Home / Artikel / Kupasan Buku: Malcolm X Talks To Young People

Kupasan Buku: Malcolm X Talks To Young People

Oleh: JUFITRI BIN JOHA

Di kesempatan jemputan mengisi slot Bibliophilia Festival Belia Islam Universiti  Malaya (UM) pada 15 Mac 2016 yang lepas, telah dimanfaatkan sebaiknya oleh Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) dengan mengupas buku Malcolm X Talks to Young People.

Buku yang diterbitkan oleh Pathfinder ini merupakan himpunan ucapan, temuramah dan debat penting Malcolm X di luar negara merangkumi di University Ghana, Universiti Oxford, London School of Economics (LSE) dan di tahahairnya sendiri iaitu Amerika Syarikat. Kebanyakkan ucapan beliau ditujukan dan didedikasikan kepada mahasiswa dan generasi muda bagi membangkitkan semangat untuk melakukan perubahan melawan penindasan dan kebobrokan sang penguasa.

Mac  2016 yang lepas, genap 51 tahun pemergian tokoh pejuang kebebasan berkulit hitam Abdul Malek al-Shabbaz atau Malcolm X ini. Beliau mati ditembak dengan 16 das tembakan semas memulakan ucapannya di Audobon Ballroom, Herlem, New York di Negara Uncle Sam Amerika Syarikat.

Ramai yang tidak mengenali beliau sedangkan beliau merupakan tokoh anak muda yang menjadi legenda kepada dunia perjuangan golongan yang tertindas khususnya warga kulit hitam di Amerika Syarikat. Tokoh ini wajar dikenal dan diekstrakkan inti perjuangannya agar menjadi inspirasi kepada sebuah nilai kebangkitan dan self-resilient. Tokoh ini memeluk Islam setelah disumbat ke dalam penjara di antara 1946 – 1952 hanya kerana dosanya seorang warga berkulit hitam yang melakukan jenayah kecil. Disebalik ujian yang amat berat ini, Malcolm berjaya bangkit sebagaianak muda yang mempunyai visi dan misi yang amat jelas. Self-resilient merupakan elemen terpenting dalam falsafah pembangunan belia selain dari kompetensi yang wajar dipelajari daripada sejarah hidup Malcolm X.

Sekitar 1996, pihak Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) iaitu salah satu badan gabungan MBM pernah cuba memperkenalkan susuk tokoh muda yang berjasa ini ke tengah-tengah masyarakat dengan menganjurkan Tayangan Amal Perdana Filem Malcolm X bertujuan menyedarkan masyarakat terhadap perjuangan murni pejuang Islam seperti Malcolm X ke arah merealisasikan cita-cita perdamaian dan keadilan sejagat. Tayangan ini juga bermatlamatkan membangkitkan daya juang dan semangat rela berkorban generasi muda demi keadilan, martabat agama dan keamanan sejagat.

Sesungguhnya Malcolm X merupakan simbol keupayaan seorang insan membebaskan dirinya daripada gejala keruntuhan akhlak, kancah jenayah dan penyalahgunaan dadah. Dalam ilmu pembangunan belia, self-resilient yang ada di dalam diri Malcolm X merupakan antara formula utama anak muda untuk terus maju kehadapan walaupun persekitarannya tidak banyak membantu bahkan meruntuhkan semangat. Malcolm X dilahirkan pada 1925 di Nebraska Amerika Syarikat dalam suasana perkauman kulit putih terhadap kulit hitam yang amat menebal. Bapanya dibunuh dengan kejam oleh kumpulan yang tidak suka dengan perjuangan bapanya membela nasib warga kulit hitam dengan membawa kembali warga kulit hitam ke Afrika.

Malcolm X dibesarkan di dalam keluarga Kristian dengan 10 orang adik beradik. Kehidupan agak perit apabila dipaksa berpindah-randah, dibakar rumah dan diancam bunuh oleh kumpulan racist kulit putih Klu Klux Klan. Perkataan X di belakang namanya itu merujuk kepada darah bangsa Afrika dalam dirinya yang tidak diketahui asal-usulnya. Ibunya menderita sehingga terpaksa dirawat di hospital. 10 adik beradiknya berpecah dipelihara keluarga angkat. Kesusahan dan keperitan inilah yang menyebabkan Malcolm X tergolong sebagai belia yang berisiko dan terdedah kepada kegiatan jenayah seperti dadah, judi, pelacuran, rompakan, arak dan pembunuhan.

Jenayah ini menyebabkan Malcolm X terheret ke dalam penjara selama hampir 6 tahun. Namun begitu, penjara ini merupakan suatu permulaan baharu kepada sebuah perubahan. Penjara merupakan sebuah universiti yang memperkenalkan Malcolm kepada cahaya hidayah apabila abangnya yang terpisah Wilfred dan Philbert menghantar al-Quran dan memperkenalkan Islam dan Elijah Muhammad, pemimpin kulit hitam Islam berpengaruh. Malcolm X seolah-olah mengalami kelahiran semula dengan mula mendalami Islam serta mengasah pembacaan dan skil pidato di dalam penjara. Dalam sejarah perjuangan, penjara memang sinonim menempa dan mengasah idealisme perjuangan seperti mana yang berlaku kepada tokoh Islam Nusantara Hamka. Malcolm X juga melalui jalan yang sama.

Apabila bebas daripada penjara, beliau bergiat aktif di dalam gerakan ‘Nations of Islam’ pimpinan Elijah. Malcolm X mengenali versi Islam yang sempit melalui Elijah yang suka dipuja dan dan berdendam dengan orang-orang kulit putih. Ini membentuk idealisme perjuangan Malcolm yang berpaksikan nasionalisme kulit hitam. Semua ini berubah apabila beliau meninggalkan Elijah atas faktor cakap tidak serupa bikin dan setelah beliau menunaikan haji pada 1964. Ia merubah sempadan perjuangan Malcolm X daripada perjuangan perkauman yang sempit kepada perjuangan kebebasan yang lebih sejagat sifatnya.

Malcolm X menubuhkan Pertubuhan Perpaduan Afro Amerika (PPAA) pada tahun 1963 sebagai medium baru penyaluran fikrah dan perjuangannya yang lebih segar. Perjuangan dan idealisme beliau mula berkembang dan popular sehingga bukan sahaja menerima jemputan ceramah di dalam Amerika termasuk oleh John Kerry ketika menjadi mahasiswa dan Profesor Henry Kissinger (Mantan Setiausaha Negara Amerika), bahkan sehingga ke Britain dan Ghana. Beliau banyak menyeru dan memberikan inspirasi kepada anak muda tanpa mengira agama dan bangsa di seluruh dunia untuk sama-sama bangkit menentang penindasan dan imperialisme global. Beliau bukan sahaja membela minoriti tertindas tetapi mengkritik kerajaannya
sendiri yang melakukan campur tangan dan kezaliman terhadap Negara seperti Congo dan Vietnam. Persaudaraan dan kedamaian merupakan antara mesej besar yang disampaikan ketika berdebat berkenaan tajuk “Any Means Necessary to Bring about Freedom” dihadapan para mahasiswa dan akademia di Universiti Oxford.

Debat dirakamkan secara verbatim dalam buku “Malcolm X Talks to Young People”. Tajuk debat ini juga yang dikupas secara berfokus oleh saudara Jufitri di hadapan mahasiswa UM. Di dalam debat ini Malcolm berusaha menolak segala bentuk fahaman apartheid yang berpaksikan perkauman sambil mengegaskan bahawa ‘justified extremism’ adalah satu-satunya bahasa yang difahami oleh racialists.

Namun begitu Malcolm tidak sekali-kali mendokong pembunuhan dan pertumpahan darah. Dalam konteks moden, idea Malcolm X sesuai untuk ditujukan kepada pemerintah Zionis di Israel yang tidak faham akan bahasa perdamaian. Mereka hanya faham bahasa kekerasan. Justeru seruan Malcolm X ini harus digunakan dalam konteks yang bersesuaian agar ia tidak disalah tafsir oleh anak muda. Di akhir debat tersebut, Malcolm X secara khusus menyeru anak muda untuk bangkit membuat perubahan menentang penyalahgunaan kuasa demi membina masa depan dunia yang lebih baik.

Hasil permusafiran beliau selama 4 bulan di luar Negara, membukakan lagi keluasan horizon pemikiran beliau bahawa tidak semua orang kulit putih itu jahat dan tidak semua orang kulit hitam itu baik. Allah Taala tidak melihat pada warna kulit tetapi ketakwaan yang terpasak di dalam sanubari. Perjuangan global keadilan juga bukan hanya untuk membela umat Islam tetapi umat bukan Islam di mana sahaja mereka tertindas kerana atas dasar persahabatan kemanusiaan. Pendekatan perubahan yang dibawa oleh beliau adalah melalui pendekatan pendidikan. Pendidikan merupakan proses mencerdaskan masyarakat keluar dari zon kejahilan bagi mengetahui hak dan tanggungjawab mereka sekaligus melorongkan kepada masa hadapan yang lebih cerah. Ini jelas tergambar di dalam salah satu ucapan beliau,“Without education, you’re not going anywhere in this world. Education is our passport to the future, for tomorrow belongs to the people who prepare for it todays”.

Jelas kata-kata keramat ini memberikan inspirasi kepada semua pejuang perubahan dan pendidik bahawa untuk merubah destini dan nasib umat adalah dengan evolusi pendidikan.

Malcolm X akan kekal menjadi ikon pejuang dalam lipatan sejarah dunia dan pastinya ada pelapis penerus yang akan terus membawa obor perjuangan beliau untuk melihat dunia yang lebih adil, aman dan makmur.

About admin

Leave a Reply