Home / Artikel / Memperkukuh Jaringan Kerja Belia Antarabangsa

Memperkukuh Jaringan Kerja Belia Antarabangsa

Kampala ibu Negara Uganda menjadi saksi tuan rumah kepada 9th Commonwealth Youth Ministers Meeting yang berlangsung di Munyonyo Commonwealth Resort Conference Centre bermula 31 Julai 2017 sehingga 4 Ogos 2017. Sebagaimana persidangan-persidangan antarabangsa yang lain seperti Sidang Kemuncak ASEAN, kebiasaannya pemegang-pemegang taruh di kalangan ahli akademik, pengkaji, pegawai kerajaan, belia dan aktivis akan mengambil tempat terlebih dahulu berbincang dan berdebat berkenaan topik berkaitan.

Tema mesyuarat pada tahun berlatarkan Resourcing and Financing Youth Development: Empowering Young People telah diangkat dan dibahas oleh perwakilan masyarakat sivil di dua persidangan awal sebelum Mesyuarat Menteri-Menteri Belia Komanwel iaitu Commonwealth Youth Forum dan Commonwealth Youth Stakeholder Forum. Malaysia bertuah kerana memegang jawatan Pengerusi Majlis Belia Komanwel (CYC) yang disandang Kishva Ambigapathy melengkapkan formulasi kepimpinan belia Malaysia di platform belia antarabangsa seperti World Assembly of Youth (WAY), Asian Youth Council (AYC) dan The Committtee of Asean Youth Cooperation (CAYC). Belia Malaysia wajar meneruskan tradisi kecemerlangan kepimpinan belia ini di pelbagai lagi platform melibatkan belia antarabangsa.

Seorang perwakilan belia Malaysia iaitu Selvaakumaran Subramanian, Ahli Parlimen Belia Malaysia telah menyertai Commonwealth Youth Forum manakala saya telah menyertai Commonwealth Youth Stakeholder Forum. Youth Forum kali ini melibatkan penglibatan sektor swasta seperti Standard Charted Bank bagi membincangkan peranan sektor swasta dalam mendokong pendanaan program dan projek yang dipelopori oleh belia. Stakeholder Forum pula turut membincangkan tema yang sama cuma uniknya kali ini perbincangan tentang kerja belia profesional turut diketengahkan dengan peluncuran Commonwealth Alliance of Youth Workers’ Associations (CAYWA). Penubuhan CAYWA adalah bagi menggabungkan kesemua pertubuhan pekerja belia di Negara-Negara Komanwel sekaligus mempromosikan kerja belia profesional bagi membangunkan bakat dan potensi belia Komanwel secara kolektif. Setakat ini hanya 12 Negara Komanwel yang mempunyai pertubuhan pekerja belia dan Malaysia baru sahaja menyertai senarai tersebut dengan penubuhan Federasi Kebangsaan Pekerja Belia (FKPB) yang telah diluluskan pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada April 2017. FKPB juga telah pun berjaya mengadakan mesyuarat agungnya pertama bersempena Sambutan Hari Belia Negara yang lepas pada 15 Mei 2017. FKPB hadir ke bumi Uganda ini adalah dalam usaha bergabung bersama CAYWA bagi meluaskan jaringan strategik kerja belia meliputi jaringan, kajian, kewangan, idea dan kepakaran. Secara umumnya CAYWA mempunyai objektif untuk 1.) Mempromosikan global standard of practice and status kepada pekerja belia; 2.) Mendokong pertubuhan pekerja belia di dalam Komanwel; 3.) Mempromosikan kerja belia profesional di dalam Komanwel; dan 4.) Menggalakkan pendidikan dan penyelidikan berkaitan kerja belia.

FKPB lahir hasil kelulusan dan kesepakatan perwakilan Mesyuarat Agung Tahunan MBM yang ke-65 pada Februari 2016 setelah Dasar Belia Malaysia 2015-2035 memperuntukkan kerja belia profesional sebagai bidang keutamaan pembangunan belia Negara. Kerja belia profesional sebenarnya bukanlah baru di Malaysia, ianya telah sekian lama diperjuangkan. Tahun 2012, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Commonwealth Youth Programme (CYP) telah pun mengadakan bengkel formulasi Polisi Kerja Belia. Universiti Putra Malaysia (UPM) pula telah lama menawarkan Diploma Commonwealth Youth Program bagi memberikan ilmu profesional pekerja belia khususnya di kalangan pegawai belia bagi memantapkan ilmu berkaitan. Kajian terkini menunjukkan tidak sampai 10% pekerja belia di Malaysia mempunyai kelayakan akademik di bidang kerja belia. Kehadiran FKPB tepat pada masanya apabila CAYWA turut diluncurkan pada tahun ini. Kemungkinan FKPB boleh terus menjuarai mempromosikan kerja belia profesional di kalangan Negara-Negara OIC pula selepas ini kerana Muslim Youth Work juga amat popular khususnya di United Kingdom.

Commonwealth Youth Stakeholder Forum seumpama ini memberikan ruang kepada FKPB untuk mempelajari idea-idea baru daripada pemegang-pemegang taruh lain. Antara idea menarik yang dipelajari ialah penubuhan YouthBank International yang memberikan peluang geran pendanaan projek komuniti yang digerakkan oleh belia dan memberikan impak di dalam masyarakat. Bersesuaian dengan tema yang diangkat, pendanaan dan kewangan merupakan antara masalah utama yang dihadapi oleh kebanyakkan pertubuhan belia di mana-mana tidak terkecuali Malaysia. Melalui idea YouthBank ini, elemen philanthropy, keusahawanan sosial dan pembangunan belia digabungkan bagi membolehkan pendanaan kepada projek komuniti yang dikepalai oleh para belia. Idea YouthBank walaupun bermula di United Kingdom (UK), ia telah diperkembangkan ke luar UK bagi manfaat dan faedah belia di seluruh dunia. MBM dan FKPB mungkin boleh mengambil manfaat dengan model yang dianggap berjaya ini untuk diperkembangkan di Malaysia bagi menangani isu dana kewangan projek dan pertubuhan belia.

Malta mempunyai Youth Work Profession Act 2014 memperuntukkan pengiktirafan profesionalisme kepada pekerja belia di Malta serta meregulasi profesyen pekerja belia agar sentiasa mencapai kualiti yang diharapkan. Pengalaman Malta ini wajar diberikan perhatian oleh Malaysia pada masa hadapan bagi membolehkan Malaysia turut mempunyai Akta Kerja Belia Profesional tersendiri di samping Akta 668 yang meregulasi pertubuhan belia dan pembangunan belia di Malaysia. Namun berdasarkan perbincangan dan realiti semasa, peruntukkan berkenaan regulasi kerja belia di Malaysia sudah cukup memadai dengan meminda dan memasukkan klausa yang berkaitan di dalam Akta 668.

Banyak yang dapat dipelajari di forum seumpama ini. Forum sebegini, menjadi medan untuk recharge idea-idea baru daripada pengalaman pelusuk Negara-Negara Komanwel yang kaya dengan pengalaman kerja belia khususnya United Kingdom (UK) selaku pelopor kerja belia profesional. FKPB akan terus mempromosikan kerja belia profesional di Malaysia agar generasi muda dapat diserlahkan potensi secara berkesan. FKPB dalam kerangka bekerjasama bersama KBS khususnya Institute of Youth Research (IYRES) bagi memperkukuhkan ekosistem kerja belia profesional di Malaysia.

Secara ringkasnya, Malaysia di masa hadapan mempunyai tiga pemegang taruh utama pembangunan belia iaitu KBS, MBM dan yang terbaru FKPB bagi merancakkan usaha mengangkat harakat dan martabat generasi muda Malaysia.

Seperkara lagi dapatan menarik daripada forum ini ialah mengenai kajian berkenaan The Commonwealth Study on National Youth Councils di Negara-Negara Komanwel. Kajian terhadap 36 Majlis Belia Negara Komanwel yang dibentangkan oleh Lawrence Muli, Assistant Programme Officer, Youth Division, Commonwealth Secretariat mendapati tiga keperluan utama yang perlu diberikan perhatian dan tindakan iaitu,

  1. Majlis belia memerlukan lebih banyak latihan berbentuk capacity building bagi memantapkan organisasi;
  2. Majlis belia hanya bergantung kepada bantuan kewangan kerajaan dan tidak mempunyai sumber selain dana awam kerajaan; dan
  3. Majlis belia dijadikan semata-mata stepping stone untuk mendaki ke puncak politik Negara.

Kajian ini bakal dikeluarkan oleh Youth Division, Commonwealth Secretariat dan amat wajar MBM untuk menelitinya bagi membaiki dan memperkukuhkan peranan dan relevensinya di mata belia Malaysia.

Jufitri Joha, Naib Presiden MBM

Oleh: JUFITRI BIN JOHA

Pengerusi Federasi Kebangsaan Pekerja Belia

Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM)

About admin

Leave a Reply

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino

Translate »