Home / Edisi / Generasi baharu Felda perlu sahut cabaran Najib
Anuar Abdul Manap

Generasi baharu Felda perlu sahut cabaran Najib

image_pdfimage_print

KUALA LUMPUR 30 Jun – Generasi baharu Felda perlu menyahut cabaran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahukan golongan belia memperluaskan pemasaran produk mereka sehingga ke peringkat antarabangsa.

Presiden Majlis Belia Felda, Anuar Manap berkata, seruan itu mampu direalisasikan dengan merebut peluang yang ditawarkan.

“Kami amat teruja tentang perkembangan ini kerana akan menggalakkan lebih ramai peneroka generasi kedua dan ketiga merebut banyak peluang yang ditawarkan di luar negara dan tidak hanya bergantung kepada pasaran Malaysia.

“Antaranya di bawah program Sentuhan Kasih Felda, produk yang dikenal pasti seperti penanaman tembikai wangi, sayur-sayuran, ternakan ikan air tawar, ayam dan itik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Anuar mengulas seruan Perdana Menteri agar generasi kedua dan ketiga Felda mempersiapkan diri dengan kemahiran terkini, selain meletakkan dunia sebagai pasaran produk-produk keluaran mereka.

Najib berkata, Felda kini telah berubah seperti menggunakan teknologi canggih dalam projek pertanian bersepadu yang melibatkan generasi baharu di tanah rancangan berbanding penerokaan tanah cara lama yang dijalankan suatu ketika dahulu.

Katanya, Sentuhan Kasih Felda adalah projek pertanian bersepadu dengan teknologi moden yang melibatkan 100 orang belia dalam setiap 13 projek di 11 wilayah tanah rancangan itu di seluruh negara, bertujuan merealisasikan visinya sebagai penjana ekonomi dalam pelbagai industri negara menjelang 2020.

Mengulas lanjut Anuar berkata, generasi peneroka kedua Felda perlu menumpukan kepada usaha memperluaskan pemasaran mereka dengan meneroka teknologi baharu bagi meningkatkan produktiviti.

About admin

Profile photo of admin

Leave a Reply

Skip to toolbar