Home / Edisi / Penganjur mohon maaf

Penganjur mohon maaf

ALOR SETAR, 21 Okt 2014 – Penganjur pertandingan karaoke di sebuah pusat beli-belah yang mengundang kontroversi menampilkan peserta wanita berpakaian menjolok mata, Jumaat lalu, tampil memohon maaf kepada rakyat Kedah.

Pengerusi Pergerakan Pemuda Malaysia (YMM) cawangan Alor Setar, Ngoi Tuan Kem berkata, pihaknya kecewa kerana insiden itu berlaku tanpa tanpa diduga.

“Kami tidak sangka perkara itu boleh berlaku. Sebelum pertandingan, ahli jawatankuasa program sudah menetapkan kod etika pemakaian termasuk syarat persembahan pada borang penyertaan. Persembahan itu juga dihentikan ketika azan Magrib,” katanya.

Tuan Kem berkata, pihaknya akan memastikan perkara seumpama tidak akan berulang pada masa hadapan.

“Mungkin wujud salah faham dalam penganjuran kali ini. Kami mohon maaf kepada semua pihak dan sebagai NGO belia yang bernaung bawah Majlis Belia Negeri Kedah (MBNK), kami faham pentingnya untuk menghormati sensitiviti agama dan budaya masyarakat lain,” katanya.

Sementara, Presiden MBNK, Mohd Aizad Roslan berkata, penjelasan penganjur diharap dapat menjernihkan semula kekeliruan yang timbul.

“Saya harap perkara seperti itu tidak lagi berulang dan jadikan ia sebagai pengajaran kepada semua pertubuhan belia di negeri ini, supaya lebih berhati-hati dalam penganjuran program agar keharmonian pelbagai agama dan kaum terpelihara,” katanya, semalam.

About admin

Leave a Reply