Kenyataan Media : Pesta Sukan Dan Kebudayaan Belia Malaysia 2016

KENYATAAN MEDIA

8 OGOS 2016

MAJLIS BELIA NEGERI (MBN) PAHANG MENGALU-ALUKAN KEHADIRAN ATLIT DAN PEGAWAI KE PESTA SUKAN DAN KEBUDAYAAN BELIA MALAYSIA 2016

1. Sukacita dimaklumkan bahawa Pesta Sukan Dan Kebudayaan Belia Malaysia (PSMKBM) Kali Ke-5 2016 akan dianjurkan pada 11 – 14 Ogos 2016. PSKBM 2016 akan diadakan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan, Bandar Indera Mahkota, Kuantan, Pahang. PSKBM 2016 dianjurkan oleh Majlis Belia Malaysia (MBM) dengan kerjasama Kementerian Belia Dan Sukan (KBS), Kerajaan Negeri Pahang dan Majlis Belia Negeri (MBN) Pahang.

2. PSKBM 2016 ini bertujuan untuk menggalakkan belia bersukan kerana ia adalah aktiviti riadah yang baik bagi menghasilkan badan yang cergas dan minda yang sihat. Di samping itu, ia juga bertujuan untuk menggalakkan belia-belia melibatkan diri dalam kegiatan kebudayaan bagi meneruskan kesinambungan tradisi seni negara. Dalam masa yang sama PSKBM 2016 bertujuan untuk merapatkan hubungan silaturrahim dalam kalangan belia dari seluruh negara yang berbilang bangsa dan agama.

3. Sebanyak lima (5) acara sukan dan dua (2) acara kebudayaan akan dipertandingkan sepanjang PSKBM 2016 berlangsung. Acara-acara tersebut ialah Futsal (Lelaki dan Wanita), Badminton (Berpasukan), Bola Jaring (Wanita), Sepak Takraw (Lelaki) dan Ping Pong (Berpasukan). Manakala acara Lagu Puisi dan Teater pula akan dipertandingkan bagi kategori kebudayaan.

4. Dijangka seramai 2,000 orang belia dari seluruh negara akan berkampung di UIAM Kuantan sepanjang PSKBM 2016 berlangsung. Mereka terdiri daripada atlit dan pegawai yang mewakili 39 buah persatuan dan pertubuhan belia yang menjadi badan gabungan kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) di peringkat kebangsaan.

5. Majlis Belia Negeri (MBN) Pahang selaku tuan rumah mengucapkan Selamat Datang kepada semua atlit dan pegawai PSKBM2016 ke negeri Pahang Darul Makmur. Bagi menjayakan penganjuran PSKBM2016 ini, MBN Pahang telah bertindak proaktif melakukan persiapan yang sewajarnya demi kelancaran sepanjang PSKBM 2016 berlangsung. MBN Pahang juga telah memilih seramai 120 orang sukarelawan dalam kalangan belia negeri Pahang bagi memastikan kelancaran setiap acara yang dipertandingkan.

6. PSKBM 2016 juga dijangka diserikan lagi dengan keberangkatan KDYTM Tengku Mahkota Pahang untuk mencemar duli menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup. Majlis tersebut akan diadakan pada hari Sabtu 13 Ogos 2016 bertempat di Dewan Utama UIAM Kuantan bermula jam 8.00 malam. Di dalam majlis tersebut, dijangka KDYTM Tengku Mahkota Pahang akan menyampaikan hadiah kepada kontinjen yang berjaya muncul sebagai johan keseluruhan PSKBM 2016 ini.

7. MBN Pahang mengajak semua belia khususnya di negeri Pahang untuk sama-sama hadir menyaksikan semua acara yang dipertandingkan. Kehadiran semua belia ini akan memeriahkan lagi penganjuran PSKBM 2016 ini dan seterusnya akan menjadi kenangan bermakna kepada semua belia di negeri Pahang khususnya dan seluruh negara amnya. Sekaligus akan mengangkat martabat golongan belia di negara ini yang sentiasa mengutamakan kegiatan-kegiatan yang berfaedah dan menyumbang kepada pembinaan negara yang lebih baik.

Terima kasih.

Disediakan oleh;

KHAIRUL AMIN BIN OSMAN
PRESIDEN
MAJLIS BELIA NEGERI PAHANG