Home / Antarabangsa / Pemimpin Bergasak, Yaman Bergolak
Jufitri Joha, Naib Presiden MBM

Pemimpin Bergasak, Yaman Bergolak

oleh JUFITRI JOHA, Naib Presiden MBM

Yaman menyertai Syria semula dalam senarai Negara Asia Barat yang bergolak. Ketika Dunia masih buntu dengan perang saudara di Syria yang sudah masuk tahun ke-4, Yaman menambahkan lagi duka dunia apabila perang saudara meletus pada Mac 2015 yang lepas akibat sengketa dan dendam. Yaman dan Syria (Syam) adalah dua tempat yang didoakan keberkatan oleh Nabi S.A.W. namun akibat kerakusan dan ketamakan kuasa rakyat kedua-dua Negara terpaksa membayar harga yang tinggi untuk menikmati harga keamanan.

Ali Abdullah Soleh, Presiden Yaman yang digulingkan pada fasa kebangkitan rakyat Yaman menyimpan dendam dan seolah-olah bersumpah akan memastikan penggantinya akan tidak akan dapat memerintah dengan aman. Kerana dendam kesumat yang meluap-luap menyebabkan peluang berkuasa selama 33 tahun dianggap tidak memadai. Pemerintahan selama 33 tahun tidak membawa Yaman kea rah yang lebih maju bahkan rakyat Yaman terus berada dalam takuk kemiskinan. Pengangguran amat tinggi di Yaman mencecah 18 peratis dan hanya lebih kurang 55 peratus mendapat akses kepada air bersih dan selamat. Ini meletakkan Yaman di tangga 154 dalam ranking Pembangunan Kemanusiaan Dunia.

Pemimpin Bergasak Yaman Bergolak

Kerana dendam ini juga Ali Abdullah Soleh sanggup berpakat dengan puak Houthi dan 95 peratus askar Yaman khusus Jeneral-Jeneral yang masih setia dengannya menggulingkan semula Kerajaan Abdul Rabbuh Mansur sehingga terpaksa memerintah dalam buangan di Riyadh. Rabbuh terpaksa lari ke Riyadh menyebabkan rakyat Yaman marah kerana ketika rakyat berada dalam saat-saat sukar Presiden mereka angkat kaki membiarkan rakyat terkontang-kanting. Terdahulu sebelum lari melalui jalan laut ke Riyadh, Rabbuh telah lari meninggalkan ibukota Yaman Sanaa menuju ke Kota Pelabuahan Aden apabila Houthi menguasai ibukota tersebut.

Tambah memburukkan perang saudara ini apabila Saudi melancarkan beberapa siri serangan udara menyasarkan pihak Houthi yang memberontak terhadap Kerajaan sah pilihan rakyat. Saudi bimbang dengan kebangkitan Houthi yang dikaitkan dengan Syiah dan Iran yang sedang bersaing merebut pengaruh di rantau Asia Barat. Iran telah dituduh mendanai dan membekalkan senjata kepada pihak Houthi. Justeru, perang saudara Yaman juga seolah-olahnya tidak dapat lari daripada perang proksi dan pertelingkahan mazhab Sunni-Syiah sebagaimana yang berlaku di Iraq dan Syria. Mungkin inilah yang dinanti-nantikan oleh pihak-pihak tertentu yang mahukan umat Islam terus berpecah dan menghabiskan banyak masa menyelesaikan masalah dalaman sehingga tidak mempunyai masa membina Negara dan tamadun bagi menyumbang kepada kegemilangan umat.

Saudi menyerang namun yang peliknya tidak membuka sempadannya untuk memberikan perlindungan kepada rakyat Yaman yang tidak berdosa. Setakat ini, Houthi berjaya menguasai kawasan utara. Sokongan rakyat Yaman berbelah bagi antara Houthi dan Saudi. Sebahagian rakyat Yaman menganggap serangan udara Saudi adalah baik walaupun melibatkan rakyat Yaman yang terkorban kerana sanggup melawan pemberontak yang mencetuskan huru-hara di Yaman namun ada juga sebahagian rakyat Yaman yang menentang Saudi kerana ahli keluarga mereka terkorban disebabkan serangan udara Saudi.

Diskusi Perang Yaman

Yaman yang merupakan antara Negara termiskin di rantau teluk ini akan terus menderita dengan perang saudara yang tidak diketahui penamatnya. Budaya kabilah yang berpuak-puak yang masih berakar umbi di Yaman menyebabkan perang saudara bertambah komplikated dan sukar mencapai suara perdamaian. Sesebuah Bandar di dalam Yaman biasanya dikuasai oleh 2 atau 3 puak-puak terbesar yang mempunyai wilayah pengaruh masing-masing. Terkadang puak-puak ini lebih berkuasa daripada pihak polis dan tentera Yaman sendiri. Yaman yang kaya dengan pelbagai khazanah sejarah dan kebudayaan akan terus musnah jika perang berlarutan.

Sudah tentu yang menjadi mangsa utama adalah rakyat Yaman yang terpaksa lari mendapatkan perlindungan sehingga ke luar Negara seperti ke Djibouti. Semua jalan udara telah lumpuh yang ada hanyalah jalan darat yang berisiko. 224 rakyat Yaman juga turut terkandas di Malaysia apabila semua penerbangan masuk ke Yaman dibatalkan akibat risiko perang. Malaysia juga dijangka menerima tempias kebanjiran pelarian Yaman yang lari untuk mendapatkan perlindungan sebagaimana lebih ribuan pelarian Syria yang lari ke Malaysia. Pelarian Yaman ini dijangka menambahkan lagi angka keseluruhan pelarian di dunia yang mencecah 59.5 juta pada 2014. Peningkatan 16 peratus berbanding 2013 dan 60 peratus berbanding 10 tahun lalu. Ia mencatat sejarah apabila menjadi jumlah tertinggi perlarian semenjak 1950 menurut Pesuruhjaya Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR), Antonio Guterres. Angka ini jika terus meningkat dan usaha tidak dilakukan untuk menamatkan perang di Yaman, maka akan mengundang petaka yang lebih dahsyat kepada kestabilan dan keamanan dunia. Senario terkini menyaksikan sudah ada 1 juta pelarian Yaman dengan 1000 kematian.

Lebih memburukkan juga kehadiran kumpulan UnIslamic State (IS) yang bakal mendapat simpati yang lebih besar kerana mereka menjadi antara harapan terbesar umat Islam Yaman khususnya di bahagian Selatan sebagai kumpulan yang kelihatan terkehadapan menentang Houthi bahkan menentang Barat khususnya Amerika yang menjadi pendokong Rabbuh. IS akan menangguk di air yang keruh. IS akan meneruskan pengeboman dan penentangan terhadap Houthi dan keadaan ini menyumbang kepada keadaan yang lebih buruk. Namun apa pilihan yang tinggal kepada rakyat Yaman kecuali terpaksa membuat pilihan menyokong mana-mana pihak yang dilihat memberi harapan penghidupan kepada mereka.

Mungkin Peace Talk di Geneva pada pertengahan Jun ini di antara Houthi, Kerajaan Buangan Rabbuh, wakil Ali Abdullah Saleh dan beberapa pihak pembangkang diharap memberikan harapan baru namun sudah tentu situasi kedamaian sukar dicapai jika masing-masing berkeras. Persoalannya mengapa di Geneva? Sepatutnya OIC mengambil peranan ini namun ianya tinggal harapan.

Bimbang perkara ini berlarutan, Majlis Belia Malaysia (MBM) yang tampil dengan agenda advokasi MBM in Business (MIB) amat prihati dan komited untuk menghentikan peperangan khususnya di Yaman. MBM tidak mahu perang berlarutan dan berpanjangan sebagaimana Syria, Libya dan Iraq. Presiden MBM, saudara Mua’amar Ghadafi juga telah mengeluarkan kenyataan media bertarikh 17 Mei 2015 menyambut baik gencatan senjata Arab Saudi agar serangan udara Saudi tidak akan menambah bilangan rakyat Yaman yang tidak berdosa terkorban dan menggesa pihak-pihak bertelagah untuk berunding di meja mencari penyelesaian.

Justeru MBM telah bersama-sama Malaysian Humanitarian Movement (MHM), Malaysian Young Volunteer Leaders (MyCORPS), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menganjurkan sidang diskusi di Pusat Belia Antarabangsa (IYC) Cheras pada 17 Jun 2015 yang lepas bagi membincangkan senario terkini perang di Yaman dan isu kemanusiaan dan pelarian yang menjadi keprihatinan MBM. MBM turut menjemput pertubuhan kemanusiaan seperti Global Peace Mission (GPM) Malaysia dan Aman Malaysia bagi memberikan pandangan membantu meringankan beban pelarian, mangsa perang dan rakyat Yaman yang terkandas di Malaysia akibat perang.

Diskusi telah merumuskan keperluan:

  • MBM terus berperanan dalam aspek advokasi untuk menghentikan peperangan di Yaman dengan mendesak Kerajaan Malaysia selaku Ahli Bukan Tetap Majlis Keselamatan PBB memikirkan sesuatu inisiatif bersama masyarakat dunia untuk menghentikan peperangan;
  • MBM akan mengambil kesempatan yang ada di mana-mana program-program MBM untuk menerangkan senario sebenar yang berlaku di Yaman bagi meningkatkan kesedaran belia dan masyarakat tentang isu ini dan membenci peperangan yang memusnahkan masa depan generasi muda;
  • Ngo kemanusiaan diseru agar terus memberikan bantuan dan dokongan kepada pelarian, internally displaced people (IDP), mangsa perang dan rakyat Yaman yang terkandas di Malaysia; dan
  • Rakyat Malaysia untuk mendoakan agar Allah mengembalikan keamanan kepada Yaman dan Negara-negara Asia Barat dan Arab yang sedang bergolak.

About admin

Leave a Reply

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino