Home / Artikel / Fuad Hassan, perginya ahli politik lantang

Fuad Hassan, perginya ahli politik lantang

image_pdfimage_print

KUALA LUMPUR – Arena politik negara hari ini kehilangan seorang lagi tokoh berwibawa dengan pemergian Datuk Fuad Hassan yang dikenali sebagai seorang ahli politik yang penuh semangat patriotik dan lantang bersuara menegakkan perkara benar.

Fuad Hassan ketika bersama MBM

Landskap politik yang bersemarak dengan perjuangan merdeka oleh Umno dan parti sekutunya daripada penjajah British pada awal 1950an melandasi jati diri anak kedua kepada tokoh agama ini, Tan Sri Haji Hassan Azhari.

Fuad dilahirkan di Setapak, Kuala Lumpur pada 1952.

Semangat patriotisme Fuad dizahirkan seawal zaman siswazahnya bila mana beliau memperjuangkan penubuhan sekolah swasta dinamakan Yayasan Anda, bersama rakannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sekumpulan siswazah universiti-universiti tempatan pada 1971.

Semangat ingin melihat bangsanya maju dalam pendidikan, beliau bersama Anwar berjuang menyedarkan kepentingan pelajaran melalui Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Fuad juga berkempen untuk meningkatkan semangat orang muda Melayu agar hebat berpidato dan berhujah melalui Majlis Belia Malaysia, iaitu badan induk yang menyelaras pertubuhan belia dan pelajar negara, ketika Anwar menjadi Presiden majlis itu 1972-1976.

Namun, persahabatan yang dibina dengan Anwar yang kini merupakan Ketua Pembangkang tidak bermakna beliau tidak berani mengkritik rakannya itu.

Atas dasar ‘berani kerana benar’, Fuad pernah menyelar Anwar melalui penulisannya yang antaranya disiarkan di dalam laman blog melayupasirgudang.blogspot.com bertajuk ‘Fuad Hassan Terpaksa sekolah Anwar…’pada 20 Mac lepas.

Fuad dalam penulisannya mempersoalkan kritikan Ketua Pembangkang Anwar yang membandingkan pengendalian kehilangan pesawat MH370 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan ayahandanya, Allahyarham Tun Razak menangani krisis Japanese Red Army menawan 50 tebusan di ibu negara pada 1975.

Ketokohan Fuad turut terbukti apabila beliau mendapat tempat pertama dalam Anugerah Belia Sedunia dan Anugerah Perdana Menteri pada 1990, terpilih sebagai ‘The Outstanding Young Malaysian’ oleh Jaycees International pada 1992 dan terpilih sebagai Tokoh Berjasa Lelaki Hari Belia Negara pada 2005.

Dalam nuansa politik tempatan, Fuad mencitakan kesinambungan perjuangan bangsanya dengan menjadi ahli Umno di Puchong, Selangor pada usia 28 tahun pada 1980, selepas menamatkan pengajian ijazahnya daripada Universiti Kebangsaan Malaysia.

Beliau kemudian, sebelum mengorak langkah lebih besar, diangkat menjadi Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Ampang Jaya pada 1988.

Bermula dari situ, kerjaya politiknya berkembang sehinggalah menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Klang pada 1990 selepas menewaskan Mohamad Fahmi Ibrahim dari parti Semangat 46 dalam Pilihan Raya Umum ke lapan.

Pada 1993, beliau dipilih sebagai Ketua Umno Cawangan Lembah Keramat.

Biarpun sebagai ketua cawangan, keterampilan kepimpinan beliau terserlah apabila mengekalkan buat kali kedua sebagai ADUN Hulu Klang setelah menewaskan pencabarnya, Minhat Sulaiman dari Semangat 46 pada 1995 dalam Pilihan Raya Umum kesembilan.

Ditewaskan dalam Pilihan Raya Umum 1999 di kawasannya oleh Azmin Ali dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fuad meneruskan perjuangannya melalui Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Beliau menjadi Ketua Pengarah agensi itu pada 2009.

Fuad, 62, menghembus nafas terakhir 12.20 tengah malam tadi di sisi anggota keluarganya, akibat sakit jantung, di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, Pahang.  – Bernama

 

http://www.sinarharian.com.my/rencana/fuad-hassan-perginya-ahli-politik-lantang-1.340139

 

About admin

Profile photo of admin

Leave a Reply

Skip to toolbar