Home / Artikel / Memantau Pilihanraya Presiden Amerika dan Kesannya Pada Malaysia

Memantau Pilihanraya Presiden Amerika dan Kesannya Pada Malaysia

Oleh: JUFITRI BIN JOHA, Naib Presiden MBM

Tahun 2016 ini, dunia sekali lagi tertumpu kepada antara peristiwa terpenting Pilihanraya Presiden Amerika yang bakal berlangsung awal November. Rakyat Amerika bakal memilih Presiden mereka yang ke-45 selepas Barack Obama tamat penggal pemerintahan pada tahun ini. Amerika Syarikat mempunyai tradisi yang kuat dalam realisasi sistem dua parti yang banyak menguntungkan rakyat. Kepimpinan kerusi empuk Presiden Amerika Syarikat silih berganti di antara dua parti terbesar iaitu Republikan dan Demokrat semenjak beberapa dekad terdahulu. Presiden Amerika ke-44 iaitu Obama adalah daripada Parti Demokrat yang bakal menamatkan perkhidmatannya selama dua penggal.

Awal tahun 2016 ini kedua-dua parti sibuk memilih calon di peringkat primary election yang bakal mewakili parti mereka untuk bertanding dalam Pilihanraya Presiden. Inilah keunikan Pilihanraya Presiden Amerika yang membolehkan rakyatnya memilih secara langsung calon pilihan masing-masing malah di peringkat primary election mereka turut boleh memilih calon pilihan mereka. Ketika artikel ini ditulis primary election sedang rancak berlangsung dan baru sahaja selesai pemilihan caucus di banyak Negeri di Ohio, New Hampshire, Nevada, South Carolina, Idaho dan Utah. Setiap Negeri memang dikenali sama blue state yang pro Parti Demokrat atau red state yang pro Parti Republikan atau swing state yang boleh berubah sokongan sama ada kepada Parti Demokrat atau Parti Republikan bergantung kepada kekuatan isu dan tokoh sesebuah parti. Di pihak Republikan, Trump mendahului carta meningggalkan 3 pesaing terdekatnya iaitu Cruz, Rubio dan Kasich sementara di pihak Demokrat, Hillary bersaing sengit dengan Sanders.

Menghimbau pengalaman penulis berada selama tiga minggu di Amerika pada November 2012 diberikan peluang memantau dan mengikut secara lebih dekat Pilihanraya Presiden Amerika memberikan gambaran yang jelas sistem dan perjalanan pilihanraya yang menggunakan Electoral College vote. Bagi yang tidak biasa dengan sistem ini sememangnya sukar untuk difahami kerana sistemnya yang sedikit kompleks. Tahun 2012 menyaksikan pertandingan antara calon incumbent Obama melawan Mitt Romney daripada Parti Republikan. Sebelum pembuangan undi mereka berdua terpaksa melalui tiga pusingan debat secara terbuka membahaskan beberapa polisi dan agenda mereka termasuk dasar luar negeri dan ekonomi. Kebiasaannya kita akan tertumpu dan berminat  kepada perdebatan dasar luar negeri kerana ia akan memberikan kesan langsung dan tidak langsung kepada Malaysia dan rantau Asia Tenggara.

Pilihanraya 2012 amat sengit namun akhirnya Obama berjaya memenangi untuk penggal kedua atas sokongan padu daripada generasi muda, bangsa Latin dan golongan yang mendokong agenda liberal dan LGBT. Dunia Islam pada ketika itu terasa sedikit lega kerana Obama terpilih semula berbanding Romney yang kelihatan amat pro Benjamin Netanyahu, Perdana Menteri Israel. Namun menurut wartawan Mehdi Hasan mendakwa Obama menggunakan drone lebih 6 kali menyebabkan kematian daripada era pemerintahan Bush. Sudah tentu drone tersebut banyak digunakan di Negara Islam seperti Pakistan untuk memerangi Taliban. Secara ringkasnya pemilihan Obama pada tahun 2008 memberikan harapan baru kepada dunia Islam dan perdamaian Palestin namun ternyata harapan tersebut tinggal hampas belaka. Konflik Palestin – Israel masih tidak kunjung selesai. Walaupun tidak dinafikan bahawa Parti Demokrat sedikit lunak berbanding Republikan yang kelihatan tidak Muslim friendly. Hakikatnya calon-calon Presiden Amerika masih terbelenggu dengan polisi yang pro kepada Israel.

Primary Election dijangka berterusan berlangsung sehingga Jun sebelum setiap parti benar-benar dapat memilih calon tunggal mereka ke Pilihanraya November. Terdapat dua calon popular daripada Demokrat seperti yang dinyatakan di atas iaitu Hillary Clinton dan Senator Bernie Sanders manakala Republikan mempunyai lebih daripada 5 calon dengan yang paling popular mendahului Tycoon Donald Trump diikuti Ted Cruz, Marco Rubio, Kasich dan Jep Bush pada awalnya namun Jep Bush dan Rubio sudah pun menarik diri pada saat ini kerana kekurangan sokongan untuk meneruskan perlumbaan ke White House. Cuma sebagai pemimpin belia dan rakyat Malaysia yang prihatin, kita wajar mengikuti rapat perkembangan ini untuk menganalisa impaknya kepada dunia secara amnya dan kepada Malaysia dan dan rantau ini.

Saya berkesempatan menjadi moderator atas kapasiti sebagai Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) dalam wacana intelektual USA Presidential Election 2016: Impact on South East Asia anjuran Young Southeast Asian Leaders Initiative (YSEALI), American Council of Young Political Leaders (ACYPL) dan Mahasiswa Progresif (SISPRO) baru-baru ini di Ibu Negara. Apa yang difokuskan dalam perbincangan yang membariskan Joseph Jones, Iowa Political Director 2008 Obama Campaign dan Eric Johansen, Staff Director for the Iowa Senate Republican Research Staff ini adalah kesan kepada Asia Tenggara sekiranya mana-mana calon terpilih sebagai Presiden Amerika yang baru.

Sudah tentu Donald Trump menjadi tumpuan yang popular apabila mengeluarkan kenyataan yang kontroversi untuk menghalang Muslim daripada memasuki Amerika. Pandangannya yang juga keras menolak pengambilan pelarian Syria ke Amerika kerana dikhuatiri akan mengimport masuk ideologi keganasan juga mencuri tumpuan. Ketika berucap di perhimpunan American Affairs Public Affairs Committee (AIPAC), Trump juga menegaskan pendirian dan sokongannya terhadap negara haram Israel dengan menyifatkan Isarel sebagai proksi yang dipercayai. AIPAC seperti yang dimaklumi merupakan kumpulan pelobi Israel terkuat di Kongres Amerika bagi memastikan Amerika Syarikat melindungi kepentingan Isarel. Kenyataan-kenyataan beliau ternyata mendapat sambutan dan dokongan daripada pihak-pihak tertentu yang membenci Islam. Pengalaman saya berdiskusi bersama ahli Republikan di Arizona, Negeri yang pro kepada Reublikan pernah menyebut kepada saya bahawa bagaimana Amerika boleh memilih seorang Presiden Amerika yang mempunyai nama Hussein di tengah-tengah. Kenyataan ini merujuk kepada Barack Obama yang mempunyai berbunyi Islam di tengah iaitu Barack Hussein Obama. Ini kemungkinan perasaan Islamophobia yang bermain di kalangan mereka sehingga suatu ketika rakyat Amerika sangsi akan agama sebenar yang dianuti Obama. Rakyat Amerika banyak mendapat berita tentang Islam berdasarkan liputan media popular yang mungkin berat sebelah seperti CNN dan Fox News. Dianggarkan hanya 20 peratus rakyat Amerika yang mengembara ke luar Amerika selebihnya tidak pernah keluar mengembara bahkan tidak pernah keluar dari Negeri yang mereka diami. Justeru gambaran sebenar Islam dan Muslim agak terhad dan terbatas di sisi mereka.

Walaupun Republikan dianggap tidak Muslim friendly namun Eric yang saya temui ketika berforum bersama baru baru ini kelihatan berbeza. Mungkin Eric adalah generasi muda Republikan yang tidak lagi melihat kepada isu-isu remeh seperti Islamophobia tetapi lebih melihat masa hadapan Amerika dengan kepelbagaian etnik dan agama yang hidup secara harmoni dan membangunkan Amerika secara bersama. Eric juga kelihatan kelihatan tidak selesa apabila saya menduga mengatakan Trump adalah calon paling popular berdasarkan liputan media. Seperkara lagi untuk menyokong hujah ini ialah calon primary election Republikan yang menarik diri untuk terus bertanding baru-baru ini iaitu Carly Fiorina, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Hewlett Packard (HP) pernah membuat ucapan menghargai sumbangan tamadun Islam sebagai tamadun yang paling hebat. Ucapan beliau tersebut dibuat dua minggu selepas serangan 911 September 2001 dengan menyebut,

“Although we are often unaware of our indebtedness to this other civilization, its gifts are very much a part of our heritage. The technology industry would not exist without the contributions of Arab mathematicians. Sufi poet-philosophers like Rumi challenged our notions of self and truth. Leaders like Suleiman contributed to our notions of tolerance and civic leadership”.

Ini menggambarkan bahawa terdapat calon dan ahli Republikan yang simpati terhadap Islam namun penulis yakin ia merupakan calon yang tidak popular sehingga beliau terpaksa menarik diri untuk terus bertanding sebaliknya calon yang kelihatan anti-Muslim seperti Trump menjadi calon paling popular dalam Republikan. Saya pernah berdiskusi bersama Imam Ali Shamsi Pengerusi Masjid al-Hikmah New York di mana beliau berkesempatan bertemu muka dengan Donald Trump di New York. Ketika pertemuan tersebut Trump menyebut kepada Imam Ali bahawa, “This is the first time I saw Muslim smile”. Kenyataan ini memberikan gambaran yang jelas pendirian Trump terhadap Muslim. Kemungkinan peluang Trump bertemu muka dan berdiskusi bersama Muslim agak terhad dan kurang yang akhirnya membentuk persepsi beliau yang salah terhadap Muslim dan Islam.

Di sebelah Demokrat, Hillary dan Sanders kelihatan bersaing sengit namun kita masih menunggu siapa di kalangan mereka berdua berjaya untuk menjadi calon tunggal Demokrat. Secara ringkasnya, Pilihanraya Presiden Amerika adalah amat penting untuk kita ikuti kerana katakan jika Trump ataupun Hillary yang terpilih pastinya akan memberikan kesan berbeza kepada kita berdasarkan ideologi parti masing-masing yang mereka wakili dan pendirian mereka terhadap dasar luar Amerika yang sama yang sudah tentu menyentuh secara langsung dasar Amerika di Asia Barat dan Asia Tenggara. Pemenang Pilihanraya Presiden juga bakal mencorak geopolitik Asia Tenggara khususnya ketegangan yang berlaku di Laut China Selatan kerana sikap ‘tamak’ China terhadap Kepulauan Spratly dan Lautan China Selatan. Amerika Syarikat diharapkan khususnya oleh Vietnam dan Filipina untuk mengimbangi kuasa perluasan China ini.

Masih terlalu awal untuk melihat siapa yang menang walaupun mungkin kita dapat menduga pemenangnya namun sebagai pemimpin belia yang mempunyai strategic and futuristic thinking pastinya akan menjangkakan sesuatu pada November ini untuk dibuat persiapan bagi menghadapi masa depan Negara yang lebih baik dan cemerlang.

 

Yseali 2 YSeali 3 Yseali

About faizal shuhaimi

Leave a Reply

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino

Translate »