Home / Akhbar / Kongsi hala tuju sama

Kongsi hala tuju sama

image_pdfimage_print

Kuala Lumpur: Malaysia amat komited terhadap usaha untuk mengukuhkan ASEAN sebagai satu pertubuhan serantau yang dapat memberi manfaat kepada semua negara anggota, sekali gus memainkan peranan utama dalam hal serantau.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia bermaksud satu masyarakat yang turut berkongsi perasaan bahawa mereka mempunyai satu identiti sama dan hala tuju strategik sama di bawah naungan satu pertubuhan serantau yang lebih kukuh dikenali komuniti ASEAN.

Menurutnya, suasana yang aman dalam rantau ini berjaya menarik pelaburan asing bukan saja memberi manfaat kepada Malaysia, malah kepada negara anggota ASEAN, sekali gus mewujudkan satu rantau yang makmur dan teguh.

“Institusi yang diterajui ASEAN seperti Sidang Kemuncak Asia Timur boleh menerokai kaedah baru bagi menggalakkan kerjasama serantau terutama dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) apabila terjadinya satu malapetaka seperti tragedi kehilangan pesawat MH370.

“Pada tahun ini, Malaysia dan dunia bersedih terhadap apa yang terjadi kepada pesawat penerbangan Malaysia (MAS) MH17 dan MH370, namun kita (Malaysia) bersyukur apabila mendapat sokongan penuh daripada negara anggota ASEAN yang menghulurkan bantuan ketika Malaysia dilanda tragedi berkenaan,” katanya ketika memberi ucapan perasmian Festival Makanan dan Kebudayaan ASEAN dan Rumah Terbuka Aidilfitri Majlis Belia Malaysia (MBM), di sini, malam tadi.

Muhyiddin berkata, kemajuan teknologi serta globalisasi juga memberi cabaran kepada negara anggota ASEAN untuk mengekang jenayah merentasi garis sempadan dan tanggungjawab bersama untuk memerangi perkara itu adalah perlu bagi mengekalkan keamanan di rantau ini.

Beliau berkata, sebagai pengerusi ASEAN pada tahun depan, Malaysia akan melaksanakan gagasan ‘ASEAN Berteraskan Rakyat’ yang bertujuan untuk menjadikan rantau ini sebagai tempat tinggal selesa bagi semua lapisan penduduk.

Katanya, semua pihak perlu memberi keutamaan kepada program ASEAN yang sudah dirangka untuk merapatkan semua warga organisasi berkenaan memandangkan sektor pembangunan modal insan adalah satu pelaburan untuk masa depan.

About admin

Profile photo of admin

Leave a Reply

Skip to toolbar