MINGGU INI, sejak tiga hari lalu, Majlis Belia Malaysia (MBM) dan 39 badan gabungannya berkampung untuk melaksanakan kewajipan menjalankan mesyuarat agung, dan yang paling dinanti-nantikan ialah pemilihan exco baru untuk sesi dan penggal baru.

MBM dan 13.37 juta belia Malaysia juga bakal menerima Presiden baru yang bakal mencorak perjalanan pergerakan dan pembangunan belia Malaysia untuk sekurang-kurangnya beberapa tahun menjelang tahun 2020.

Mesyuarat dan pemilihan MBM ini juga berlangsung di saat kontroversi pendefinisian semula takrifan umur belia daripada antara 15-40 tahun kepada 15-30 tahun, di mana kelihatan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bersungguh-sungguh mendesak untuk menguatkuasakannya secepat mungkin.

Kebiasaannya mesyuarat agung MBM amat meriah dan lebih meriah serta sensasi lagi apabila ianya merupakan tahun pemilihan.

Seluruh perwakilan daripada badan gabungan sedang membuat perkiraan dan percaturan masing-masing untuk mencuba nasib mempertaruhkan calon masing-masing untuk berkhidmat demi kebaikan MBM dan belia khususnya, serta negara amnya.

Sudah tentu fokus diberi kepada jawatan Presiden kerana sekurang kurang ada dua calon menginta jawatan paling penting dalam hirarki kepimpinan belia negara itu.

Penyandang jawatan Presiden MBM, saudara Maliki Rapiee sudah pasti telah melakukan yang terbaik. Beliau telah meninggalkan legasi yang baik di kala umurnya menjangkau 40 tahun yang sekaligus menghilangkan kelayakan beliau untuk meneruskan kepimpinan.

Maliki mempunyai gaya kepimpinan yang lebih intelek memandangkan beliau berlatarbelakangkan akademik dan sedang melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah atau PhD.

Beliau kelihatan terbuka dalam dan meraikan kepelbagaian dan kerencaman ideologi serta pendirian.

Sudah menjadi tradisi MBM di bawah Maliki mahupun barisan presiden sebelumnya kelihatan pro kerajaan dan pemerintah.

Namun Maliki kelihatan terbuka menerima kepelbagaian badan gabungannya seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Young Buddhist Movement (YBM) yang mempunyai pendirian yang sedikit berbeza dalam pelbagai isu belia dan nasional.

Perbezaan dan kepelbagaian inilah yang menjadikan MBM lebih utuh, unik, merakyat dan membelia.

Sudah tentu kejayaan Maliki didokong oleh Setiausaha Agungnya saudara Zaidi Aziz. Setiausaha adalah the conscience of the organization.

Gandingan mereka mewariskan sebuah MBM yang kuat dan bebas hutang yang memudahkan kepimpinan seterusnya mengemudi pertubuhan ke hadapan tanpa perlu pening kepala memikirkan beban masa lampau. Bahkan era Maliki-Zaidi menyaksikan lebihan sumber kewangan yang jarang-jarang berlaku sebelum ini.

Struktur organisasi dalaman diperkemaskan sehingga MBM berjaya mewujudkan sebuah arkib bagi memulihara khazanah dan sejarah pergerakan belia yang paling berpengaruh di Malaysia serta menjaga kebajikan staf yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan setiap program MBM.

Regu Maliki-Zaidi turut mewariskan jaringan dan hubungan yang baik dengan agensi-agensi Kerajaan, bahkan meluaskan kerjasama merentas partner tradisi iaitu Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

MBM telah mula merentas kerjasama yang lebih luas dengan kementerian lain seperti Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat, serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaaan (KPDNKK).

Pencapaian Maliki yang paling bermakna bagi penulis ialah apabila MBM berjaya memfasilitasi penubuhan Majlis Belia Orang Asli di bawah pimpinan saudara Clive Allen William Hunt.

MBM, dengan penubuhan Majlis Belia Orang Asli itu, berjaya membawa dan mengangkat suara kelompok rentan (minoriti), iaitu belia Orang Asli yang sejak sekian lama terpinggir, sehingga mendapat satu platform rasmi yang diiktiraf oleh pergerakan belia serta Kerajaan.

Bagaimanapun, Maliki masih belum dikira hebat jika pengganti beliau seterusnya tidak sehebat beliau kalaupun tidak jauh lebih hebat daripadanya.

Ini memerlukan masa untuk dibuktikan. Pemimpin yang hebat melahirkan pelapis yang hebat.

Sudah tentu pengganti beliau turut berhadapan tugasan besar untuk meneruskan tradisi kejayaan ini dalam mengangkat martabat generasi muda Malaysia.

MBM memerlukan saf kepimpinan yang dinamik, intelek, fleksibel, dan inovatif bagi memacu MBM agar terus maju dan berdaya saing.

Generasi muda yang kritis dan radikal mungkin melihat kepimpinan MBM terlalu pro kerajaan, gagal membawa suara tegas dan bertentangan dalam sesetengah isu belia mahupun nasional ke perhatian kepimpinan negara.

Selain itu, sesetengah kelompok pemimpin belia turut melihat kepimpinan Maliki gagal bertegas mengekalkan takrifan umur belia 15-40 tahun dengan mengambil kira faktor kematangan belia dan kesediaan akar umbi.

Ini mungkin persepsi yang Maliki ada jawapan tersendiri bagi menangkisnya.

Kepimpinan baru MBM harus turut mengambil kira dan memperbaiki persepsi ini yang mungkin salah dan mungkin betul.

Penulis tidak berhasrat membela Maliki kerana yakin beliau telah memanfaatkan pentas perhimpunan agung minggu ini dengan sebaiknya bagi menjawab segala persepsi tersebut.

“Ala kulli hal” kata orang Arab – tidak mudah sebenarnya memimpin MBM ini.

Zaman millenium ini, kepimpinan MBM yang baru berhadapan tugasan getir untuk memastikan MBM terus relevan khususnya di kalangan generasi startup.

Generasi startup mempunyai sikap dan gaya hidup tersendiri yang harus difahami dan didekati oleh MBM, seterusnya disantuni mereka dengan program-program yang bersesuaian.

Jika MBM gagal mendekati dan menyantuni kelompok utama yang diberikan penekanan oleh Dasar Pembangunan Belia Negara (1997) ini, maka MBM akan ketinggalan dan ‘obsolete’.

MBM juga terpaksa bersaing dan ‘bertempur’ dengan pelbagai entiti lain yang bersifat program dan projek seperti Parlimen Belia, IM4U, Rakan Muda bahkan Pencetus Ummah, yang mungkin lebih digemari generasi muda.

Dalam hal yang lain, Presiden MBM yang baru juga secara spesifik sekali lagi berhadapan dengan tugasan getir untuk menyaingi aura serta kehebatan Khairy selaku menteri bertanggungjawab dalam hal ehwal belia yang makin mendapat tempat di hati generasi muda.

Bakal Presiden MBM harus kelihatan ‘at par’, duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan menteri berkenaan yang baru mencecah usia 39 tahun.

MBM wajar terus diperkasakan dan dipandang amat penting di mata KBS selaku rakan kongsi terbesar dan terpenting, agar segala program dan peruntukkan diamanahkan sepenuhnya kepada MBM, manakala KBS hanya memainkan peranan selaku pemudahcara.

Jika tidak, KBS akan mencari alternatif lain bagi menyaingi MBM. Simpton itu sudah pun ada apabila KBS tidak pun sangat menyanjungi tokoh dan pemimpin MBM yang boleh kiranya digelar sebagai ‘unsung hero’, sebaliknya lebih banyak mengangkat tokoh-tokoh sukan dan di luar bidang pembangunan belia. Simpton ini harus disekat dan diubati segera.

MBM merupakan badan tertinggi belia yang sudah bertapak di Tanah Melayu semenjak 1948, bahkan lebih awal 16 tahun sebelum tertubuhnya Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Ini menggambarkan betapa “otainya” MBM di persada pembangunan belia negara berbanding KBS.

MBM terbukti menjadi ‘leadership incubator’ yang pernah melahirkan nama-nama besar pemuka negara seperti Tun Abdullah Ahmad Badawi, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Dato’ Seri Zambry Abd Kadir, Dato’ Saifuddin Abdullah dan Dato’ Seri Ali Rustam.

MBM di bawah gandingan Maliki-Zaidi sebenarnya telah meninggalkan satu pelan dan strategi bertindak demi kebaikan adik-adiknya yang bakal mewarisi MBM selepas berakhirnya hujung minggu ini, hari ini.

Mereka telah memperkenalkan idea dan agenda ‘MBM in Business’ demi kelangsungan MBM kehadapan.

Ia merupakan pelan futuristik yang memaksimakan peranan dan fungsi MBM dalam pelbagai isu belia dan negara; mengkader 300 pemimpin muda dalam jangka 2 tahun; meningkatkan kefahaman fungsi MBM dan; memperkukuhkan representasi MBM sebagai suara belia yang paling kuat, cerdas, lantang dan berkesan sehingga disegani lawan dan kawan.

Walau apapun yang berlaku, MBM akan terus kekal relevan dengan syarat badan gabungannya bersatu hati untuk terus mendokong dan menjayakan platform multi-racial dan multi-faith ini.

Memandangkan MBM telahpun memformulasikan agenda ‘MBM in Business’, wajar kiranya MBM mengambil iktibar daripada proses rebranding Harley-Davidson seperti yang ditulis oleh Clyde Fessler dalam buku Rebuilding The Brand.

Proses tersebut berjaya menukarkan motosikal berkuasa tinggi itu daripada tidak popular, bermasalah dan tidak laku pada satu ketika, menjadi motosikal berprestij yang menjadi kegilaan ramai.

Mungkin pimpinan MBM yang baru wajar membaca dan ‘menciplak’ idea proses penjenamaan semula Harley-Davidson tersebut iaitu Brand Experience, Brand Extension, Brand Association, Brand Consistency, Brand Welfare dan Brand Team.

Selamat membaca dan memimpin MBM in Business untuk terus kekal relevan menjadi kegilaan generasi startup.

Pelajar peringkat Doktor Falsafah Pengajian Belia, Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), penulis adalah penerima Anugerah Perdana Belia Negara 2014 sempena Konvensyen Belia Kebangsaan, Mei tahun lalu, dan turut dinobat Tokoh Belia ASEAN 2014 dalam satu majlis di Brunei Darussalam pada Oktober tahun yang sama.

Pelajar peringkat Doktor Falsafah Pengajian Belia, Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), penulis adalah penerima Anugerah Perdana Belia Negara 2014 sempena Konvensyen Belia Kebangsaan, Mei tahun lalu, dan turut dinobat Tokoh Belia ASEAN 2014 dalam satu majlis di Brunei Darussalam pada Oktober tahun yang sama.