Home / Berita / Belia harus rebut peluang bina kerjaya usahawan tani muda

Belia harus rebut peluang bina kerjaya usahawan tani muda

Putrajaya, 6 Mac 2017 – Usaha kerajaan dalam melahirkan usahawan tani muda tidak akan mencapai sasarannya jika maklumat berkaitan pelbagai program bantuan tidak sampai kepada golongan belia. Belia seharusnya proaktif dalam mendapatkan peluang dari program bantuan yang disediakan dan tidak hanya menunggu bantuan itu datang dengan sendirinya. Sudah menjadi hasrat kerajaan mahu golongan muda menceburi bidang pertanian sepenuh masa dan menjadi usahawan tani yang berjaya dengan menyediakan peruntukan berjuta ringgit dan program sokongan. Pertanian merupakan satu perniagaan yang terbukti  menguntungkan dan boleh menjana pendapatan yang tinggi tetapi  jumlah belia yang terlibat dalam  industri ini adalah begitu kecil kerana belia tidak begitu berminat menceburi bidang ini.

Majlis Belia Malaysia (MBM) melalui Jawatankuasa Tetap Pertanian dan Industri Asas Tani yang dipengerusikan oleh Sdr. Ahmad Daniar Ismail, Penolong Bendahari Kehormat telah mengadakan pertemuan dengan Unit Agropreneur Muda dan Strategik Lautan Biru Kebangsaan (UAM & NBOS) yang dihadiri sendiri oleh Pengarahnya, Encik Rezal bin Haji Zaidi di Wisma Tani jam 2.00 petang. Pertemuan ini juga turut dihadiri oleh Sdr. Jufitri Joha, Naib Presiden MBM bersama ahli-ahli jawatankuasa tersebut dan dua orang pegawai dari UAM & NBOS yang begitu mesra menerangkan fungsi dan objektif unit tersebut.

Pertemuan yang berlangsung selama dua jam lebih ini  turut membincangkan program yang boleh dianjurkan bersama antara MBM dan UAM & NBOS. Selain itu, penerangan mengenai pelbagai program bantuan kepada usahawan tani muda turut dikongsi.

Untuk maklumat lanjut mengenai program bantuan ini, sila hubungi Unit Agropreneur Muda dan Strategik Lautan Biru Kebangsaan, Wisma Tani, MOA, Putrajaya.

 

About admin

Leave a Reply