Saberkas kekal pertubuhan ‘berwarna-warni’

KUCHING 27 Ogos – Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) akan terus kekal menjadi sebuah pertubuhan yang ‘berwarna-warni’ mewakili rakyat berbilang kaum di negeri ini terutama golongan belia.

Presidennya, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, kepelbagaian agama, bangsa, budaya dan latar belakang ahlinya membuatkan pertubuhan itu memainkan peranan penting di negeri ini.

“Kita akan bersama-sama dengan Ketua Menteri bagi membangunkan negeri ini. Saberkas bersama pemimpin negeri tidak mahu pelampau masuk ke sini yang boleh menjejaskan keamanan yang dikecapi hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Saberkas 2014 di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Timbalan Presidennya, Datuk Roland Sagah Wee Inn, Naib-naib presiden dan barisan exco pertubuhan itu dari seluruh Sarawak.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pada tahun hadapan iaitu April hingga Ogos akan dianjurkan satu pertunjukan fesyen membabitkan pereka fesyen antarabangsa di negeri ini.

Beliau berkata, pertunjukkan antarabangsa itu sebelum ini pernah diadakan di Paris, Perancis.

“Pereka fesyen terbabit mahu menjadikan pertunjukan yang diadakan di Sarawak nanti setanding seperti di Paris, Milan, London dan New York. Beliau memilih Sarawak kerana kaya dengan kebudayaan corak tulen fabrik dan tekstil,” katanya.

Beliau berkata, pereka fesyen itu yang pernah datang melancong ke sini dan memaklumkan mereka tertarik dengan kraftangan manik yang diusahakan oleh rakyat tempatan yang dijual mahal di luar negara.

“Oleh itu, wanita terutama belia perlu mengambil peluang daripada potensi tinggi produk kraftangan di sini,” katanya.

Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Sabah_%26_Sarawak/20140828/wb_07/Saberkas-kekal-pertubuhan-%27berwarna-warni%27#ixzz3BeKEZOTb
© Utusan Melayu (M) Bhd



Majlis Belia Negeri Terengganu edar Jalur Gemilang

Kuala Terengganu, 26 Ogos 2014 – MBN Terengganu bersama Polis Negeri telah melancarkan kempen kibar Jalur Gemilang di sekitar Jambatan Sultan Mahmud.

 




SARAN BELANJAWAN LEBIH MESRA BELIA -Berita Harian

Bajet 2015 yang bakal dibentangkan pada Oktober ini diharap lebih mesra belia, khususnya dalam penyediaan bidang kemahiran dan perniagaan kecil.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee, berkata pihaknya berharap peruntukan untuk program kemahiran belia ditambah seperti kursus kemahiran yang ditawarkan mesti dipertingkatkan sehingga mencapai tahap Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap Tiga dan ke atas.

“Jika kursus kemahiran seperti itu tidak dikaji semula, hasrat negara untuk mencapai 3.3 Juta pekerja mahir menjelang tahun 2020 sukar dicapai,” katanya.

Maliki berkata, Skim Perumahan Belia juga perlu dipergiatkan dengan perlaksanaan menyeluruh walaupun inisiatif itu sudah diumumkan pada pembentangan bajet 2014.

“Kerajaan harus menggerakkan usaha yang menyeluruh dengan kerjasama kerajaan negeri dan syarikat korporat khasnya syarikat berkaitan kerajaan bagi mewujudkan skim yang bersifat ‘menang-menang’ antara pemaju dan pembeli muda,” katanya.

Selain itu, katanya, golongan belia mengharapkan peluang kerja yang bergaji kompetitif menerusi pembangunan wilayah yang berpotensi.

“Pendekatan ini akan mengurangkan migrasi golongan belia ke bandar besar berikutan tarikan pekerjaan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Mua’mar Gaddafi Jamal, berkata program khas bantuan ekonomi wajar diwujudkan untuk membolehkan belia menceburi bidang perniagaan bermodal kecil.

“Menerusi peruntukan modal berkenaan, kita yakin ia menjadi lonjakan kepada warga belia yang ingin memulakan perniagaan mahupun melebarkan perniagaan sedia ada,” katanya.




MH17 : JEMPUTAN UNTUK PENGHORMATAN TERAKHIR

“MH17 terkulai; Menyembah bumi; Menyentap jiwa; Perit untuk ditelan; Bertabah wahai Malaysia”

Dijemput Exco MBM, Dewan Tertinggi dan barisan kepimpinan belia seluruh negara dijemput untuk bersama-sama memberi penghormatan terakhir kepada mangsa MH17 seperti ketetapan di bawah:

Tarikh: 22 Ogos 2014 (Jumaat)
Masa Berkumpul: 8.30 pagi
Tempat: Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)
Pakaian: Uniform Korporat (Putih)

Peraturan Hari Berkabung Negara
•Bendera Malaysia dikibarkan separuh tiang di seluruh negara pada hari berkenaan;
•Semua acara yang berunsur hiburan ditangguhkan pada hari berkenaan;
•Pakaian hendaklah warna-warna yang suram dan tidak warna terang/garang. Bagi yang beragama Islam dan terlibat secara langsung, mereka digalakkan memakai songkok (tanpa lilitan warna putih)/selendang hitam; dan
•Pada hari berkenaan juga, rancangan hiburan pada semua saluran radio dan televisyen hendaklah ditangguhkan dan diganti dengan bacaan Al-Quran dan program berunsur keagamaan.

Pertanyaan: RIZAN HASSAN (0137733676)

Terima kasih