Home / Kenyataan Akhbar / Majlis Belia Malaysia (MBM) sambut baik pelancaran dan dapatan Indeks Syariah Malaysia (ISM)

Majlis Belia Malaysia (MBM) sambut baik pelancaran dan dapatan Indeks Syariah Malaysia (ISM)

KENYATAAN MEDIA
Majlis Belia Malaysia (MBM) menyambut baik Indeks Syariah Malaysia (ISM) yang telah diumumkan dan dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak semalam di Putrajaya. Ini menandakan kesungguhan pihak Kerajaan untuk mendaulatkan agama Islam di Malaysia dengan memastikan segala urusan dan hal-ehwal yang berkaitan ditadbir dan dijalankan menurut kehendak tujuan umum kehadiran syariah atau Maqasid Syariah iaitu memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Walaupun ianya kelihatan untuk manfaat umat Islam secara dasarnya namun ianya merangkumi untuk kebaikan dan kesejahteraan untuk semua kaum dan agama kerana Islam diturunkan adalah untuk manfaat dan kebaikan seluruh manusia. Secara ringkasnya, bukan hanya masyarakat Islam yang bakal menerima manfaatnya bahkan masyarakat bukan Islam turut menerima limpahan manfaatnya di lapan bidang keutamaan yang mereka terlibat meliputi aspek pendidikan, perundangan, ekonomi, politik, kesihatan, budaya, sosial, prasarana dan persekitaran.

Selain mengukuhkan aspek pengamalan agama, MBM meyakini kewujudan ISM akan menyumbang kepada pengukuhan sistem, budaya kerja dan profesionalisme kerajaan dan rakyat Malaysia selaras dengan Malaysia sebagai Negara Islam contoh dan maju menjelang tahun 2020. Kemajuan Malaysia akan seiring dan sejalan dengan Syariah untuk menjadi negara yang baik dan dirahmati Allah. Tidak mustahil jika ISM berjaya diaplikasikan dengan baik, ia boleh diperluaskan ke negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang lain.

ISM tampak lebih unik apabila ianya bukan sahaja menjadi penanda aras kepada pihak kerajaan bahkan kepada masyarakat sivil termasuk pertubuhan belia seperti MBM yang turut tidak mahu ketinggalan dalam usaha yang amat baik ini. Tambah unik lagi, ISM bukan sekadar mahu mengukur pencapaian bahkan mengukur iltizam dan kesungguhan selaras dengan prinsip dan ajaran Islam yang menghargai usaha dan ikhtiar yang bersungguh-sungguh.

MBM mengharapkan ISM dapat dilaksanakan dengan baik dan seluruh masyarakat Malaysia harus bersama-sama mendokong bagi menjayakan hasrat yang murni ini. Selain itu, MBM mengharapkan agar Ahli Panel Jawatankuasa Tadbir Urus ISM ini akan melaksanakan dan memantau dengan baik, amanah dan adil agar Kerajaan dan seluruh masyarakat Malaysia benar-benar menepati kehendak syarak dan Maqasid Syariah.

MBM turut menawarkan diri untuk turut terlibat menjayakan ISM ini melalui usaha-usaha penerangan aplikasi dan manfaatnya di peringkat pertubuhan belia dan akar umbi.

Syabas dan tahniah sekali lagi diucapkan.

Sekian, terima kasih.

MU’AMMAR GHADAFI JAMAL DATUK WIRA JAMALUDIN
Presiden
Majlis Belia Malaysia

Tarikh : 11 Februari 2015

 

 

About admin

Leave a Reply