Home / Berita / Dialog Harmoni Antara Agama dan Amazing Race Sempena Sambutan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia 2017 (World Interfaith Harmony Week 2017)

Dialog Harmoni Antara Agama dan Amazing Race Sempena Sambutan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia 2017 (World Interfaith Harmony Week 2017)

Sempena sambutan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia (WIHW) 2017, Majlis Belia Malaysia (MBM) bersama Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian antara Penganut Agama (JKMPKA), Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN) telah menganjurkan Dialog Keharmonian Antara Agama dan Interfaith Amazing Race pada 4 Februari 2017 di Institut Kajian Perhutanan Malaysia (FRIM) Kepong, Kuala Lumpur.

Program ini dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Angkatan Belia Islam Malaysian (ABIM), Persatuan Dhammaduta Malaysia (BMSM) dan Global Peace Foundation (GPF).

Dialog yang bertemakan MUHIBAH ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada peserta pelbagai kaum, latar belakang dan kepercayaan yang memenuhi setiap ruang dalam dewan auditorium. Antara objektif utama dialog ini adalah untuk mempromosikan interaksi yang harmoni dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya generasi muda di samping mengukuhkan kesedaran bahawa setia individu mempunyai peranan dalam mempromosikan keamanan dan keharmonian agama melalui toleransi dan penerimaan.

Dialog ini telah dipengerusikan oleh YBhg. Prof. Datuk Dr. Azizan Baharuddin, Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan jemaah panel terdiri daripada tokoh 8 kepercayaan / agama iaitu (Islam) Ustaz Tn. Hj. Mohammad Fitri Abdullah, (Buddhist) Dr. Teoh Hee Chong, TARUC, (Kristian) Pastor Alfred Tais, NECF, (Hindu) Dr Navin Kumar Singaravelu, Hindu Sangam, (Sikh) Dr. Charanjit Kaur a/p Darshan Singh, UTAR, (Tao) Daozhang Tan Hoe Chieow, Federation of Taoist Associations Malaysia, (Baha’i) Ms Sangitaa, Baha’i Community dan (Orang Asli) Prof. Madya Dr. Juli a/l Edo, Yayasan Orang Asli Perak.

Pengisian dialog merangkumi perbincangan dan interaksi meliputi topik dan persoalan berikut:

  1. Apakah yang anda suka akan konsep MUHIBAH dalam persembahan WIHW yang bertema: Cintai Tuhan; Cintai Jiran?
  2. Apakah pandangan anda mengenai konsep MUHIBAH dalam persefahaman dan keharmonian antara penganut pelbagai agama di Malaysia?
  3. Boleh kongsikan bagaimana tema ini berkaitan dengan agama anda?
  4. Adakah agama anda menekankan konsep mencintai jiran – apakah kebaikannya?
  5. Apakah cabaran yang anda kenal pasti yang menjejaskan hubungan baik sesama jiran tetangga?
  6. Bagaimana untuk memurnikan hubungan antara jiran dari perspektif agama anda?
  7. Apakah cadangan anda untuk penambahbaikan atau penyelesaian isu-isu yang berkaitan dengan kejiranan?
  8. Bagaimana pula perkara ini (cabaran) penting untuk difahami untuk keamanan, keharmonian dan kemajuan negara kita?

Pada sebelah pagi telah berlangsung Interfaith Amazing Race iaitu permainan berpasukan yang disertai 170 orang remaja pelbagai kaum dan agama berumur 15 hingga 20 tahun terdiri daripada ahli-ahli badan gabungan dan pelajar Institusi Pengajian Tinggi. Permainan ini bertujuan meningkatkan kesedaran para anak muda tentang kepentingan pemuliharaan alam sekitar di samping nilai-nilai murni dan konsep pelbagai agama juga diterapkan dalam permainan ini.

Selesai sesi dialog, para peserta bergerak ke khemah utama di Padang FRIM untuk majlis pelancaran WIHW 2017 yang disempurnakan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia. Program sambutan WIHW 2017 berakhir dengan Sesi Ramah Mesra YAB Perdana Menteri bersama Pemimpin-pemimpin Agama di Dewan Alwy, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.

 

About syazwan

Leave a Reply