Home / Hebahan / Selamat Ulangtahun MBM ke 66

Selamat Ulangtahun MBM ke 66

Hari ini, 23 Julai 2014 maka genaplah usia Majlis Belia Malaysia selama 66 tahun. Mari kita imbas kembali sejarah penubuhan MBM.

66TAHUNMBM

pic1Pada 23 Julai 1948, pertemuan seramai 75 orang wakil-wakil pertubuhan di Victoria Institution telah membuka laluan kepada penubuhan Majlis Belia Malaysia (MBM). Ekoran dari penubuhan Jawatankuasa Khas Sementara Belia ini, Abdul Razak Hussein (Tun) dan Tuanku Ja’afar Ibni Tuanku Abdul Rahman telah mewakili Tanah Melayu di Persidangan Perhimpunan Belia Sedunia (World Assembly of Youth – WAY) di Brussel.

Bermula dari situlah WAY telah mengiktiraf MBM (sementara) sebagai Jawatankuasa Kebangsaan baginya di Tanah Melayu.

pic2

Dari kiri : Tuanku Ja’afar Ibni Tuanku Abdul Rahman (Yang Di Pertuan Agong ke 10,
Tuanku Ahmad Shah (Sultan Pahang) dan Abdul Razak Hussain di London 1948

pic3Rombongan MAYC diketuai oleh YM Tunku Abdullah Ibni Tunku Abdul Rahman di
Gotemba Youth Training Centre pada September 1960

Perwakilan Belia yang bersidang pada Julai 1948 telah berbincang dan berusaha menubuhkan Majlis Belia Negeri dan Settlements. Majlis Belia Negeri Pulau Pinang dan Province Wellesley telah ditubuhkan pada 17 November 1948 dan merupakan Majlis Belia Negeri yang pertama di Tanah Melayu.

Majlis Belia Malaysia telah diiktiraf secara rasmi pada 9 September 1950 di Pulau Pinang setelah perlembagaannya diterima pakai. Mesyuarat Agung pertama telah diadakan dengan kehadiran badan-badan gabungannya iaitu Majlis Belia Negeri (Kedah, Terengganu, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang), Pertubuhan Budak Pengakap, Pandu Puteri (Malaya dan Singapura) dan Persaudaraan Belia Methodist Tanah Melayu. Mesyuarat telah menerima F.C Arulanandum sebagai Presiden (Pengerusi) Majlis Belia Malaysia yang pertama. Pada tahun 1951, kerajaan telah mengiktiraf Majlis Belia Malaysia sebagai Majlis Kebangsaan bagi pertubuhan belia negara ini.

pic4

YTM Tunku Abdul Rahman Putra menjadi Penaung Pertama MBM

“BAHAWA DI DALAM PERJALANAN SEJARAH MALAYSIA, TIDAK ADA SUATU BANGSA PUN YANG BOLEH MENYELAMATKAN DIRINYA JIKA BANGSA ITU BERDIAM DIRI MEMELUK TUBUH SELAMANYA” – FEBRUARI 1956

Pada peringkat awal penubuhannya, MBM tidak dapat bergerak cergas kerana kedudukan panitianya yang bertaburan, di samping masalah kewangan, pentadbiran dan tiadanya kakitangan yang tetap. Di tahap awal ini Majlis Belia Malaysia lebih cenderung berhubungan dengan WAY iaitu badan induknya dan seolah-olah kegiatan MBM ditentukan oleh WAY.

Tahap sebelum merdeka ini juga memperlihatkan MBM cuba meyakinkan pertubuhan-pertubuhan belia yang belum bergabung dengannya untuk turut serta. Kerajaan British ketika itu juga dikatakan memberi galakan kepada gerakan belia di negara ini. Pertukaran Pesuruhjaya Tinggi, Malcolm McDonald ke India pada September 1955 memberi rahmat kepada MBM.

pic6

Dato’ Hamzah Abu Samah, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan bersama Encik Abdullah Ahmad Badawi di Majlis Perundingan Belia Negara di Dewan Sri Pinang pada tahun 1972

YTM Tunku Abdul Rahman Putra selaku Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu telah menjadi Penaung menggantikan beliau. Di bawah kepimpinan Tunku Abdul rahman, MBM telah diiktiraf sebagai pertubuhan koordinasi belia nasional maka MBM lebih memberikan perhatian kepada program-program nasionalnya, sedangkan sebelum ini kegiatan dengan WAY lebih diberikan penekanan. Pergerakan MBM turut menerima pengaruh peranan dalam usaha memerdekakan negara dari kuasa penjajah.

Pada tahun 1960an, MBM mula pemperlihatkan keaktifan dan sikap pro-aktif serta lantang melaungkan isu-isu pembangunan negara dan dianggap sebagai “Pejuang suara belia dan rakyat”. Majlis Belia Malaysia didaftarkan dibawah Akta Pertubuhan Bil R.R.M.65/68(8)P.P/SEL.16/68 pada 18 Jun 1968. Ia merupakan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang diktiraf sebagai Majlis Belia Kebangsaan dengan berdiri mewakili suara kepentingan belia negara.

pic7

Perdana Menteri, Tun Abdul Razak tiba di Upacara Perasmian Majlis Perundingan Belia Negara kali pertama pada 15 Mei 1971 di Dewan Bahasa dan Pusta, Kuala Lumpur

MBM telah bekerjasama dengan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan telah diberikan slot bagi rancangan “Belia Bergerak Maju” di Radio dan Televisyen Malaysia (RTM). Melalui program ini, pelbagai aktiviti ahli telah dihebahkan. MBM juga semakin aktif melibatkan diri dengan pertubuhan-pertubuhan belia di peringkat antarabangsa.

pic8Perasmian Perhimpunan Hari Belia oleh Tun Abdul Razak, Perdana Menteri ke 2

pic9Barisan Kepimpinan MBM era 70an bergambar bersama Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan di Perhimpunan Belia Negara

Tahun 1970an memperlihatkan perubahan besar dalam MBM. Desakan agar pengiktirafan diberikan oleh pihak kerajaan kepada golongan belia telah menghasilkan penubuhan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) pada tahun 1971. Penglibatan golongan pelajar dalam MBM juga telah membawa arus yang berlainan dan lebih lantang dalam menyuarakan hak rakyat dan peranan belia. Bahkan MBM sendiri hampir terkubur akibat percanggahan pendapat dan pembawaan pimpinan. Bagaimanapun krisis yang melanda pada tahun 1974/75 itu telah menjadikan MBM lebih matang dalam perjuangannya.

pic10

Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan dan Konvensyen Belia Negara pada April 1973 di Universiti Malaya, Kuala Lumpur, di mana Dasar Belia Negara diilhamkan

Walaupun terdapat badan-badan gabungan yang menarik diri dari bergabung dengan MBM, namun di akhir tahun 1970an, penyertaan dan penyatuan semula pertubuhan tertentu telah mengembalikan kekuatan dan reputasi MBM.

Tahun 1980an, kedudukan MBM kian mantap dan misi utama pergerakannya, “Belia Bertindak untuk Keadilan dan Kebenaran” telah mula dipraktikkan di dalam agenda perjuangannya. Cabaran besar dan pelbagai masalah seperti ekonomi dan pengganguran, masalah sosial (moral, akhlak, dadah dan budaya barat), salahguna kuasa dalam syarikat serta koperasi telah menuntut MBM lebih bertanggungjawab demi masa depan generasi belia negara.

MBM semakin giat dan aktif merealisasikan misi dan perjuangannya. Pelbagai seminar, bengkel dan program kerjasama telah dianjurkan sama ada dengan agensi kerajaan dan swasta dalam negeri mahupun pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan di peringkat antarabangsa. Pemilihan YB Mohd Ali Mohd Rustam sebagai Presiden WAY di Perhimpunan Agung ke 13 Perhimpunan Belia Sedunia (WAY) di Kuala Lumpur pada tahun 1993 dan kemudiannya pemilihan YB Fuad Dato’ Hj Hassan sebagai Setiausaha Agung Majlis Belia Asia (AYC) seterusnya Mustaffa Kamil Ayub sebagai Presiden Jawatankuasa Kerjasama Belia ASEAN (CAYC) menandakan suatu pegiktirafan kepada perjuangan MBM di peringkat antarabangsa masa ini.

Era separuh pertama 1990an memperlihatkan MBM memainkan peranan lebih agresif dan tidak hanya cuba menangani isu-isu tempatan tetapi juga menjurus kepada permasalahan dunia. Corak dan kemampuan kepimpinan belia menghadapi cabaran hebat dalam era globalisasi sesungguhnya telah menjamin kejayaan MBM mempertingkat martabatnya di mata dunia. MBM sentiasa menerima dan menilai sesuatu cabaran dengan terliti bagi menjamin keseimbangan agenda perjuangan agar tidak terkeluar dari landasan nilai-nilai murni dan budaya yang boleh membantutkan arus pembangunan sebagaimana yang diharapkan oleh Wawasan 2020.

pic21

Delegasi Mesyuarat Perhimpunan Agung WAY pada April 1993 di Kuala Lumpur

pic20YB Dato’ Fuad Dato’ Hj Hassan, Setiausaha Agung AYC menyertai Mesyuarat Agung kali ke 7 pada Mei 1995 di Seoul, Korea

pic22Delegasi Malaysia mengambil bahagian dalam “The 12th National Secretaries Meeting of CAYC” pada April 1997 di Kuala Lumpur

About admin

Leave a Reply