Home / Artikel / Inovasi sosial: Citra baru anak muda Malaysia
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin bersama para belia pada majlis Sambutan Hari Belia Negara 2015 dan Pelancaran Dasar Belia Malaysia semalam. - Foto Bernama

Inovasi sosial: Citra baru anak muda Malaysia

 SAMBUTAN Hari Belia disambut setiap 15 Mei saban tahun oleh anak muda baik di peringkat kampung, daerah, negeri mahupun negara.

Hari Belia ini bukan sahaja diraikan dengan balas membalas ucapan, acara gah penghargaan dan apresiasi gerak kerja kebeliaan yang disempurnakan oleh kepimpinan negara mahupun sebaran poster pemimpin belia dengan gambaran aktivismenya yang mungkin diviralkan di Facebook atau sosial media semata-mata.

Persoalannya, adakah belia yang berjumlah lebih 12 juta di Malaysia tahu akan kewujudan tarikh hari Belia ini? Hal ini tidak mustahil kerana pada bulan Mei setiap tahun terdapat banyak sambutan hari keraian yang ingin disambut oleh warganegara daripada sambutan Hari Guru sehinggalah kepada Hari Bomba dan Hari Jururawat.

Namun begitu, apa yang lebih penting adalah bagaimana pemegang taruh (stakeholder) yang terlibat dengan aktiviti penghakupaya belia Negara meletakkan keazaman, iltizam mahupun perspektif yang betul dan tepat kepada anak muda masa ini? Lihat sahaja kepada dasar dan program yang dikhususkan dan disajikan kepada generasi Y dan Z ketika ini!

Perlu diingat, melihat kepada kerencaman aktivisme anak muda masa kini yang pelbagai dan rencam memerlukan perhatian yang lebih tajam oleh pembuat dasar agar mereka ini benar-benar menyelami terus ke lubuk dasar dan bukan hanya bermain dan berpijak hanya di permukaan.
Anak muda hari ini lebih tertarik untuk ‘inventing themselves’ oleh kerana kebergantungan mereka tidak lagi hanya kepada kerajaan, institusi dan sistem yang dilihat tidak lagi menjadi keutamaan dan sandaran.

Mungkin bagi mereka yang tidak biasa bergelumang dengan realiti anak muda akan terkejut dengan fenomena ini. Trend ini bukan sahaja berlaku di dalam negara tetapi ianya telah menjadi budaya global yang diterima dan terbukti memberi kesan dan impak tertentu kepada sosio-ekonomi-politik sesebuah negara.

Sebagai contoh, golongan ini mempunyai kepercayaan dan keyakinan bahawa kelulusan dan kejayaan yang diukur melalui ujian dan peperiksaan samada di sekolah mahupun di universiti bukan lagi menjadi sasaran dan matlamat utama buat mereka.

Kenapa? Asalkan ;bakat individu’ yang dipupuk, disemai dan mendapat bimbingan yang betul boleh menjadikan individu itu lebih hebat daripada mereka yang mempunyai pointer 3.85. Jangan terkejut, kelompok ini semakin membesar dan mempunyai kekuatan yang tersendiri.

Nah, jika pemegang taruh (stakeholder) ini tahu dan benar-benar berada di lubuk dasar maka mereka akan lebih menghargai dan meraikan kepelbagaian yang ada ini. Oleh yang demikian, pendekatan Majlis Belia Malaysia (MBM) dalam konteks menyambut Festival Hari Belia 2015 pada tahun ini dilihat signifikan, tepat dan seize the moment! dengan trend semasa walaupun penulis berkeyakinan MBM masih mengekalkan ‘status quo’ dengan tidak mengabaikan pendekatan tradisional gerak kerja kebeliaan seperti yang diamalkan sebelum ini.

Justeru, penganjuran Festival Belia Putrajaya 2015 yang bertemakan ‘Showcase of Talent’ dilihat kena dengan masanya. Inovasi Sosial (IS) merupakan usaha MBM untuk mengetengahkan citra, idea, daya kreativiti dan pendekatan kreatif bagi menyerlahkan bakat dan potensi anak muda sebagai usaha menggalakkan penglibatan aktif mereka dalam pembangunan negara.

Inovasi Sosial adalah medium terbaik untuk menghakupaya anak muda dalam pelbagai konteks. Sebagai contoh, bidang keusahawanan (start-up) boleh sahaja dimulakan sejak anak muda itu masih berada di bangku sekolah lagi dan mereka juga sudah mulai mendapat pendapatan sejak dari kecil lagi. Nah, perlu diingat bahawa IS merupakan kepakaran yang bukan dimiliki sekolah atau institusi tetapi ianya amat bermakna dan merupakan aset penting kepada setiap individu.

Tambahan pula, persoalan berkenaan sosial inovasi amat tepat dan releven untuk dibincangkan, diwacanakan dan dijadikan sebagai agenda bertindak bersama anak muda Malaysia. IS merupakan kaedah proaktif bagi mendekati dan menyantuni anak muda oleh kerana setiap individu itu mempunyai bakat, minat dan kecenderungan.

Justeru, perlu ada sistem sokongan dan peluang untuk mereka lebih mandiri seterusnya meningkatkan keupayaan mereka untuk drive themselves dan explore segala ruang dan kemungkinan. Namun begitu, dalam kita menempuh cabaran globalisasi dan era baru dunia tanpa sempadan ketika ini, apakah ruang yang kita sediakan untuk mereka?

Oleh yang demikian, suntikan elemen inovasi sosial dalam pertubuhan belia akan memberikan penampilan baru yang lebih segar dan menarik bagi menarik seramai mungkin anak muda untuk terlibat dalam agenda rasmi berpersatuan. Jika tidak, mana-mana persatuan yang dilihat masih mengekalkan status quo dan ciri tradisional yang tidak menghargai dan mengiktiraf kreativiti, pemikiran kritis sudah tentu akan menzahirkan kelesuan dan kebosanan kepada anak muda yang ingin berkarya dan berekspresi.

Lantaran itu, sinergi gabungan baru dengan pengamalan tradisi lama yang terbukti berkesan (aspek pengurusan dan kepimpinan) dan perkara baru (inovasi sosial) akan memberikan impak yang positif.Perubahan ini juga bakal mencipta nilai tambah dengan perubahan ‘approach’ kaedah dengan masih mengekalkan nilai-nilai baik yang telah ada dalam agama dan budaya.

Tidak mustahil jika dilaksanakan, MBM boleh berperanan sebagai model start-up baru gerak kerja kebeliaan anak muda di Malaysia dengan menubuhkan Pusat Inovasi dan Bakat Malaysia untuk meraikan bakat dalam melaksanakan aktiviti start-up ini.
Selamat Hari Belia! Dari Belia Untuk Belia! Hidup Biar Berjasa!
Read more: http://bm.therakyatpost.com/kolumnis/2015/05/16/inovasi-sosial-citra-baru-anak-muda-malaysia/#ixzz3aGm6HYmA

About admin

Leave a Reply