Home / Berita / Kursus GPL Dan Asas Fertigasi : MBM Sasar Lahirkan Lebih Ramai Agropreneur Muda

Kursus GPL Dan Asas Fertigasi : MBM Sasar Lahirkan Lebih Ramai Agropreneur Muda

KUALA MEDANG, LIPIS, PAHANG – Mengambil salah satu teras Dasar Belia Malaysia (DBM), iaitu memperkasa ekonomi belia, Majlis Belia Malaysia (MBM) melalui Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani MBM bersama Jabatan Pertanian Negeri Pahang, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA)  dan Kuala Medang Bio Farm telah menganjurkan  Kursus GPL dan Asas Fertigasi (Pengredan, Pembungkusan, Pelebelan, Baja AB, Plan Boster, Racun, Benih, Pengairan dan Penyediaan Tapak) pada 10 hingga 12 Februari 2017 di Desa Lestari, Kuala Medang, Lipis, Pahang.

Kursus yang dihadiri seramai 100 orang belia dari daerah ini memberi penekanan mengenai fungsi fertigasi, kos dan modal, penjagaan, pemasangan termasuk teori dan praktikal.

Hari pertama dimulakan dengan sesi taklimat berkaitan ‘Grading, Packaging, Labeling’ (GPL) yang disampaikan oleh Encik Rosli Muhamad, pegawai Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Pahang yang menerangkan mengenai teknik pengredan, pembungkusan dan melebel yang betul dan sistematik.

Sesi kedua pula menyentuh topik ‘Asas Pengurusan Nutrien Dalam Tanaman’ yang disampaikan oleh Encik Ali Hanafiah Mazlan dari Jabatan Pertanian Negeri Pahang. Topik ini menerangkan cara-cara penggunaan Nutrient Film Technique (NFT) yang boleh ditanam dengan pelbagai jenis sayur-sayuran. Peserta juga telah diterangkan cara-cara pemasangan NFT, cara penanaman, cara bancuhan baja dan cara penjagaan yang betul.

Pada sebelah petang pula, sesi teori diteruskan dengan topik ‘Pengurusan Teknologi Fertigasi Secara Lestari : Bancuhan Baja dan Pengurusan Penyakit dan Perosak’ oleh Encik Rosli Saleh, Pengurus Kuala Medang Bio Farm.

Sesi ceramah bersambung pada sebelah malam dengan tajuk ‘Pengurusan Teknologi Fertigasi Secara Lestari : Aplikasi Baja Organik dan Asas Pembuatan Plant Booster’.

Pada hari kedua, peserta-peserta kursus dibawa ke lawatan tapak projek di mana mereka didedahkan teknik-teknik fertigasi yang betul bermula dari penyediaan tapak, sistem pangairan yang sempurna, semaian benih, racun serangga dan teknik penjagaan tanaman. Sesi ini dikendalikan oleh pegawai Jabatan Pertanian.

Peserta juga diberi peluang berinteraksi dengan ikon usahawantani berjaya dalam sesi ‘Bicara Tani’. Sesi ini mendapat sambutan hangat dari kalangan peserta yang mengambil kesempatan untuk berkongsi maklumat dan pengalaman dari ahli panel terbabit.

Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh YH Dato’ Mukhriz Fuad, Ahli Lembaga Pengarah, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) merangkap Pengerusi Biro Pertanian dan Asas Tani, Pemuda UMNO Malaysia.

Dato’ Mukhriz dalam ucapannya berkata, “beliau menghargai inisiatif MBM ini dan berharap setiap peserta yang hadir dapat mempraktikan segala ilmu yang diperolehi dalam bidang fertigasi ke kawasan masing-masing supaya kos pengendalian dapat dikurangkan manakala hasil pula bertambah”. “Kita juga berharap lebih ramai agropreneur muda dilahirkan hasil daripada program seumpama ini”, ujar beliau.

Majlis ini turut dihadiri oleh Sdr. Ahmad Daniar Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani MBM merangkap Penolong Bendahari MBM. Setiap peserta yang menyertai kursus ini diberikan sijil penyertaan sebelum diakhiri dengan sesi bergambar.

About admin

Leave a Reply