Pelajar pondok terima sumbangan

PASIR MAS – Kebakaran memusnahkan 48 pondok di Madrasah Ad-Diniah Yusufiah, Gelang Mas, Isnin lalu, yang menyebabkan 60 pelajarnya tinggal sehelai sepinggang terus mendapat perhatian pelbagai pihak bagi menghulurkan sumbangan.

Terbaru, Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) dengan kerjasama Pasaraya Mydin dan Kemudi Timur Sdn Bhd menyerahkan bantuan berupa pakaian serta kelengkapan dapur untuk pelajar terbabit.

Wakil Presiden POKB, Mohd Affandi Hassan berkata, sebanyak RM15,000 hasil kutipan derma  berjaya dikumpulkan dalam kalangan ahli bagi membantu meringankan beban terpaksa ditanggung pelajar tersebut.

“Sumbangan peringkat awal ini adalah hasil kutipan derma daripada ahli POKB dan kami terjemahkannya dalam bentuk barangan.

“Selepas ini, kami akan terus salurkan pelbagai lagi bentuk bantuan untuk membantu pelajar yang terlibat,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada wakil madrasah berkenaan, di sini, semalam.

MBM sediakan 200 sukarelawan

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd Syahbudin Hashim pula berkata, pihaknya bersedia mengerahkan sukarelawan untuk membersihkan kawasan pondok yang musnah dalam kebakaran tersebut.

Menurutnya, seramai 200 sukarelawan akan dikerahkan sebaik sahaja mendapat kebenaran pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri untuk berbuat demikian.

“Sukarelawan MBM sudah bersiap sedia dari segi mental dan fizikal untuk digerakkan bagi membersihkan kawasan kebakaran berkenaan,” katanya.

Terdahulu sebelum itu, MBM bersama Persatuan Kebajikan Tahfiz Kelantan (Peketat) turut tampil menghulurkan sumbangan berupa barangan pakaian dan wang tunai.

Mohd Syahbudin berkata, sumbangan tersebut sebagai tanda sokongan pihaknya kepada pelajar yang terlibat dengan kebakaran itu.

“Alhamdulillah, hari ini (semalam) kami turut menyerahkan sumbangan kepada pelajar terbabit dan diharap mereka kuatkan semangat meneruskan pengajian,” katanya.

Pelajar diharap bangkit dengan semangat baharu

Wanita Keadilan Negeri Kelantan turut sama melahirkan rasa simpati dengan nasib menimpa pelajar pondok tersebut.

Ketua Wanitanya, Noraini Husin berkata, pihaknya sangat terkejut dan sedih apabila mendapat perkhabaran mengenai kejadian berkenaan.

“Kami mungkin tidak dapat membantu banyak tetapi diharap dengan bantuan sedikit ini dapat  memberi semangat kepada semua pelajar yang menjadi mangsa kebakaran memulakan kembali kehidupan mereka.

“Diharap mereka tidak mudah putus asa dan bangkit semula dengan semangat baharu untuk menuntut ilmu,” katanya.

Beliau hadir bersama ketua-ketua Wanita Keadilan Cabang menyampaikan sumbangan kepada wakil pondok tersebut.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, kerajaan negeri mahu institusi pondok yang bakal dibangunkan selepas ini menitik beratkan aspek keselamatan terutama ketika berlaku kebakaran.

Katanya, kerajaan negeri menerusi majlis daerah bersedia memberikan khidmat nasihat dan pandangan bagi memastikan pondok yang dibina itu dilengkapi ciri-ciri keselamatan.

“Buat masa ini kita belum kuatkuasakan lagi atas nama pondok, sepatutnya ia perlu mendapat kelulusan daripada kerajaan.

“Namun perkara ini sudah lama tetapi untuk masa akan datang, kita akan kenal pasti langkah-langkah terbaik supaya masalah tersebut dapat diatasi lebih awal,” katanya.

Terdahulu sebelum itu, beliau yang juga Adun Bukit Panau menyampaikan bantuan kepada Pengetua Madrasah Ad-Diniah Yusufiah, Gelang Mas, Awang Yusof.