Home / Berita / NGO desak PBT keluarkan lesen turut disiasat
Maliki, Presiden MBM

NGO desak PBT keluarkan lesen turut disiasat

KUALA LUMPUR 30 Jun – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak pihak berkuasa tempatan (PBT) yang memberi lesen perniagaan kepada pusat-pusat mesin judi haram segera disiasat bagi memastikan gejala rasuah di agensi-agensi terbabit dapat ditangani segera.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan harus tegas dan telus menyiasat pegawai-pegawai yang disyaki terlibat dalam gejala tidak bermoral tersebut.

“Saya setuju apabila dikatakan rasuah menjadi punca utama kes pusat-pusat mesin judi haram sukar dibanteras. Ia ada asasnya kerana mereka yang terbabit dalam isu ini seperti pegawai penguat kuasa di PBT tentunya ada kaitan dalam gejala rasuah.

“Polis dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) haruslah juga dikerah bagi menyiasat pegawai penguat kuasa PBT sama ada mereka terlibat rasuah atau tidak.

“Kalau kegiatan ini masih berlaku, orang ramai akan mempertikaikan kredibiliti mereka. Kementerian yang menaungi PBT di setiap negeri kena bertanggungjawab apabila isu rasuah ini diperkatakan oleh semua pihak,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, Presiden Badan Bertindak Anti Penyelewengan Negeri Kedah, Khairul Anuar Ramli turut menggesa siasatan harus dijalankan ke atas para pegawai penguat kuasa PBT yang terbabit secara langsung dalam pemberian lesen perniagaan.

Beliau dalam nada tegas turut mencadangkan siasatan menyeluruh dilakukan SPRM termasuk membabitkan pegawai peringkat atasan.

“Selama ini, banyak tangkapan ke atas pegawai penguat kuasa PBT membabitkan mereka yang berpangkat rendah, sedangkan ramai pegawai atasan yang mungkin terbabit terlepas. Siasatan juga perlulah melibatkan pihak seperti anggota dan pegawai polis,” tegas beliau.

“Pihak polis dan penguat kuasa PBT paling dekat dengan mereka yang terbabit dalam pemantauan ke atas pusat-pusat mesin judi haram. Saya harap Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dapat berperanan dalam isu ini,” ujarnya.

About admin

Leave a Reply

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino