Home / Artikel / Regulasi pembiayaan politik ke arah iklim politik yang lebih adil dan telus

Regulasi pembiayaan politik ke arah iklim politik yang lebih adil dan telus

Oleh: JUFITRI JOHA, Naib Presiden MBM

Malaysia dikecohkan dengan pendedahan isu derma 2.6 billion ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri. Polemik ini berterusan dan berpanjangan menjadi bualan rakyat sehingga menimbulkan keributan dan kemerosotan keyakinan (deficit of trust) terhadap pemerintah dan parti politik. Tidak terkecuali pimpinan belia akar umbi juga turut berasa resah dan prihatin dengan senario yang berlaku dalam iklim politik Negara. Bertindak sebelum bertambah parah serta mengurus masa hadapan yang lebih baik untuk pembiayaan politik maka Perdana Menteri telah mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) pada 14 Ogos 2015 yang terdiri daripada tokoh-tokoh ternama, ahli akademik, ahli pemikir, ahli politik dan pemimpin belia daripada Majlis Belia Malaysia (MBM). Saudara Jufitri Joha dilantik atas kapasiti individu dan juga kapasiti mewakili pertubuhan terpenting belia negara iaitu MBM. Ini merupakan pengiktirafan dan bukti relevensi kepada peranan MBM dalam menyumbang ke arah masa hadapan yang lebih baik untuk Kerajaan, parti dan ahli politik dan rakyat Malaysia.

Walaupun sesetengah pihak menganggap sinis penubuhan JKNMPP ini namun ianya memberikan harapan baharu kepada iklim politik tanahair. Pengerusi JKNMPP Y.B.Senator Datuk Paul Low Seng Kuan memberikan penegasan bahawa Jawatankuasa ini merupakan jawatankuasa rakyat di mana segala dapatan dan cadangan yang diperolehi adalah dating dari bawah (akar umbi) ke atas (pihak Kerajaan) khususnya membuat syor kepada Jemaah Menteri bagi memperbaiki mekanisme pembiayaan politik yang berintegriti di Negara ini. Walaupun begitu, cabaran yang paling besar yang ditimbulkan oleh sesetengah pihak ialah cabaran komitmen penerimaan dan perlaksanaan oleh pihak pemerintah tentang segala cadangan-cadangan yang dirumuskan oleh JKNMPP kelak secara adil dan menyeluruh.

Secara umumnya, JKNMPP berperanan bagi 1.) membincang dan merumuskan isu-isu berkaitan pembiayaan politik parti-parti dan ahli politik; 2.) mencari dan menggabungkan amalan terbaik (best practice) daripada Negara-Negara lain yang sudah mempunyai peraturan berkenaan pembiayaan politik seperti Amerika Syarikat, Australia, Korea Selatan, Hong Kong dan Kanada untuk dijadikan amalan besar (big practice) di Malaysia dalam membendung dan mencegah rasuah dalam pembiayaan politik; 3.) menganalisa institusi dan rangka kerja sokongan yang berkesan bagi memantau isu ini 4.) menggubal keperluan perundangan kerana Malaysia masih tidak mempunyai peraturan khusus untuk memandu pembiayaan politik; 5.) membuat rundingan dan konsultasi bersama pihak-pihak pemegang taruh dan berkepentingan bagi mendapatkan input dan; membuat syor dan cadangan kepada Jemaah Menteri bagi memperbaiki sistem pembiayaan politik Negara.

Ini merupakan suatu tugasan dan amanah besar yang terpaksa dipikul oleh Jawatankuasa bagi membasmi ibu segala rasuah iaitu rasuah politik dan melakukan transformasi dalam sistem pembiayaan politik. Parti politik dan calon individu yang terlibat dalam politik kepartian dan proses pilihanraya memerlukan bukan sedikit perbelanjaan untuk mewarnai sistem dan proses demokrasi negara namun kawalan dan peraturan diperlukan bagi menegakkan keadilan dalam memilih pemimpin Negara yang terbaik dan bersih.

Terdapat beberapa isu-isu yang perlu diberikan perhatian dan diperhalusi oleh Jawatankuasa dan masyarakat sivil bagi merungkai permasalahan berkaitan pembiayaan politik. Antara isu-isu tersebut ialah 1.) kelemahan sistem kawalan yang menyebabkan kemerosotan akauntabiliti, ketelusan, dan penguatkuasaan; 2.) padang permainan yang tidak rata dan adil untuk semua parti politik; 3.) tabung pembiayaan politik rahsia dan dana politik asing; 4.) parti politik yang memiliki entiti perniagaan secara langsung atau proksi bagi membiayai aktiviti politik mereka; 5.) hubungan yang tidak sihat antara perniagaan dan politik yang meningkatkan budaya naungan (patronage culture) di mana hanya segelintir individu perniagaan yang menguasai dan mempengaruhi dasar dan polisi sesebuah parti pemerintah mahupun pembangkang demi menjaga kepentingan mereka dan bukan kepentingan rakyat terbanyak; 6.) peluang akses media arus perdana yang adil dan saksama untuk semua parti; dan 7.) parti yang memerintah mempunyai “kelebihan” untuk menggunakan penjawat, dana dan infrastruktur awam secara tidak langsung untuk menjayakan kempen plilihanraya mereka.

7 Disember 2015 lepas, pihak MBM juga tidak melepaskan peluang menyumbang input membincangkan permasalahan berkenaan pembiayaan politik yang turut dihadiri tetamu undangan Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM), Dr. Anis Yusal Yusoff, Presiden MBM, saudara Mua’amar, badan gabungan MBM dan sayap pemuda parti-parti politik tanahair. MBM menjadi medan penyatu dalam menyediakan platform bagi anak-anak muda pelbagai latarbelakang kepercayaan dan pegangan politik bagi membincangkan isu-isu Negara seperti pembiayaan politik. Dalam pertemuan tersebut perkara dan keprihatinan yang sama seperti yang dinyatakan di atas diutarakan oleh peserta perbincangan. Antara isu dan cadangan menarik yang ditimbulkan adalah peruntukkan dana politik khas dari pihak Kerajaan kepada parti-parti dan individu bebas yang bertanding dan berpartisipasi dalam sistem demokrasi pilihanraya; pendidikan literasi politik kepada rakyat agar cakna untuk mengetahui peranan sebenar Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi menjayakan kerberkesanan demokrasi; penetapan akaun parti yang sah bagi tujuan derma politik; penghakupayaan akta yang sedia ada bagi mengawal pembiayaan politik; dan mobilisasi dana daripada masyarakat awam (crowd funding) kepada parti politik.

JKNMPP mempunyai masa kurang daripada setahun untuk menyediakan syor kepada pihak Kerajaan bagi memperbaiki kawalan derma politik di Malaysia. MBM akan terus membantu memberi dan mendapatkan input daripada pemimpin belia dan belia akar umbi khususnya yang terlibat dalam politik kepartian bagi disalurkan kepada JKNMPP bagi memastikan masa depan politik Negara yang lebih baik pada masa hadapan.

Penulis secara peribadi amat mengalu-alukan inisiatif yang penting ini bagi memastikan semua parti politik dapat berpencak secara adil dan saksama demi manfaat untuk rakyat memilih pemimpin mereka yang terbaik untuk menerajui pemerintahan Negara. InsyaAllah kita akan dapat melihat secara telus dan jelas para pemberi derma politik, penerima derma politik, jumlah derma politik dan aliran perbelanjaan derma politik. Dengan kejelasan ini akan membantu proses ketelusan bagi mengelakkan sebarang rasuah politik dan pemimpin yang benar-benar layak dan berkredibiliti akan terpilih menerajui Negara. Paling penting perlu ditekankan di sini ialah para penderma di kalangan individu, syarikat, kesatuan sekerja dan entiti masyarakat yang lain bebas menderma kepada parti pilihan mereka tanpa rasa takut dan dikenakan akibat negatif dikemudian hari. Undang-undang akan menjamin hak kebebasan memilih dan menderma mereka selama mana ia dilakukan dengan baik dan telus.

Ini merupakan saat yang genting dan getir bagi Malaysia mempunyai pimpinan Negara yang bersih dan kompeten bagi membawa Malaysia memasuki gerbang Negara maju menjelang tahun 2020 yang tinggal kurang 5 tahun sahaja dari sekarang.

Segala cadangan bertulis boleh disalurkan kepada pihak Sekretariat Majlis Belia Malaysia atau secara langsung kepada:

 

Urusetia JKNMPP

d/a Institut Integriti Malaysia

Email: integrity@iim.org.my

 

atau langsung kepada:

Jufitri bin Joha

Naib Presiden & Ahli JKNMPP

Email: jufitri1979@yahoo.com

 

JKNMPP

Konsultasi Derma Politik

About admin

Leave a Reply

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino