Home / Artikel / Analisis Wacana Terus Terang MBM Siri 3 – MENELUSURI DASAR BELIA MALAYSIA: RELEVANKAH DEFINISI UMUR 15-30 TAHUN?

Analisis Wacana Terus Terang MBM Siri 3 – MENELUSURI DASAR BELIA MALAYSIA: RELEVANKAH DEFINISI UMUR 15-30 TAHUN?

Oleh: Jufitri bin Joha

Naib Presiden MBM

Wacana pada kali menampilkan Profesor Madya Dr. Azizan Bahari, Pensyarah Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) yang juga merangkap mantan Setiausaha Kerja MBM tahun 70an yang luas pengalamannya. Beliau bukan sahaja akademia yang hanya beraksi di bilik-bilik kuliah tapi seorang aktivis belia dan komuniti yang menyantuni rakyat di akar umbi. Tentulah beliau merupakan orang yang paling cocok untuk membahaskan Dasar Belia Malaysia (DBM) semakan 2015) kerana beliau merupakan antara kumpulan penulis Dasar Belia yang pertama dan kedua ketika bersama MBM. Malaysia antara negara terawal mempunyai dasar belia yang tersendiri bahkan lebih awal daripada sesetengah negara-negara maju yang dijadikan penanda aras oleh pihak-pihak tertentu. Malahan ada juga negara-negara yang tidak mempunyai polisi belia tersendiri.

DBM sepatutnya disemak setiap 5 tahun sekali namun usaha terkini wajar diberikan kredit kerana DBM kali terakhir disemak ialah pada 1997 yang pada ketika itu dikenali sebagai Dasar Pembangunan Belia Negara (DPBN) setelah kali pertama dijelmakan pada 1985. Semakan berkala 5 tahun sekali perlu bagi memastikan dasar tersebut sentiasa releven dengan kehendak dan perubahan semasa. Di Negeri Sembilan, belia di sana mempunyai dasar belia yang disemak setiap 5 tahun sekali yang dinamakan Rancangan Pembangunan Belia Negeri Sembilan (RPBNNS) bagi memastikan relevensinya. DBM yang disemak kali ini kelihatan lebih komprehensif dan zoom in berbanding DBM sebelum ini yang lebih bersifat umum. Secara umum DBM Pindaan 2015 bermatlamatkan mendidik belia sebagai warganegara yang efektif; penyerlahan potensi belia; dan memperluaskan akses kepada bidang keutamaan serta inisiatif pembangunan belia untuk dimanfaatkan oleh kesemua kumpulan sasaran.

Walaupun DBM mempunyai banyak elemen-elemen yang wajar diperdebatkan seperti cabaran belia, konsep DBM, kumpulan sasaran belia dan bidang keutamaan belia namun isu definisi baru umur belia  iaitu 15 sehingga 30 tahun menjadi topik hangat yang mengundang keresahan dan perdebatan pemimpin belia di semua peringkat. MBM secara umumnya bersetuju dengan apa yang termaktub dalam DBM kerana majoriti kandungannya baik kecuali pada definisi umur belia kerana mengambil kira realiti yang berlaku pada pertubuhan belia di akar umbi. Namun MBM tetap sedia menghadapi pelbagai kemungkinan termasuk mempersiapkan 300 pemimpin muda di bawah 30 tahun bahkan di bawah 25 tahun menjelang penguatkuasaan umur di bawah 30 tahun menjelang 2018 di bawah Agenda MBM in Business (MIB). Selain itu MBM dilihat sudah bersedia mencadangkan pelbagai soft landing untuk pemimpin MBM dan pertubuhan belia yang melepas 30 tahun pada tahun 2018 dengan menggerakkan agenda kerja belia profesionalisme seperti yang termaktub dalam DBM.

Dr. Azizan memulakan wacana dengan melontarkan persoalan definisi umur belia ini sama ada mengikut definisi Kerajaan atau mengikut kehendak majoriti belia di lapangan sedangkan salah satu daripada 3 teras DBM jelas menyebutkan “Dari Belia untuk Belia”. Justeru aspirasi DBM harus dipunyai secara keseluruhan oleh belia dan MBM dan bukannya yang dipaksakan oleh Kerajaan. Definisi baru umur beliau harus tidak kelihatan memenuhi kehendak dan kepentingan Kerajaan tetapi ianya harus dating daripada aspirasi dan kehendak belia. Dengan tidak menafikan keperluan perlaksanaan definisi 15 sehingga 30 tahun dikuatkuasakan tetapi biarlah diberikan masa yang lebih panjang iaitu dalam jangka masa 10 tahun agar transisi berlaku secara beransur-ansur (incremental) dan licin tanpa unsur-unsur yang dipaksakan secara pantas. Apa yang menarik definisi umur belia dan dasar belia sebelum ini banyak dilihat daripada kacamata Kerajaan yang lebih memenuhi aspek dan kehendak ekonomi negara sebagai mana yang diungkapkan oleh Dr. Asnarulkhadi Abu Samah (2009) dalam makalahnya Kelompangan Dasar Belia Negara,

“Satu hakikat yang tidak dapat dinafikan, dasar belia ini seperti dasar sosial lain yang diperkenalkan boleh dianggap sebagai satu instrumen penting kerajaan bagi menyokong dasar ekonomi yang sedia ada untuk memacu tenaga manusia muda ke arah menjana pertumbuhan ekonomi agar matlamat pembangunan dapat dicapai”.

Definisi umur belia juga wajar dilihat daripada kacamata pelbagai sama ada daripada sudut undang-undang, psikologi, biologi dan sosio budaya masyarakat setempat. Definisi umur baru belia harus disandarkan pada hujah-hujah yang kuat dan bukan sekadar menjadikan amalan antarabangsa terbaik sebagai hujah paling utama kerana ia kelihatan sebagai hujah simplistik. Hanya kerana Australia menempati ranking pertama Indeks Pembangunan Belia di peringkat Dunia dan Komanwel pada 2013 maka Malaysia wajar menjadikan ia sebagai the best practice sedangkan Malaysia sebetulnya wajar mencari the big practice yang beracuankan realiti dan uruf (budaya) setempat di Malaysia. Ia juga menggambarkan keyakinan diri Malaysia dalam mendefinisikan takrifan umur belianya yang tersendiri tanpa menyandarkannya daripada amalan antarabangsa. Kita tidak menafikan kepentingan merujuk kepada amalan antarabangsa namun ianya bukanlah menjadi dalil pertama kepada takrifan baru umur belia tersebut.

DBM merupakan domain MBM seperti yang ditegaskan oleh Dr. Azizan namun kelihatan DBM masih bersifat top down. Sewajarnya proses semakan DBM mendapat rundingan dan konsultasi belia yang lebih luas khususnya melalui sesi town hall di setiap negeri. Pada masa hadapan MBM wajar diberikan lebih autonomi untuk mengendalikan proses semakan DBM dengan difasilitasi oleh Kementerian Belia agar DBM benar-benar mewakili hasrat belia di semua peringkat dan lapisan.

Untuk proses perubahan takrifan umur yang beransur-ansur dan diterima maka definisi 15 sehingga 35 tahun adalah yang terbaik dengan mengambil masa 7 tahun masa yang stabil selepas umur 28 tahun. Selepas stabil dengan perkahwinan, kerjaya dan pembinaan hidup maka seseorang pemimpin belia mempunyai masa 5 ke 7 tahun untuk membina karisma dan mengasah bakat kepimpinan dengan mengemudi pertubuhan belia untuk berkhidmat kepada belia dan masyarakat. Selepas 5 ke 10 tahun maka barulah percubaan definisi baru umur 15 sehingga 30 tahun boleh dilaksanakan sebelum takrifan yang lebih menepati definisi PBB iaitu di bawah 24 tahun. Sunnah perubahan beransur-ansur harus diraikan agar perubahan berlaku secara baik dan lancer. MBM harus terus komited mencungkil bakat-bakat muda untuk ditonjolkan manakala pemimpin belia senior yang baik adalah yang tahu bila mereka wajar berhenti dan menyerahkan baton pada yang muda.

About admin

Leave a Reply