafah perjuangan dan sifat aktivis NGO, gerak dahulu, duit kemudian. Umum mengetahui setiap perjuangan menuntut kepayahan dan pengorbanan, pastinya setiap kepayahan disertai dengan kemudahan, bantuan kewangan pastinya akan datang selepas usaha yang gigih.

Smartech-Ri4 merupakan agenda sosial belia bagi menangani isu pengangguran dan pembuangan kerja di kalangan belia. Belia yang menganggur dan dibuang kerja berisiko untuk jatuh ke lembah jenayah dan gejala sosial jika tidak ditangani dengan betul. Kadar pengangguran di Malaysia pada tahun 2016 menurut Jabatan Perangkaan adalah sekitar 3.4% dan keadaan ekonomi yang mencabar pada hari ini dipercayai bilangan yang dibuang kerja bertambah. Seorang sahabat penulis yang masih muda belia telah dibuang kerja atas faktor ekonomi dan terpaksa menyara diri dengan membawa Uber. Tujuan Kerajaan membenarkan Uber operasi di Malaysia secara sah seperti yang dizahirkan dalam belanjawan 2017 adalah bagi menangani pengangguran di kalangan rakyat Malaysia khususnya para belia.  Belia berisiko merupakan salah satu daripada 8 kelompok belia yang wajar ditangani oleh pihak pemegang taruh pembangunan belia negara seperti FKPB dan MBM. Smartech-Ri4 seumpama projek killing two birds with one stone di mana ia menangani agenda sosial dan ekonomi sekaligus.

Smartech-Ri4 yang dilancarkan FKPB dan MBM awal Januari 2019 yang lalu adalah merupakan projek perintis mengambil dan melatih para belia untuk diserapkan dalam industri pembuatan yang amat memerlukan tenaga kerja muda yang terlatih dan komited. Industri di seluruh Malaysia berhadapan dengan kekurangan pekerja yang terlatih dan komited khususnya di kalangan rakyat tempatan. Majikan di industri juga berhadapan dengan pekerja tempatan yang mempunyai masalah sikap sehingga agar sukar untuk kekal lama di sesebuah industri atau kilang. Majikan lantas terpaksa mengambil pekerja asing bagi menangani permasalahan ini namun lambakan pekerja asing akan mendatangkan kesan masalah sosial kepada Negara. Kerajaan terpaksa mencadangkan kenaikan levi pekerja asing bagi menangani rungutan rakyat Malaysia terhadap lambakan pekerja asing. Keputusan ini sudah tentu memeningkan kepada majikan yang berhadapan dengan pelbagai dilemma sedangkan hidup dan pengeluaran mesti diteruskan.

Dalam masa yang sama timbul isu dan persepsi bahawa belia Malaysia dikatakan tidak berminat menceburi sektor pekerjaan 3D (difficult, dangerous & dirty) seperti sektor perkilangan, pembersihan dan pembinaan sedangkan ribuan rakyat Malaysia menyeberangi Tambak Johor untuk bekerja di sektor 3D di Singapura. MBM pernah seketika mengadakan sidang meja bulat bagi mencari jawapan kepada permasalahan dan di akhir sidang dibuat kesimpulan bahawa belia Malaysia sebenarnya bukannya malas terlibat dalam sektor pekerjaan 3D namun masalahnya adalah gaji yang rendah. Penjenamaan terhadap sektor pekerjaan 3D harus difikirkan bagi memberikan imej profesional dan kemuliaan terhadap sektor yang penting untuk masa depan negara ini. Sebagai kemungkinan contoh individu yang bekerja di sektor pembersihan, pekerjaan mereka dijenamakan semula menjadi jurutera pembersihan atau seumpamanya dan dinaikkan tangga gaji. Kajian polling yang dilakukan oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) pada 2016  berkenaan reaksi dan kesediaan belia terhadap pekerjaan 3D mendapati faktor gaji merupakan faktor tertinggi dalam pemilihan kerjaya dalam sektor 3D.

Smartech-Ri4 tampil untuk menangani persoalan ini dengan menawarkan latihan kemahiran secara percuma dan terus ditawarkan penempatan pekerjaan. Ia adalah kolaborasi padu dengan pihak majikan dan industri yang tampil berperanan memberikan latihan kepada peserta yang dipanggil perantis. Ia ditawarkan secara percuma kepada belia berumur 18 sehingga 40 tahun yang berminat dengan industri pembuatan seperti automatif. Keunikan Smartech-Ri4 ialah ia adalah percuma, tidak perlu berhutang pinjaman pendidikan & kemahiran, bebas hutang, jaminan pekerjaan, mendapat bimbingan daripada pakar industri dan tidak berdepan dengan masalah ketidaksepadanan latihan antara institusi latihan dengan majikan kerana latihan ditempatkan terus di industri. Banyak kelebihan-kelebihan lain namun ia bersifat kecil-kecilan tetapi di mata belia yang tidak berkemampuan ia adalah amat besar dan bermakna seperti kemudahan asrama percuma  dan elauan minima RM 450.00 semasa latihan industri.

Perantis atau pelatih Smartech-Ri4 akan dilatih selama 9 bulan sebelum mendapat tawaran kerja dan gaji tetap selepas tamat latihan. Smartech-Ri4 juga mensyaratkan pihak majikan dan industri memberikan gaji minimum RM 1500.00 bagi memberikan keselesaan menyara kehidupan apabila mereka bekerja secara tetap. Namun uniknya Smartech-Ri4 akan memberika latihan kemahiran insaniah selama sebulan sebelum mereka memulakan di latihan industri yang dikendalikan oleh grup Program Kemahiran Insaniah MBM – FKPB (PROKENS) bagi melengkapkan kemahiran insaniah yang amat penting dalam membentuk cara berfikir, sikap dan kepimpinan pelatih tersebut. Kebanyakkan pihak majikan dan industri bersetuju kemahiran insaniah merupakan komponen terpenting dalam sesebuah latih yang menatijahkan melahirkan pekerja yang baik dan berdisiplin. Sepanjang sebulan, mereka akan dilatih dengan 6 aspek utama merangkumi kepimpinan, komunikasi, kemanusiaan,  kerja berpasukan, etika kerja dan kerohanian. Latihan kemahiran insaniah juga membentuk pandangan sarwa dan nilai pelatih agar melihat pendidikan adalah bertujuan memanusiakan manusia dan berkerja adalah bukan sekadar untuk kepentingan sara hidup diri tetapi yang lebih besar adalah menyumbang kepada agama, bangsa dan masa hadapan Negara. Untuk menjadi maju, Malaysia memerlukan 50% tenaga kerja dalam bidang kemahiran atau TVET menjelang 2020 sebagaimana Jerman dan mereka mempunyai sumbangan yang besar dalam menjayakan agenda besar Negara ini untuk menjadi kuasa besar dunia Islam.

PROKENS turut mengambil kira keperluan industri dalam latihan kemahiran insaniah yang dapat dirumuskan bahawa pihak majikan dan industri mahukan pekerja yang mempunyai 4C iaitu, kreativiti (creativity), pemikiran kritis & penyelesaian masalah (criticial thinking & problem solving), kerjasama (collaboration) dan komunikasi (communication) selaras dengan apa yang digariskan oleh World Economic Forum (WEF). Keperluan semasa ini diambil kira dan ditambah baik dalam modul PROKENS yang sedia ada bagi memastikan kualiti pelatih yang dilahirkan. Latihan kemahiran insaniah juga mengambil kira aspek menanamkan keseimbangan kerja dan kehidupan (work-life balance) bagi melahirkan pelatih yang seimbang daripada segi jasmani, emosi, intelek dan rohani di samping mereka tidak lupa untuk menyumbang kepada kerja-kerja kemasyarakatan. MBM dan FKPB memasang harapan agar para pelatih dapat dihimpunkan dalam satu platform pergerakan belia bagi menggalakkan keseimbangan antara kerja dan kehidupan dengan cadangan penubuhan Majlis Belia TVET Malaysia. Paltform pergerakan belia seumpama ini mampu menghimpunkan belia dalam industri latihan kemahiran bagi menggalakkan mereka menyumbang dalam kerja belia dan kemasyarakatan di samping menjadi seumpama kesatuan sekerja yang membela nasib dan kebajikan mereka.

Smartech-Ri4 adalah bersifat keusahawanan sosial bagi membantu belia yang tidak berkemampuan untuk menyambung pelajaran. Walaupun keseluruhan latihan adalah percuma, namun pelatih dikenakan bayaran permulaan RM 1000 untuk tujuan kos pengurusan dan pentadbiran awal. Justeru FKPB dan MBM berusaha membantu menangani permasalahan ini dengan cuba mendapatkan bantuan awal daripada pusat zakat dan institusi-institusi yang berminat menaja bagi memudahkan para belia ini untuk meneruskan latihan kemahiran tanpa bimbang dengan masalah kewangan.

Inilah sebahagian sumbangan FKPB dan MBM sebagai pekerja belia dan pemimpin belia bagi menjayakan agenda sosial belia yang amat penting demi memastikan masa depan Negara yang lebih gemilang. Para pelatih Smartech-Ri4 yang tamat latihan dan sedang bekerja akan diberikan sijil tamat latihan oleh pihak majikan dan industri dan juga amat digalakkan digalakkan untuk meneruskan proses pembelajaran sepanjang hayat bagi meningkatkan ilmu dan kemahiran dengan menyambung pelajaran ke peringkat seterusnya kerana ilmu itu adalah luas bukan hanya semata-mata untuk sekadar mendapatkan pekerjaan.

Smartech-Ri4 berusaha menangani dan mempersiapkan generasi belia Malaysia berhadapan dengan ledakan industri 4.0 yang sedang mendominasi industri pada ketika ini. Industri 4.0 menurut Klaus Schwab dalam bukunya The Fourth Industrial Revolution adalah “…a much more ubiquitous and mobile internet, by smaller and more powerful sensors that have become cheaper and by artificial intelligence and machine learning”. Secara ringkasnya tenaga buruh di kalangan belia harus dipersiapkan dengan teknologi digitial, pengkomputeran dan kepintaran buatan (AI) yang lebih sofistikated. Ini merupakan cabaran yang amat besar memandangkan wacana industri 4.0 di Malaysia agak lambat diperbincangkan.

Secara ringkasnya, projek Smartech-Ri4 cuba menangani pelbagai isu dan permasalahan belia merangkumi isu pengangguran, sosial, ekonomi, kebanjiran pekerja asing, kemiskinan, pembelajaran sepanjang hayat dan yang paling penting adalah melahirkan belia yang seimbang dunia dan akhirat. Pengambilan dan latihan sedang giat dijalankan dan boleh sertai kami di www.smartechri4.my.

 

About faizal shuhaimi

Leave a Reply

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino