Home / Edisi / Saberkas kekal pertubuhan ‘berwarna-warni’
Wisma Saberkas, Kuching

Saberkas kekal pertubuhan ‘berwarna-warni’

image_pdfimage_print

KUCHING 27 Ogos – Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) akan terus kekal menjadi sebuah pertubuhan yang ‘berwarna-warni’ mewakili rakyat berbilang kaum di negeri ini terutama golongan belia.

Presidennya, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, kepelbagaian agama, bangsa, budaya dan latar belakang ahlinya membuatkan pertubuhan itu memainkan peranan penting di negeri ini.

“Kita akan bersama-sama dengan Ketua Menteri bagi membangunkan negeri ini. Saberkas bersama pemimpin negeri tidak mahu pelampau masuk ke sini yang boleh menjejaskan keamanan yang dikecapi hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Saberkas 2014 di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Timbalan Presidennya, Datuk Roland Sagah Wee Inn, Naib-naib presiden dan barisan exco pertubuhan itu dari seluruh Sarawak.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pada tahun hadapan iaitu April hingga Ogos akan dianjurkan satu pertunjukan fesyen membabitkan pereka fesyen antarabangsa di negeri ini.

Beliau berkata, pertunjukkan antarabangsa itu sebelum ini pernah diadakan di Paris, Perancis.

“Pereka fesyen terbabit mahu menjadikan pertunjukan yang diadakan di Sarawak nanti setanding seperti di Paris, Milan, London dan New York. Beliau memilih Sarawak kerana kaya dengan kebudayaan corak tulen fabrik dan tekstil,” katanya.

Beliau berkata, pereka fesyen itu yang pernah datang melancong ke sini dan memaklumkan mereka tertarik dengan kraftangan manik yang diusahakan oleh rakyat tempatan yang dijual mahal di luar negara.

“Oleh itu, wanita terutama belia perlu mengambil peluang daripada potensi tinggi produk kraftangan di sini,” katanya.

About admin

Profile photo of admin

Leave a Reply

Skip to toolbar