Home / Artikel / Mendepani Cabaran Kepemimpinan Belia

Mendepani Cabaran Kepemimpinan Belia

Ketika artikel ini di baca, tafsiran Belia ialah merupakan individu yang berumur di antara 15-40 tahun. Peringkat umur belia itu merupakan peringkat umur perubahan dari seorang yang bergantung (dependent) kepada seorang untuk berfikir dan bertindak kepada seorang yang bebas (independent) memimpin dan bersaing. Ianya merupakan peringkat di mana seseorang itu mula menghadapi cabaran yang menuntut ia membuat keputusan tentang kehidupannya. Peringkat usia belia dipenuhi dengan berbagai objektif dan cabaran yang mengkehendaki setiap belia untuk bertindak lebih pantas dan memimpin dengan hebat. Dengan tenaga yang segar, keperluan dan harapan (expectation) yang tinggi maka belia boleh mengubah bukan sahaja kehidupannya sendiri tetapi juga masyarakat dan persekitarannya.

Golongan belia Malaysia adalah merupakan kumpulan demografi yang sangat signifikan dalam menentukan hala tuju pembangunan negara. Belia adalah kelompok terbesar dengan peratus populasi kependudukan hampir 42.0% daripada keseluruhan bilangan penduduk dinegara ini.  Peratusan ini memberikan gambaran bahawa belia merupakan kelompok yang sangat kritikal dari aspek pengurusan dan pembangunan. Untuk menambat hati golongan ini ianya memerlukan pengurusan modal insan yang bersifat holistik dan konkrit supaya belia menjadi aset bernilai kepada negara dan bukannya liabiliti yang perlu ditangani.

Institusi-institusi pertubuhan belia di Malaysia kini memerlukan perubahan yang radikal dan berterusan bagi mengekalkan dan meningkatkan keberkesanan fungsi dalam pembangunan kepimpinan belia. Ianya merupakan wawasan dan agenda penting yang termaktub dalam Dasar Belia Malaysia yang baru dilacarkan Mei 2015 yang antaranya memberi fokus kepada usaha membangunkan kepimpinan belia yang berkualiti, bertaraf dunia bagi memperkembangkan potensi individu sepenuhnya dan memenuhi aspirasi negara

Untuk mengekal dan meningkatkan prestasi serta keberkesanan pertubuhan belia di Malaysia, senario menuntut komitmen dan usaha yang berterusan daripada kepemimpinan belia yang menjadi tonggak utama membentuk dan meningkatkan fungsi dan halatuju kecemerlangan belia sama ada diperingkat glokal dan global. Pemimpin belia yang mempunyai kualiti dalam kepimpinan, berpengaruh, sanggup berkorban untuk kepentingan organisasi, kreatif dalam kepimpinan, berinovasi, dan berkemahiran dalam komunikasi merupakan ciri penting dalam menjana kecemerlangan.

Banyak penyelidikan dengan sokongan pelbagai teori yang membincangkan mengenai pelbagai aspek kepemimpinan dan impaknya terhadap keberkesanan sesebuah pertubuhan dan organisasi telah diperdebatkan sama ada diperingkat nasional mahupun medan antarabangsa.  Kebanyakan teori-teori ini berdasarkan kepada elemen yang hampir sama iaitu memberi fokus kepada aspek-aspek kepemimpinan yang dapat mempengaruhi keberkesanan terhadap pertubuhan. Namun, terdapat tiga teori kepemimpinan yang menjadi tunjang kepada teori kepemimpinan iaitu kepemimpinan TRANSAKSI, kepemimpinan LAISSEZ-FAIRE dan kepemimpinan TRANSFORMASI.

KEPEMIMPINAN TRANSAKSI

Kepemimpinan Transaksi menumpukan kepada pertukaran faedah antara pemimpin dan subordinat. Di dalam kepemimpinan ini, pemimpin akan memberi ganjaran kepada subordinat berdasarkan kepada gaya tertentu seperti mencapai objektif yang ditetapkan oleh pertubuhan dan memberi hukuman di atas kegagalan.

Di dalam aspek kepimpinan Transaksi, menyatakan bahawa kepimpinan Transaksi memotivasikan subordinat melalui penghargaan atau tindakan terhadap kejayaan atau kegagalan. Ianya bertujuan untuk memotivasikan subordinat dalam usaha meningkatkan tahap dan kualiti kerja bagi mencapai matlamat organisasi.  Kepemimpinan Transaksi dibahagikan kepada dua komponen iaitu ganjaran luar jangka (pemimpin memberi ganjaran atau mengambil tindakan disiplin  terhadap pencapaian subordinat) dan pengurusan secara pengecualaian (menjelaskan apa yang patut dicapai dan dielakkan dan ganjaran yang akan diterima)

Kepemimpinan yang mengamalkan pengurusan pengecualian akan hanya mengambil tindakan jika subordinat gagal mencapai matlamat yang telah dipersetujui. Kepemimpinan yang menerima kaedah kerja tradisional dan membiarkan subordinat melaksanakan kaedah tersebut tanpa mempengaruhi subordinat melaksanakan kaedah baru adalah merupakan pemimpin yang mengamalkan pengurusan pengecualian

.

KEPEMIMPINAN LAISSEZ-FAIRE

Kepemimpinan Laissez-Faire memperlihatkan kepemimpinan yang tidak aktif dan kurangnya interaksi antara pemimpin dan subordinat. Kepemimpinan Laissez-Faire juga merujuk kepada kepemimpinan pengelakan atau pasif kerana ianya mempunyai korelasi yang tinggi antara faktor tersebut dengan pengurusan pengecualian. Kajian menunjukkan pengurusan

pengecualian cenderung kepada hubungan yang negatif dengan kepemimpinan Transformasi dan Transaksi. Secara keseluruhan kepemimpinan jenis ini tidak berkesan dalam kebanyakan situasi kepemimpinan dalam organisasi

KEPEMIMPINAN TRANSFORMASIONAL

Teori kepemimpinan transformasional merupakan pendekatan teori yang cuba untuk memperbaharui teori kepemimpinan. Kepemimpinan transformasional menumpukan kepada aspek karismastik, visi dan kepemimpinan inspirasi. Kepemimpinan Transformasi merujuk kepada proses di mana pemimpin berusaha mempengaruhi subordinat bagi meningkatkan motivasi dan kesetiaan mereka terhadap organisasi

Kepemimpinan Transformasi merupakan gaya kepemimpinan yang berusaha untuk memotivasikan subordinat dengan cara meningkatkan tahap keprihatinan mereka terhadap kepentingan pencapaian matlamat organisasi. Kepemimpinan Transformasi berusaha mencapai matlamat-matlamat pertubuhan di samping matlamat yang bersifat peribadi. Teori kepemimpinan transformasional melihat kepentingan aspek emosi dalam hubungan antara pemimpin dan subordinat dalam usaha untuk meningkatkan pencapaian matlamat organisasi.

Terdapat lima dimensi kepemimpinan transformasi iaitu; karismatik, peningkatan motivasi, pertimbangan individu, pembangunan intelektual dan toleransi secara individu .

KARISMATIK

Dimensi pertama kepemimpinan belia merujuk Kepemimpinan karismatik memfokuskan kepada keunggulan pemimpin dan menjadi role model rujukan melalui gaya berhemah yang ditunjukkan. Sikap dan kebolehan yang sedemikian menimbulkan rasa hormat dan menjadi sanjungan subordinat. Kepemimpinan karismatik pemimpin belia yang diperlihatkan melalui gaya akan menumpukan kepada usaha-usaha untuk menonjolkan dirinya melalui gaya yang konsisten, berterusan dan meyakinkan. Dalam masa yang sama akan menyesuaikannya dengan misi pertubuhan dalam usahanya untuk memotivasikan subordinat contohnya menguasai  kemahiran berkomunikasi sama ada secara lisan atau bukan lisan dan berhujah dengan fakta. Selain itu, kepemimpinan karismatik cenderung menunjukkan gaya bermoral, berintergriti dan beretika bagi memperoleh rasa hormat dan kepercayaan subordinat.

PENINGKATAN MOTIVASI

Dimensi kedua dalam kepemimpinan Transformasi ialah peningkatan motivasi iaitu suatu proses dorongan kepada pelaksanaan tugas-tugas penting oleh subordinat seperti menggalakan semangat berpasukan, perletakkan pencapaian berprestasi meletakkan tinggi terhadap pencapaian matlamat pertubuhan. Selain itu, berkomunikasi dalam suasana yang bertenaga dan meyakinkan adalah juga merupakan usaha untuk memotivasikan subordinat. Kepemimpinan Transformasi juga mempamerkan sikap yang optimis dan bersemangat dalam usaha mereka untuk menanam dan menyemaikan visi pertubuhanke dalam diri subordinat. Hal yang demikian adalah merupakan cluster penting kepemimpinan Transformasi dalam dimensi peningkatan motivasi. Dalam pada itu, kepemimpinan Transformasi berusaha mendorong subordinat dalam perkongsian visi dan misi pertubuhan. Kepemimpinan jenis ini akan sentiasa menggunakan simbol-simbol dan pengaruh melalui aspek emosi untuk mendorong dan mempengaruhi subordinat. Selain itu, mereka akan mendahulukan kepentingan pertubuhan daripada kepentingan peribadi.

PERTIMBANGAN INDIVIDU

Dimensi ketiga kepemimpinan Transformasi ialah pertimbangan individu, iaitu melihat subordinat sebagai individu yang mempunyai kebolehan dan kemampuan yang berbeza dan memberi perhatian kepada keperluan pembangunan subordinat. Kepemimpinan ini akan berkomunikasi, mendengar dan memantau subordinat sebagai seorang individu bukannya sebagai kumpulan dalam pertubuhan untuk menilai dan menentukan aspek-aspek pembangunan diri yang perlu diberi perhatian dan pertimbangan. Dalam masa yang sama akan memberi tumpuan kepada usaha mendapat maklum balas bagi menyesuaikan dengan keperluan subordinat dan misi pertubuhan.

PEMBANGUNAN INTELEKTUAL

Pembangunan intelektual adalah merupakan dimensi keempat dalam kepemimpinan Transformasi. Dalam dimensi ini, kepemimpinan Transformasi berusaha mendorong subordinat untuk berfikir secara kritikal, mengambil risiko, bersikap kreatif dan inovatif dalam usaha menyelesaikan masalah dalam organisasi. Kepemimpinan ini lebih bersifat membantu, memberi sokongan dan mempunyai pemikiran yang kreatif terhadap subordinatnya sebagai contohnya mereka akan berusaha menjana kemahiran berfikir secara kreatif dan inovatif di kalangan subordinat dengan cara menimbulkan beberapa persoalan untuk diselesaikan. Selain itu, kepemimpinan ini juga berusaha membina pemikiran bersifat kreatif imaginatif dan penilaian semula aspek-aspek nilai dan kepercayaan

TOLERANSI INDIVIDU

Dimensi kelima kepemimpinan Transformasi ialah toleransi individu, iaitu melihat subordinat sebagai individu yang mempunyai potensi dan kemampuan yang berbeza dan memberi perhatian kepada keperluan pembangunan subordinat. Kepemimpinan ini akan berkomunikasi, mendengar dan memantau subordinat sebagai seorang individu bukannya sebagai kumpulan dalam pertubuhan untuk menilai dan menentukan aspek-aspek pembangunan diri yang perlu diberi perhatian dan pertimbangan. Dalam masa yang sama akan memberi tumpuan kepada usaha mendapat maklum balas bagi menyesuaikan dengan keperluan subordinat dan misi pertubuhan.

Kepemimpinan belia merupakan satu matlamat yang tergubal atas inspirasi dan jangkaan bahawa negara akan menghadapi cabaran yang semakin kompleks dan getir di masa hadapan. Pemimpin belia perlu mempunyai cita murni dalam usaha menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan Negara. Pemimpin belia sebagai pendukung cabaran haruslah bersedia menabur bakti serta menyumbangkan dan memelihara perpaduan serta membentuk tamadun manusia yang berkualiti dan memajukan Negara seterusnya merealisasikan hasrat besar negara iaitu misi mencapai Wawasan 2020 demi mewujudkan tamadun baru yang murni di alaf mendatang.

RIZAN HASSAN

Ketua Penerangan

Majlis Belia Malaysia

5 Ogos 2015; Kota Pariaman, Sumatera Barat, Indonesia

 

Nota: Selamat Datang kepada semua perwakilan badan gabungan MBM ke Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan (MPAT) Ke-64

About admin

Leave a Reply