Home / Kenyataan Akhbar / Siaran Media – Isu TVET : Jangan Bunuh Bakat Belia Berkemahiran

Siaran Media – Isu TVET : Jangan Bunuh Bakat Belia Berkemahiran

SIARAN MEDIA

ISU TVET: JANGAN BUNUH BAKAT BELIA BERKEMAHIRAN

Saya ingin memberi respon kepada laporan akhbar baru-baru ini berhubung isu pendidikan teknikal dan vokasional (TVET).

Isu urus tadbir dan sistem penyampaian pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) di Malaysia masih tidak selaras. Ini suatu kenyataan pahit yang pihak kerajaan kena akui kerana yang menjadi mangsa akhirnya ialah golongan belia yang memilih TVET sebagai haluan masa depan hidup mereka.

Kesungguhan kerajaan memperkasakan TVET dalam menjayakan Transformasi Nasional 2050 (TN50) memang terbukti dengan peruntukan RM4.9 bilion melalui Kementerian Sumber Manusia seperti diumumkan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2018 tahun lalu. Namun hakikatnya, dari segi pelaksanaan amatlah mengecewakan bahkan semakin berliku seolah-olah tiada jalan penyelesaiannya.

Ketika ini tadbir urus TVET terletak di bawah bidang kuasa dua agensi, iaitu Malaysian Qualification Agency (MQA) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK). MQA di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) mengakreditasi program di bawah sektor vokasional dan teknikal yang ditawarkan oleh institusi seperti Politeknik, Kolej Komuniti dan institusi pendidikan dan latihan di bawah MARA. JPK di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengakreditasi program latihan kemahiran yang ditawarkan oleh institusi seperti Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN). Pelaksanaan akreditasi program TVET oleh dua (2) agensi yang berbeza, menimbulkan keraguan pihak industri dan masyarakat awam berhubung kualiti program serta sistem persijilan. Di samping itu, mobiliti pelajar bagi menyambung pendidikan TVET di institusi di bawah sistem akreditasi yang berbeza adalah terhad.

Saya juga melihat permasalahan utama TVET ialah sistem pengurusan dan penyampaian TVET adalah tidak bersepadu kerana dilaksanakan oleh pelbagai agensi kerajaan, universiti, pusat pembangunan kemahiran negeri, dan institusi swasta. Terdapat lebih kurang 500 institusi latihan di bawah tujuh (7) kementerian, iaitu Kementerian Sumber Manusia (KSM), Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MoA), Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Pertahanan (MINDEF). Semua institusi ini menawarkan program yang sama sejak penubuhannya dan tiada pengkhususan. Selain institusi awam, terdapat juga hampir 900 institusi TVET swasta yang berdaftar dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan 12 pusat pembangunan kemahiran negeri menawarkan program dengan pelbagai kualiti dan standard. Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang terdiri daripada empat universiti awam, iaitu Universiti Malaysia Perlis, Universiti Malaysia Pahang, Universiti Teknikal Melaka dan Universiti Tun Hussein Onn pula menawarkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda dalam TVET. Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan German-Malaysia Institute (GMi) pula merupakan institusi swasta yang menawarkan pendidikan tinggi TVET.

Senario semasa di atas akhirnya menyebabkan persaingan yang tidak sihat di kalangan pengendali TVET. Persaingan ingin menjadi jagoan TVET menyebabkan berlaku pembaziran dari segi kewangan yang sepatutnya boleh digunakan kepada memberi peluang menyeluruh kepada golongan belia mendapatkan peluang latihan TVET samada di institusi awam mahupun swasta.

Isu pengiktirafan, pembiayaan pinjaman latihan dan peluang latihan sepatutnya sudah lama selesai. Sejak tahun 2000 hingga kini, lagu yang sama berulang pada setiap tahun dan kesannya ialah masyarakat khususnya golongan belia tidak begitu yakin TVET adalah pilihan terbaik untuk mereka. Lebih parah, para guru di sekolah tidak yakin yang latihan TVET boleh membantu mereka menangani isu sosial pelajar sekolah. Memburukkan pula ialah sektor industri akan terus melihat lulusan TVET sebagai kelas kedua dan tidak akan memberi pendapatan yang tinggi.

Dalam hal ini, sudah tiba masanya urus tadbir dan sistem penyampaian TVET di kendalikan di bawah satu kementerian sahaja. Dengan cara ini, negara akan benar-benar fokus dan terarah kepada sebuah negara yang menjadikan TVET sebagai pilihan utama untuk pendidikan dan kerjaya. Dengan cara ini, keyakinan industri terhadap pembangunan modal insan berkemahiran akan meningkat dan pastinya pelaburan industri akan bertambah.

Sekian, terima kasih.

 

 

MOHAMMAD RIZAN BIN HASSAN

Ketua Penerangan Majlis Belia Malaysia /

Ketua Sekretariat 1Belia 1Kemahiran

Majlis Belia Malaysia

Tarikh : 20 Januari 2018

Telefon : 013-7733676

E-mel : mdrizanhassan@gmail.com

About faizal shuhaimi

Leave a Reply

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino

Translate »